Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Sunday, October 10, 2010

Satu beg cukup?

Minggu-minggu terakhir sebelum berangkat ke tanah suci, kami masukkan segala keperluan ke dalam beg pakaian. Sebuah untuk suami dan sebuah untuk diri sendiri.

Di dalam beg, saya masukkan segala kelengkapan dalam ihram. Masukkan tuala mandi yang sederhana tebalnya. Masukkan kain batik dan kain pelikat. Masukkan sabun basuh, sabun mandi, berus gigi, shampoo, sikat, tali , selimut, cadar dan berbagai keperluan. Saya masukkan juga serunding daging, perencah sambal kacang segera, kopi 3+ 1, gula dan apa-apa sahaja yang boleh di bawa. Semuanya atas saranan rakan-taulan yang berpengalaman.

Akhirnya beg pakaian saya bagaikan beg saudagar yang mahu berniaga 12 purnama lamanya. Atau bagaikan musafir yang mahu berlayar jauh yang entahkan kembali entahkan tidak. Beg itu tidak bergerak apabila ditolak!

"Ya Allah, apa yang harus saya bawa?

Esoknya saya rombak kembali beg tersebut, membuang apa yang tidak patut dan memasukkan semula mana-mana keperluan yang diperlukan sahaja.

"Sabun, shampoo, ubat gigi..bawa saiz yang paling kecil. Kalau habis, nanti beli sahaja di Mekah atau Madinah. Banyak kedai yang menjualnya di sekitar hotel. Semuanya ada di sana."

Keterangan seorang rakan lantas mententeramkan hati saya.

"Kalau pergi dengan Tabung Haji, kopi, teh, gula...semua itu akan dibekalkan oleh muasasah. Bawa koleh [mug] untuk minuman panas dan sudu sahaja. Lain-lain minuman banyak dijual disekitar hotel."

"Selimut?"

"Zaman emak ke tanah suci sepuluh tahun dulu, memang kena bawa. Kini kebanyakannya disediakan oleh pihak hotel. Kalau tidak..bawalah selendang shawl fabrik kashmir [wool]. Atau beli sahaja di sana."

Bimbang takut tidak sempat membeli, saya membawanya bersama. Kakak ipar pula menyarankan agar membawa beg kecil untuk dibawa tangan.

"Bawa satu untuk dibawa di atas kapal terbang. Pilih beg kecil yang boleh ditarik bagi memuatkan 2-3 helai pakaian. Ia juga berguna semasa di Mina nanti. "

Lalu, saya mengambil keputusan membawa satu beg besar yang boleh ditarik untuk keperluan diri sendiri. Beg besar itu akan dimasukkan ke dalam pesawat. Beg kecil yang boleh ditarik tangan saya masukkan sehelai tuala kecil, sehelai jilbab labuh, ubat dan berus gigi. Beg yang disumbangkan oleh pihak tabung haji.

Beg untuk suami, saya masukkan dua helai kain ihram, tuala mandi, dua helai seluar jubah, sehelai kemeja putih, kain pelikat dan sehelai jubah. Saya mahu memasukkan beberapa helai lagi pakaian, namun ditolak oleh suami.

"Cukup satu beg kecil sahaja. Saya akan pakai kain ihram semasa di kompleks tabung haji. Lain-lain keperluan akan dibeli di Mekah nanti. Jubah lebih murah di sana."

Beli? Bukankah suami pernah berpesan jangan pasang angan-angan untuk membeli belah [shopping] semasa di sana? Nanti kita tenguk, siapa yang banyak mahu membeli.

Terasa geli hati dan hairan, suami yang memang anti- membeli belah boleh membuat kenyataan. Namun, saya pasti ia adalah suatu kenyataan yang mahu mententeramkan hati. Agar saya tidak memuatkan segala yang ada di rumah untuk di bawa ke tanah suci.

"Bukahkah kita berada di sana untuk sementara sahaja?"

Benar. Beg adalah suatu keperluan. Namun jangan sampai ia membebankan.


Gambar ihsan:

http://airyahoney.blogspot.com/2008_03_01_archive.html

Saturday, October 9, 2010

Pakaian di tanah suci

Seminggu sebelum berangkat, hati semakin resah, gementar dan berdebar-debar. Semakin dekat tarikh yang dinantikan, fikiran semakin kacau.

Perkara utama yang sering menjadi tumpuan jemaah wanita adalah bekalan pakaian. Berapa banyak yang perlu di bawa? Jenis apa? Sesuaikah dengan keadaan cuaca? Saya tidak terkecuali. Pesanan yang sering dititik beratkan oleh ustaz adalah aurat. Aurat ketika beribadat.

"Jika kita melihat pakaian kita nipis lagi jarang dan memerlukan telekung untuk bersembahyang, itu maknanya pakaian itu tidak sesuai untuk kita. Pakaian yang boleh dibawa terus sembahyang adalah tandaras [benchmark] bagi pakaian wanita islam."

Ia suatu kenyataan yang terkesan. Biasanya saya hanya menjaga aurat ketika mahu bersembahyang. Namun, pakaian ke pejabat walau bertudung langsung tidak memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki. Menutup sekadarnya..masih berani berkain nipis tanpa lining. Masih tidak kisah, walau kain berbelah menampakkan kaki. Pakaian ketat melekat menampakkan tubuh badan.

"Ya Allah, daku mahu berubah kepada yang lebih baik. Cukuplah..jadikan haji ini sebagai sempadan untukku berubah dari segi pakaian, akhlak dan amalan."

Apabila bercerita tentang pakaian, ia memang berkait lansung dengan cuaca.

"Masa musim sejuk, sejuknya sampai ke tulang rusuk. Lebih-lebih lagi jika kita ke masjidil haram seawal pukul 1 - 2 pagi. Apabila tiba musim haji.. sejuknya akan lebih terasa ketika semua jemaah ditinggalkan di Mudzalifah tanpa khemah. Kami pernah berada di sana dari pukul 12 tengah malam hingga ke subuh."

Seorang ibu saudara bercerita. Yang lain pula menokok tambah;

"Di Mekah, jika musim sejuk..memang terlalu sejuk. Jika panas..terlalu panas. Berdoalah agar kita dapat bersabar dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan. Ingat kisah nabi Ibrahim a.s bagaimana Allah katakan supaya api itu sejuk, maka ia tidak menjejaskan."

Sementara rakan yang lain pula berkongsi pengalamannya.

"Alah, belilah Long-John atau Thermal yang digunakan oleh orang putih pada musim sejuk. Kainnya nipis tapi dapat menampung haba yang cukup bagi memanaskan badan. InsyaAllah, tiada masalah kesejukan."

"Oh ya, thermal.. ia merupakan pakaian dalam berlengan panjang, sepasang dengan seluar panjangnya. Kami pernah memakainya semasa musim sejuk di luar negara. Ya Allah, kenapalah boleh terlupa?"

Memandangkan musim haji yang bakal kami lalui menempuh musim sejuk, lalu kami segera ke kedai menjual pakaian panas untuk musim sejuk [winter] yang terdapat di kompleks membelibelah. Kami membeli dua pasang lagi. Sepasang untuk Kak Mie dan sepasang untuk Azlina.

Setelah mengambil pakai nasihat emak, ibu-ibu saudara, ipar duai dan rakan taulan, akhirnya kami membeli 3 pasang jilbab yang labuhnya separas pergelangan lengan tangan. Serta 2 pasang telekung. Emak berpesan;

"Jilbab ringkas. Kita boleh bergerak pantas tanpa bimbang kain ditarik orang."

"Tidak terkeluarkah tangan kita semasa bertawaf jika berjilbab?"

"Oh, awak masukkan sahaja tangan di dalam jilbab. Macam kita berpeluk tubuh"


Semakin ramai yang berkongsi pengalaman, hati kami semakin tenteram. Kami menyediakan 3 pasang baju labuh berseluar panjang dan 2 pasang jubah. Kami sediakan 3 pasang sarung tangan separas pergelangan tangan. Kami beli beberapa helai setokin hitam dan berwarna gelap. Kami sarungkan kasut tanpa tumit.

"Awak akan melihat jemaah wanita dari berbagai negara dengan pelbagai cara berpakaian. Biarkan..itu cara mereka. Mazhab kita berbeza."

Benar. Jauh berjalan luas pengalaman. Namun, perjalanan haji ini suatu yang dituntut sekali seumur hidup. Ia panggilan illahi. Barangkali inilah perjalanan pertama dan terakhir. Patutkah kami mengambil sikap secara lewa? Patutkan kami mensia-siakannya?

"Ya Allah, andainya ini perjalanan pertama dan terakhirku ke rumah-Mu..jadikan ia yang terbaik buatku. Sesungguhnya kami datang semata-mata kerana-Mu. Ikhlas untuk beribadat kerana-Mu.

"Wahai tuhan, terimalah daku. Sesungguhnya hidupku, matiku, ibadatku.. semata-mata kerana-Mu. "
Gambar ihsan :
http://pakaianhajiumrah.blogspot.com/2010/05/blog-post_4294.html

Thursday, October 7, 2010

Uzur di tanah suci


Semasa menerima kunjungan rakan taulan serta sanak saudara, ada yang bercerita tentang keadaan wanita ketika uzur. Ia perkara lumrah, fitrah kejadian Allah kepada kaum hawa.

"Ya Allah, akak sudah tiga tahun tidak datang haid tetapi tiba-tiba di tanah suci ia datang kembali."

Kuasa dan kejadian Allah, tiada apa yang pelik.

Namun, rata-rata rakan wanita ramai yang terkilan atau tercalit sedikit kekesalan apabila waktu-waktu itu berkunjung datang. Terasa rugi kerana tidak turut sama beribadat di masjidil haram atau masjid nabawi.

"Walaupun tempoh harinya sama seperti di tanah air , namun di tanah suci ia terasa lama sekali."

Ada juga yang memberikan pandangan berbeza.

"Seminggu dalam keadaan uzur, bosan terkurung dalam bilik. Masa itulah akak ambil kesempatan bershopping sakan!"

Ada juga yang menyarankan agar mengambil suntikan dari klinik bertauliah bagi menghentikan putaran haid jika tempoh uzurnya jatuh ketika musim haji. Akhirnya setelah mengambilkira semua keadaan, saya mendapatkan nasihat dan bantuan doktor pakar. Doktor membekalkan saya sejenis pil menahan haid dengan iringan kata nasihat.

"Pil ini hanya usaha dan ikhtiar kita. Kuasa Allah mengatasi segalanya."

Benar. Saya melepasi tempoh dan dapat mengerjakan haji dengan sempurna. Dapat wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah, bermalam di Mina bagi melontar jamrah, dapat bertawaf tujuh pusingan keliling kaabah dan melakukan sa'ie dari bukit Safa dan Marwah. Bertahlul lantas selesai proses haji.

Namun, saya uzur sehari selepas berada di Madinah. Hanya sempat sembahyang beberapa waktu di masjid nabawi dan hanya sekali sembahyang sunat di Raudhah. Sayu dan sedihnya hati tidak terperi. Suami memujuk;

"Redha sahaja dengan ketetapan Allah. Nanti Allah memberikan ganjaran kepada awak sebahagian daripada amal ibadat saya."

Lega. Lalu, saya melantik diri sebagai pembantu kepada seorang nenek [80 tahun] dan ibu tua [70 tahun] yang tinggal sebilik dengan saya. Nenek itu ditemani oleh anak lelaki dan ibu tua datang bersama suami yang beberapa tahun beza usia dengannya. Di Madinah, laluan masuk ke masjid nabawi bagi jemaah lelaki dan wanita terpisah.

Tahulah saya kenapa Allah mendatangkan tempoh uzur di Madinah. Ia menetapkan agar saya membantu keduanya. Setiap pagi, saya menyediakan teh dan mengambil sarapan pagi di dewan makan. Membacakan tafsiran dan terjemahan al-Quran di waktu Duha. Suatu hari saya terdengar ibu tua berdoa:

"Ya Allah ya tuhanku..aku datang ke sini untuk beribadat kepada-Mu. Aku datang bersama suamiku. Tidak ingatkah dia lagi kepadaku? Tidak mahukah dia membawaku ke masjid nabawi?"

Nenek tua pula selepas sembahyang subuh teresak-esak di atas kati. Rintihannya jelas kedengaran.

"Ya Allah, daku tidak berdaya untuk berjalan. Bagaimana mungkin anak lelaki dapat membawaku ke masjid nabi. Kata nabi Muhammad, jika kamu datang ke sini tetapi tidak melawat ke rumahku..kamu bukannya dari kalangan umatku."

Luluh hati dan perasaan apabila mendengar rintihan mereka. Lalu, suami meminjamkan kerusi roda rakan sebiliknya. Selepas mereka bersiap diri, saya menolak kerusi roda mereka untuk bersembahyang di masjid nabawi. Seorang demi seorang. Bergilir-gilir. Di masjid nanti, kak Mie dan Azlina sedia menunggu untuk membawa mereka ke Raudhah.

Subhanallah! Alhamdulillah, rupanya uzurku di sana telahpun direncana oleh tuhan yang mengetahui segalanya.

Wednesday, October 6, 2010

Tandas


Sebelum berangkat ke tanah suci, ramai rakan-rakan dan sanak saudara bercerita tentang pengalaman sepanjang mereka berada di sana. Rata-rata menceritakan isu yang sama - tandas!

"Pertama, tandas di masjdil haram dan masjid nabawi letaknya di tingkat bawah. Ada tangga bergerak. Kalau kita bawa orang tua, perlu berhati-hati. Ramai yang tergelincir dan tersekat kerana tidak biasa dengan tangga seperti itu terutamanya orang-orang kampung pendalaman. "

Ada logiknya kata-kata mereka.

"Perkara kedua, tandas semasa di Mina. Jemaah haji beribu-ribu orang ramainya berkhemah di situ, berbanding dengan tandas yang disediakan."

Benar. Kami mengambilkira perkara itu kerana mahu setiap ibadat yang dilakukan dalam keadaan berwuduk atau ada air sembahyang. Berbagai persoalan masih bermain-main dalam kepala. Akhirnya, selepas mendengar berbagai pendapat kami berdoa dan menyerahkan diri kepada Allah.

Selepas mengambil air sembahyang atau wuduk, tanpa berlengah kami bersembahyang sunat dua rakaat. Sembahyang sunat wuduk. Di dalam sujud terakhir, kami lintaskan dalam hati;

"Ya Allah, kami datang ke rumah-Mu semata-mata kerana-Mu. Kami ingin melakukan ibadat dengan penuh khusyuk lagi tawaduk. Wahai tuhan, jangan sampai kami kerap ke tandas lantas menganggu urusan ibadat. Peliharalah ibadat kami. Peliharalah wuduk kami. Jangan sampai urusan tandas itu menyusahkan kami.

"Wahai Tuhan, berikanlah kami ilham."

Subhanallah! Sepanjang kami di tanah suci, Allah menunaikan doa kami. Tidak terasa pula hendak membuang hajat atau melepaskan angin dari badan. Alhamdulillah, jika kami mengambil wuduk pada pukul 2 pagi, ia mampu bertahan sehingga selesai sembahyang subuh atau sehingga pukul 7 pagi.

Biasanya wuduk yang diambil waktu dhuha, dengan izin Allah, mampu bertahan sehingga sembahyang zohor. Kemudian kami pulang sebentar ke hotel, bagi merehatkan diri, membuang hajat dan memperbaharui wuduk. Wuduk waktu sembahyang asar juga mampu bertahan sehingga ke waktu Isyak. Mahasuci Allah!

Di Mina, Allah mengilhamkan kami agar membaca pergerakan dan gelagat manusia. Dari pengamatan kami, kebiasaannya jemaah berpusu-pusu dan beratur panjang ke tandas di waktu puncak : ketika hampir waktu sembahyang, selepas makan dan waktu pagi.

Kami memilih waktu yang songsang!

Alhamdulillah, terbangun dari tidur kami terus mandi dan mengambil air sembahyang seawal pukul 2 pagi [ bersamaan hampir pukul 7 pagi waktu Malaysia]. Ramai yang masih tidur ketika itu dan kami boleh memilih mana-mana tandas yang ada.

Kami masuk ke tandas dan memperbaharui air sembahyang sekali lagi ketika orang sedang menikmati hidangan makanan. Ketika itu, bilangan jemaah ke tandas tidak sesak atau hampir tiada. Pilihlah mana-mana tandas yang kita suka.

Tandas dan wuduk. Ia masih lagi menjadi topik hangat para jemaah yang mahu dikongsi cerita.

Gambar ihsan :

http://hassan1663.blogspot.com/2009/12/perjalanan-haji-hari-melontar-jamrah.html

Monday, October 4, 2010

Travelog Cinta Abadi : suatu perjalanan


Saya mencatat Travelog Cinta Abadi: suatu pejalanan, dengan perasaan penuh kerinduan. Rindu pada masa yang berlalu. Rindukan rakan sekampus dan teman sebilik yang entah kemana menghilang.

Subhanallah! Kuasa Allah mengatasi segalanya. Saya ditemukan Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang, Tuhan yang mendengar rintihan dan bisikan dengan salah seorang rakan.

Saya temui rakan ini melalui alam maya. Apabila menghubungi, nada suaranya masih seperti dahulu. Ceria. Beliau adalah pembaca manuskrip ke 2.


Komen ke 2


Travelog Cinta Abadi: Suatu Perjalanan [TCASP] mempunyai ratusan watak segar dan hidup. Di antaranya terselit Yatie dan Han. Hampir 45 bab awal sama ada disebut atau tidak, kedua-duanya berada sangat hampir dengan watak utama yang menjadi bahan penceritaan.

Yatie adalah saya!

Benar, Roza adalah seorang sahabat biasa-biasa yang rapat. Saya tidak tahu beliau berbakat besar, boleh menulis dan menghasilkan karya yang cukup luar biasa sehingga berjaya mengheret saya leka membaca TCASP sehingga ke nokhtah terakhir. Ia tidak perlu dipaksa-paksa. Malah ia meluncur laju daripada satu bab ke bab yang lain.

Bahasanya mudah, tidak sukar untuk menghadamkannya malah langsung tidak membebankan fikiran khalayak pembaca. Anehnya, tiba-tiba sahaja saya tersedar yang cerita mudah dan biasa-biasa itu mempunyai maksud tersirat yang sangat signifikan. Saya fikir, ia cerita Roza tetapi ada dalam setiap mereka yang membaca buku ini.

TCASP menjadikan saya begitu terkesima kerana Roza mampu menjadikan perjalanan hidupnya sebagai sesuatu yang sangat istimewa. Beliau begitu menghargai setiap saat yang dilaluinya sehingga mampu mengimbas dan mengingati apa jua yang berlaku dan mengambil ikhtibar bagi setiap detik tersebut sama ada ia pahit, masam atau manis.

Sebagai pembaca, saya seolah-olah sentiasa berada di tempat beliau dengan merasai setiap getarnya dan menyaksikan keindahan alam – misalnya – musim luruh yang digambarkannya. Malah saya ternampak-nampak sekumpulan biri-biri sedang meragut rumput pada musim luruh yang dingin.

Sejuknya menyerap ke dalam hati dan perasaan!

Buku ini merupakan anugerah buat semua terutamanya kaum wanita yang mahu melihat diri sendiri secara santai tetapi penuh makna. Tahniah Roza, TCASP berjaya mendokumentasikan kisah suka duka seorang gadis biasa kepada wanita luar biasa tanpa sedar!

Friday, October 1, 2010

Takut

Akhirnya, kami bulatkan hati menyerahkan diri kepada Allah. Berdoa sambil membayangkan setiap pergerakan yang bakal kami lalui bermula dari rumah.

Kami bayangkan pergerakan dari rumah ke Tabung Haji di Kelana Jaya, memohon agar Allah memudahkan segala urusan. Kami bayangkan pula urusan dari KLIA ke imegresen Jeddah. Dari Jeddah ke kota Mekkah. Dari Hotel ke masjidil haram.

“Ya Allah, dekatkanlah kami dengan masjidil haram. Kami ingin sentiasa berada di sana. Janganlah jadikan jauh itu halangan untuk kami berulang-alik melakukan ibadat di masjidil haram. Kami ingin sentiasa di depan kaabah-mu ya Allah. Kami ingin berada berhampiran mu’tazam. Kami ingin sujud di hijir Ismail..”

Membayangkannya sahaja sudah cukup membuatkan air mata kami mengalir.

Benar. Kami tidak dapat membayangkan apakah bakal berlaku di sana nanti. Bukan kami sahaja yang berada di situ, malah berjuta-juta umat Muhammad yang datangnya dari jauh dan dekat. Semuanya dengan niat yang satu – menunaikan rukun islam yang ke lima kerana perintah Allah.

“Ya Allah, jika rukun yang ke lima itu hanya sekali seumur hidup perluku lakukan.. Jadikan haji ku nanti haji yang mabrur. Barangkali itulah haji pertama dan terakhirku..”

Kami bayangkan waktu wukuf di arafah, Mudzalifah dan beberapa hari bermalam di Mina. Kami mohon sungguh-sungguh agar Allah sentiasa membantu dan memberikan ilham kepada kami. Jangan sampai kami terlupa rukun haji, terlanggar pantang larang dalam ihram dan jangan sampai kami menjadi lemah dan malas sepanjang berada di tanah haram.

“Yang, ingat ..kita ke sana semata-mata untuk beribadat kepada Allah. Bukan mahu membeli belah. Jangan sampai awak terleka sehingga mengambil keputusan untuk sembahyang di bilik hotel sahaja.”

Suami berpesan lagi.

“Fadilat sembahyang di masjidil haram adalah 100,000. Bodoh kalau kita memilih sembahyang di hotel yang fadilatnya sama sahaja jika kita sembahyang di Malaysia.”

Mulut suamiku memang celupar. Sedap betul dia berpesan, entah-entah Allah menterbalikkan segalanya. Sebagaimana yang dikatakan oleh orang ramai ia sebagai balasan tuhan! Benarkah begitu?

“Ya Allah, kami takut. Jadikan ketakutan kami sebagai pemangkin untuk kami bersungguh-sungguh melakukan ibadat haji ini kerana –Mu. Jangan sampai kami malas, lemah, sakit dan tidur sahaja. Sesungguhnya kami menyahut lambaian haji ini semata-mata kerana-Mu.”

Takut. Itulah gambaran perasaan insan yang fakir lagi jahil yang sering ditakut-takutkan dengan pembalasan dari tuhan!

Thursday, September 30, 2010

Kami takut ya Allah!

Semakin hampir tarikh keberangkatan kami ke tanah suci, semakin kuat goncangan ketakutan hati. Segala yan dibuat terasa tidak kena. Semakin banyak tips yang diajarkan oleh rakan-rakan, semakin terasa kebimbangan.
“Ya Allah, apa yang kami tahu? Apa yang kami tahu?”

Saban hari, fikiran kami semakin buntu. Dengan izin Allah, semakin kerap kami terjaga di tengah malam. Ia sebagai suatu persiapan dan juga memberikan kami peluang bermunajad kepada Allah. Dari luar bilik terdengar suara suami seolah-olah bercakap-cakap dengan sesaorang. Sekejap kuat, sekejap perlahan. Bercakap hampir dua jam.
Ya. Kami suami isteri benar-benar ketakutan.

Emak dan abah sering berpesan agar kami membiasakan bangun seawal pukul 2 pagi. Kata mereka, banyak urusan ibadat yang boleh dilakukan di Baitullah sebelum masuk waktu sembahyang subuh.

“ Bangunlah seawal jam 2 pagi dan terus ke dataran kaabah. Terus lakukan tawaf sebanyak tujuh pusingan. Niatkan tawaf sunat. Ia lebih afdal daripada sembahyag sunat Tahyatul Masjid.”

Kami semakin gusar.

“Kadang-kadang kami melakukan umrah. Selepas memakai kain ihram, kami menaiki van atau teksi ke Tana’im atau Ja’rannah untuk berniat umrah. Kemudian terus bertawaf tujuh pusingan di masjidil haram. Jangan bimbang jika terbatal wuduk semasa bertawaf, ambil semula wuduk. Kemudian kita hanya perlu sambung sahaja pusingan yang tertinggal.

Abah sambung lagi.

“Sebaik sahaja selesai tujuh pusingan kaabah, kami sembahyang sunat tawaf di belakang makam nabi Ibrahin dan minum air zam-zam. Kemudian kami lakukan sa’ie dari bukit Safa’ ke Marwah ulang-alik sebanyak tujuh kali. Kemudian kita tahalul bagi membebaskan diri dari larangan dalam ihram. Itu sahaja proses umrah.”

Tahlul? Semakin gundah gulana hati kami. Perkataan-perkataan arab seperti itu kadang-kalanya menakutkan kami yang tidak memahami bahasa arab. Lalu, kami dapatkan beberapa naskah buku panduan haji dan umrah dari kedai-kedai buku.

“Oh, itu makna tahlul rupanya..”

Semakin banyak yang kami baca dan semakin banyak yang kami dengar dari rakan-rakan serta sanak saudara, ia semakin mendebarkan. Ia bukan seperti menyiapkan diri untuk menghadapi ujian peperiksaan.