Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, April 16, 2010

Selamat pagi Malaysia

Juruterbang mengumumkan jangka masa ketibaan sejam sebelum mendarat di lapangan terbang. Kami bersiap-siap, mengemas barang yang dibimbit tangan. Jam di tangan masih menunjukan waktu di United Kingdom. Cepat-cepat kami tukar kepada waktu Malaysia supaya minda kami cepat bertindak, berubah pantas mengikut waktu tempatan!

Selamat pagi Malaysia!

Sementara menunggu bagasi sampai, kami mengemas diri dalam bilik air berhampiran. Menyarung semula sut agar kelihatan seperti orang baru pulang dari luar negara. Saya ikat semula skaf dileher dan sematkan kerosang diatasnya. Ah, menawan! Anak-anak masih meronta-ronta, namun akur apabila melihat saya mula menyinga!

“Pakai setokin dan jaket itu!
Selepas memunggah beg ke atas troli, kami cepat-cepat menuju ke balai ketibaan. Dari jauh kelihatan abah dan emak sedang menunggu. Kami bersalaman dan berpelukan.

Suasana sibuk dan padat dengan manusia, membuatkan kami mengelepar kepanasan. Peluh menitik, merecik ke seluruh badan. Terasa bahang yang membara. Suami sibuk sekali berulangalik menguruskan begasi dan kelihatan dia mula menanggalkan sut dibadannya.

Saya? Masih dengan sut sedondon untuk mempertahankan gaya, walau peluh menyimbah mengalir terasa dari hujung rambut hingga hujung kaki. Anak-anak? Saya biarkan sahaja emak menanggalkan pakaian mereka. Hanya tinggal seluar sekeping tanpa pakaian jenama luar negeri! Pipi mereka merah menyala.

Alhamdulillah! Allah masih meminjamkan sedikit masa lagi kepada saya untuk bertemu mereka. Azrai bagaikan tahu yang abah itu adalah datuknya. Tanpa kekok, dia terus memeluk tengkuk abah. Abah ketawa gembira.

“Azrai! Ini atok”

“Atok-atok.”

Azrai memanggil atoknya dengan perkataan berulang.

Dalam kereta, suami memberitahu kepada saya;

“Yang, pasport saya hilang. Di terminal tadi, masih ada dalam poket sut itu.
Terjatuh agaknya semasa saya menanggalkannya.”

Barangkali dalam kalut-kalau, suami tidak perasaan passportnya keciciran. Kereta kebangaan Malaysia jenama Proton Saga Abah terus meluncur laju tanpa peduli dilema yang sedang kami hadapi.

Kami dibawa oleh abah ke rumah sewa lama di Subang Jaya. Kata abah, menurut adik ipar, rumah itu akan dijual oleh pemilik rumah. Sesak. Wan, Kak Yah sekeluarga, adik-adik kandung dan adik-adik ipar memenuhi rumah teres kecil itu. Ayah tidak dapat datang kerana masalah kesihatan. Perjalanan jauh dari Besut ke Subang Jaya tidak sesuai malah tidak selesa untuknya.

Melihat anak-anak tanpa pakaian, sedangkan saya masih bertahan dengan sut sedondon dibadan, memang benar membuatkan terlopong mulut mereka sebagaimana dijangka. Dari raut wajah mereka bagaikan dapat dibaca. Pasti dalam hati mereka bukannya kagum malah berkata yang maksudnya begini;

“Ya Allah, panas-panas buta masih pakai sut hitam tebal sedondon dengan skaf
tercekik dileher! Sudah buang tabiatkah agaknya?”

Dari Besut, wan membawa bekalan makanan kegemaran untuk anak lelaki sulungnya yang baru pulang dari luar negara. Kerutup daging, nasi dagang serta ikan aye [tongkol]. Enak dan berselera!

Azrai mengemari tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah tiga serangkai. Air tangan wan memang menjadi. Tapai itu masak tepat pada masanya. Sesekali saya melarang Azrai yang tidak henti-henti membuka bungkusan tapai satu persatu. Lalu, saya bersuara:

“Azrai, cukup! Nanti sakit gigi”
“Atok-atok, I want some more please [saya hendak lagi] ”

Azrai bagaikan tahu ke mana tempat dia boleh mengadu serta menagih simpati apabila ibubapa tidak dapat diharapkan. Azrai berlari mendapatkan datuknya.

Tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah tiga serangkai masih kemas dalam tangan. Masih tidak mahu dilepaskan. Wan dan emak ketawa kecil melihat gelagat Azrai yang cuba berlindung dibelakang atuknya.

“Atok-atok, help me. Help me… please [tolong saya]”

Betapa Azrai kelihatan mengada-ngada sekali. Lebih selesa dengan bahasa pertuturan harian diluar negara hingga tidak menggunakan bahasa ibunda. Bahasa ibunda yang difahami tetapi tidak dapat dituturkan dengan lancar.

Tiba-tiba, saya terkenangkan mak wa.

7 comments:

  1. Tahniah diatas pelancaran buku TCA

    Dari
    azie & Fara (Shah alam)

    ReplyDelete
  2. salam pn roza..
    seronok sungguh membaca tulisan puan.
    seolah saya pun ada dalam setiap cerita puan ini.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Puan Roza, kelakarnya.salam dari Dilla.

    ReplyDelete
  4. dah jumpa pasport prof?

    ReplyDelete
  5. Saya balik dari Kanada dulu pakai dress hitam dengan topi besar warna merah. Ala ala fesyen model gitu, dengan rantai kayu. Prasan lawa sangat. Jumpa je dengan mak "Awat la anak aku mengaji jauh2 balik pakai rantai orang asli" huhuhuhu zaman jahiliah betul masa tu.

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum pn...rindu dengan suasana kelas...rindu jgk dgn puan...
    n alangkah seronoknye kalu dapat ikut jejak langkah puan...dapat merantau ke negara orang menimba pengalaman dan ilmu ....

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum,

    Bagi nanak-anak bekas pelajar [UiTM Segamat], jika rindu..jenguk-jenguklah wajah yang pernah menyuapkan sedikt ilmu ke dada kita.

    Seperti kamu, mereka juga rindukan wajah nakal itu.

    ReplyDelete