Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Saturday, January 31, 2009

Otak-otak


Semasa zaman budak-budak, saya sering keliru dengan komunikasi orang-orang dewasa. Satu perkataan yang digunakan akan menjadi maksud yang lain apabila ia digandakan. Saya merasa amat hairan apabila orang dewasa memanggil sesuatu benda tetapi ianya bukan berasal dari benda yang dimaksudkan.

Contohnya, isi ikan yang hancur dicampurkan dengan rempah ratus lalu dibungkus ke dalam daun pisang akan di panggil "Otak-otak". Tetapi jika ianya dibungkus dengan ikan sekelar-sekelar bersama daun-daun ulaman ia dipanggil "Botok-botok".

Suatu hari saya bertanya kepada Mak Wa adakah otak-otak itu diperbuat dari otak? Adakah rupa otak itu macam otak-otak? Jawapan Mak Wa," Tidak."

Di masa yang lain, saya mendengar kakak-kakak sepupu saya bergossip tentang artis yang terdapat di majalah URTV.

Kata mereka," Sah! Ini mesti pakai botok!". Saya akan belek betul-betul gambar muka artis itu. Dalam hati saya berkata,"Ya Allah, tak pedih ke kena sambal dalam botok-botok tu.."

Suatu petang, ketika membeli jajan di kedai abang Jo yang terletak di pangkal jalan, saya mendengar beberapa remaja ketawa berdekah-dekah. Gelihati benar nampaknya.
Sambil ketawa, salah seorang menyebut," Kepala hotak kau!"

Sampai dirumah, saya dapati mak dan abah sedang menonton cerita P.Ramlee - Bujang Lapok. Saya terasa sangat gelihati melihat satu babak di dalam cerita itu. Lalu saya mencuba perkataan baru,"Kepala hotak kau!"

Tiba-tiba abah berkata,"Tutup TV sekarang!"

Zaman budak-budak yang indah, tetapi penuh tanda tanya.

Thursday, January 29, 2009

Kekabu



Petang-petang, Mak Wa akan melakukan proses pengasingan biji kekabu dan kapasnya. Peleraian itu dilakukan di dalam guni agar ia tidak diterbangkan oleh angin. Cukup berhati-hati.

"Mak Wa nak buat apa dengan kapas dalam guni ni?"
"Nak buat bantal..
"lagi..?"
"Nak buat tilam.."
"Wah..banyaknya boleh buat dari buah ni.."
"Ya..bagi mereka yang mengetahui dan tahu menafaatnya.."


Saya melihat ia suatu proses yang sungguh renyah.Daripada buah kekabu, ianya di proses hinggalah menjadi bantal. Semuanya dilakukan secara manual. Ya Allah, sabar nya Mak Wa.

Terpandang kekabu, teringat bantal hasil tangan Mak Wa.

Sunday, January 25, 2009

Ikan Puyu

Hari itu, seekor ikan puyu terperangkap di dalam bubu.

Tiada yang lain, hanya ia seekor. Lalu, saya masukkan ia ke dalam balang kaca berisi air bersama rumpainya. Puyu kecil tadi saya tunjukkan kepada Mak Wa yang sedang sibuk menampi padi atas jerangau di tengah bendang.

Kata Mak Wa,"Bubu serta umpan yang kecil layaknya mendapat ikan kecil. Jika kita hendak menangkap ikan besar, umpannya perlu besar. Bukan di sini, tetapi di lautan. Siapkan kelengkapan. Perlu ada ilmu untuk menangkapnya."

Mutiara kata penuh hikmat untuk cucu-cucu perempuan Mak Wa!

Thursday, January 22, 2009

Basikal Tua



Selain daripada bermain di sawah, saya amat suka bermain basikal. Ketika kecil setahu saya, ada basikal lelaki dan ada basikal untuk perempuan. Ia dapat dikenalpasti dari modelnya. Kami paling suka basikal perempuan. Ia ringan, tempat duduk depan dan belakangnya agak kecil serta tidak berpalang.

Saya mula belajar basikal ketika berumur 7 tahun. Di kampung, sepupu-sepupu tidak lokek untuk member tunjuk ajar. Masalahnya : kami sukar untuk mendapatkan basikal apatah lagi jenis basikal perempuan tersebut, jadi ia terpaksa dilakukan secara curi-curi.

Basikal yang senang untuk di curi pakai adalah basikal Atok Abah (bapa kepada abah) kerana ia pasti tersandar di bawah rumah tanpa di mangga. Waktunya adalah di antara pukul 9.00 hingga 10.00 pagi – ketika Atok Abah sedang solat Duha.

Kami sepupu-sepupu akan mengheretnya secara perlahan-lahan. Menolaknya beramai-ramai terus ke kampung Ulu Jementah menuju ke arah anak bukit berhampiran jeram. Dari atas bukit, kami akan sandarkan basikal di sebelah pokok. Lalu, bertenggek beramai-ramai.

Tuti dan Azah ditempatkan dikarier belakang. Ratna dan Aki di atas palang. Saya akan memijak kedua-dua kaki di atas pedal, sebelah tangan memegang handle dan sebelah lagi memegang palang basikal. Manakala Adib di tempat duduk dengan kedua-dua tangannya memegang handle.
Dapat bayangkan? Keadaan kami seolah-olah seperti beberapa ekor anak kera yang bergayut!

Basikal perlahan-lahan bergerak turun dari anak bukit dan burrrrrrrrrr…ia meluncur dengan lajunya. Kami akan lakukan secara berulang-ulang sehingga merasa puas.

Suatu hari, basikal tidak dapat di curi pada waktu Duha. Kami sabar menunggu sehingga waktu zohor. Ia juga tidak berjaya, sehinggalah waktu Asar. Lalu, pasukan kami mengheret beramai-ramai ke destinasi biasa. Tiba-tiba ada cadangan untuk pergi ke atas bukit yang lebih tinggi lagi.
Setuju !!

Dari atas bukit itu, basikal kami meluru laju dan mulai tidak terkawal. Saya dan Adib (sebagai teraju utama) cuba mengawal keadaan, namun gagal. Basikal itu menjunam menuju ke arah sawah, lalu kami semuanya terhumban ke dalam lumpur yang berlopak!
“He..hee..he…best! best!..he..he”

Tanpa disedari, sebelah pedal itu telah tercabut dari basikal. Puas kami mengharung lumpur, namun hingga ke senja kami tidak menjumpainya. Hampir maghrib baru kami sampai di bawah rumah Atok Abah. Tiba-tiba,” Astagfirullah..Ini dia rupanya budak-budak tu!”
Di tangan Tok Abah ada tongkat semambu!

Lalu, kami bertempiaran lari menyelamatkan diri. Basikal Atok Abah yang penuh dengan lumpur, jatuh bergelimpangan begitu sahaja. Ia tidak berakhir begitu sahaja. Pasti di rumah nanti, ada habuan lain yang sedang menunggu!

Indahnya mengingati zaman itu.

Tuesday, January 20, 2009

Pucuk Ubi




Ketika di kampung, semasa kecil saya sering melihat daun itu. Ia banyak kelihatan di sekeliling rumah Mak Wa (mak kepada abah) dan juga di rumah atok Apak (bapa kepada mak). Ia dijadikan hidangan wajib kerana selang sehari, pasti ada lauk dari daun itu. Resepinya pelbagai rasa.

Pucuknya yang lembut di rebus. Hasilnya : masak lemak pucuk ubi,lemak kuning cili api bersama ikan, urap/kerabu atau dijadikan ulam (dicolek dengan sambal belacan atau sambal kacang). Di Kawasan rumah sewa kami, jiran-jiran menjadikannya sejenis masakan dipanggil "Pecal".

Kadang kala saya melihat Mak Wa memetik daun-daun yang tua untuk diberi makan kepada kambing di dalam kandang belakang rumah.

Suatu hari, saya melihat seorang budak perempuan yang lebih kurang seusia dengan saya sedang memetik pucuk ubi berhampiran semak di sebelah rumah Mak Wa. Beliau memetik termasuk daun-daun yang tua. Sambil tersenyum, dengan ramahnya saya menegur :

"Nak bagi makan kambing?"

Tak semena-mena, budak perempuan tadi berlari pergi sambil melepaskan pucuk ubi yang telah dipetiknya tadi.

Hairan. Sehingga kini saya masih tertanya-tanya "Apa silap saya?"

Sunday, January 18, 2009

Daun Mengkudu


Zaman kanak-kanak, keluarga saya tinggal di sebuah kampung yang cukup harmoni. Abah menyewa rumah di Jalan Hang Tuah, Kampung Sungai Gatom, Labis. Keadaan susun atur rumah-rumahnya berlapis-lapis. Belakang rumah sewa kami menghadap depan pintu rumah jiran. Bahagian depan tingkap dan pintu rumah kami, adalah bahagian tepi rumah jiran.

Rumah sewa kami terdapat tiga pintu. Rumah pintu satu dan pintu tiga hanya di pisahkan oleh dinding “plywoods” sahaja. Rumah kami diapit antara keduanya, duduk di tengah-tengah. Selalu juga saya dengar mak memasak di dapur sambil berbincang-bincang denagan Mak Yam dan Kak Baayah dari rumah jiran sebelah-menyebelah.

Suatu hari, seorang Mek berasal dari Kelantan menghantar semanggkuk sayur lemak yang masih panas untuk makan tengahari. Mak menyimpannya di bawah tudung saji. Aromanya menusuk, membangkitkan selera. Saya terliur yang amat sangat. Bagaimanapun, mak menahan saya makan sehingga abah balik.

Bila abah pulang, saya masih leka bermain di luar. Mak panggil masuk berkali-kali untuk makan, namun tidak saya hiraukan. Akhirnya saya terdengar suara garau abah, ”Masuk, pergi makan!”. Tidak banyak patah perkataan yang keluar tetapi cukup membuatkan saya meluru pergi dengan perasaan kecut perut.

Sampai di dapur, seluruh keluarga hampir selesai makan. Saya dapati sayur lemak tadi hanya tinggal sepiring kecil. Mak bubuh nasi panas-panas di dalam pinggan, seekor ikan kembung yang di goreng garing, mak tambahkan kicap dan sedikit “Planta magerin”. Ada sayur lain, tetapi saya menolak. Akhir sekali, mak curahkan lauk kuah lemak tadi di atas nasi. Saya makan dengan begitu berselera sekali.
“Mak, nak lagi sayur hijau tadi..”
“Itu sahaja yang ada ..”
“Nak lagi..sayur apa tu”.
“Daun mengkudu”
"Nak lagi...

Mak memberitahu berulang-ulang kali, tetapi saya tetap berdegil tidak mahu menerima alasan itu. Dengan penuh rasa tidak puas hati yang amat sangat, saya terus lepaskan suara setinggi boleh. Menangis sekuat hati dan meronta sekuat tenaga.
“Nak lagi daun mengkudu! Nak daun mengkudu!!!”

Saya berguling-guling di atas lantai dapur.

Serta merta, saya lihat seluruh jiran tetangga muncul di dapur rumah kami. Mereka kelihatan panik dan tertanya-tanya. Kemudian, saya lihat mereka tertawa kecil. Ia menjengkelkan hati saya. Ternampak abah berdiri mencekak pinggang sambil merenung tajam ke arah saya. Ada sesuatu yang disorokkan di belakangnya.

Pasti tali pinggang!

Keesokannya, rumah kami menerima berbagai-bagai jenis resepi sayur daun mengkudu!

Thursday, January 15, 2009

Nasi Minyak



Bila D dan Kak Wati sebut pasal "pengantin", saya terkenang satu cerita.

Dulu-dulu, apabila saya melihat ramai orang bergotong royong mendirikan balai, saya tahu musim kenduri kahwin telah tiba! Ia musim paling menyeronokkan. Dapat tengok PERANTIN! (sebutan pengantin semasa kecil).

Pada hari itu, mak akan masak nasi minyak dengan ayam masak kurma' untuk kami adik beradik. Kami akan diberi makan agak awal, sebelum pengantin tiba. Kemudian, mak akan berpesan, ”Awak semua boleh pergi tengok pengantin, tetapi jangan pergi ke balai tempat orang makan.”

Kehairanan, namun saya tidak pernah bertanya kenapa.

Kami adik-beradik akan meluru ke rumah pengantin apabila kompang kedengaran. Pasti kami tersipu-sipu dengan mata tidak berkelip-kelip merenung pengantin yang malu-malu berpimpinan tangan! Paling kagum melihat orang bersilat, berpusing-pusing, bertepuk tampar dan akhirnya bersalaman dengan pasangan pengantin. Dalam hati berkata-kata, suatu hari nanti saya juga mahu ada orang bersilat untuk saya seperti itu!

Dari celah-celah orang ramai di balai tempat makan, saya melihat abah dan mak sedang menikmati hidangan nasi minyak. Sopan dan teratur suapan mereka.

Otak kecil saya terfikir, ”Oh..patutlah, tempat yang sesak itu tidak muat untuk kami adik-beradik. Lagi pun kami pasti makan dengan gelojoh. Apabila sampai di rumah, saya terlihat kad jemputan kenduri kahwin daripada rumah pengantin tadi bertulis, ”Cikgu Roslan - suami & Isteri”. Oh.. patutlah, garisan itu cukup untuk beberapa patah perkataan sahaja. Ia tidak muat untuk menulis nama kesemua kami adik-beradik.

Nikmatnya nasi minyak resepi mak!