Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, June 20, 2011

Sup berkrim

Ketika berhenti rehat di ruang rehat staf, saya terliur melihat seorang rakan sekerja mengeluarkan sup panas dari microvawe oven. Perut terasa lapar tambahan pun ketika itu musim salji di bumi Scotland sedang mengila.

Sup berkrim itu di cecah dengan roti. Aromanya memenuhi di segenap ruang rehat staf. Tidak tahan sambil menahan kelaparan, lalu saya bertanya;

"Leslie, sup apa tu? Nampak sedap."

"Sup cendawan dalam tin.. jenama Campbell's."


Leslie tersenyum sambil menunjukkan bekas tin itu di sudut pantry yang masih belum di buang. Rupa-rupanya sup segera. Sup cendawan? Barangkali samakah rasanya seperti sup yang dihidangkan di Pizza Hut ketika di Malaysia?

Tidak tertahan menahan air liur, saya segera menyarung kot lantas segera ke pasaraya berhampiran. Terdapat berbagai jenama sup di atas rak itu. Namun, mata saya mencari jenama "Campbell's." Subhanallah! Berbagai jenis sup berkrim terjual di atas rak - sup cendawan, sup ayam, sup brokoli, sup carrot, sup sayur campuran, sup bawang, sup labu [pumpkin] hinggalah ke sup ekor [oxtail soup].


"Halal ke sup cendawan ni?"


Mata saya segera membaca bahan-bahan yang tertera di label tinnya. Hampir kesemua sup sayuran itu terdapat bahan air rebusan atau "broth" di dalamnya. Kelaparan dan kuatnya naluri untuk mencuba, lalu saya mencapai sup cendawan dan membayarnya di kaunter.


Semasa cubaan untuk membuka tin sup cendawan itu, mata saya masih lagi membaca ramuannya. Hati tertanya-tanya, apakan air rebusan itu datangnya dari rebusan sayuran? Tiba-tiba saya membatalkan niat untuk mencuba. Timbul was-was dan syak wasangka.

Beberapa hari kemudian, ketika Laura [jiran di tingkat 3, dari Canada] datang ke rumah bersama anaknya, saya melihat dia membawa bekalan sup berkrim. Sambil berbual dia menyuapkan sup yang di cecah roti ke mulut anaknya. Segera saya bertanyakan resepi dan "broth" atau air rebusan yang digunakan untuk membuat sup berkrim yang bermain di dalam kepala.

"Oh, kami selalunya menggunakan tetulang ayam, daging atau ikan. Boleh juga menggunakan air rebusan sayur-sayuran seperti kentang, carrot dan sebagainya."

"Bagaimana dengan sup cendawan ini?"


Lalu saya menunjukkan tin sup cendawan yang dibeli tempohari. Laura nampak terkejut dan bertanya;

"Kenapa menggunakan sup di dalam tin? Bukankah senang sahaja membuatnya..?"


Saya lebih terkejut apabila Laura mengajak saya ke ruang dapur. Meminta izin membuka peti sejuk dan melihat apakah sayuran yang saya ada. Di keluarkannya cendawan butang segar yang belum berbuka. Sekotak susu segar dan mentega. Di ambilnya seketul ayam segar lalu di rebusnya. Dalam rebusan itu dimasukkan sebatang daun bawang [spring onion] dan secubit garam. Tangan Laura pantas memotong kuib bawang besar dan cendawan butang.

Sementara stok ayam mendidih, Laura memanaskan periuk yang lain di atas dapur. Dimasukkannya mentega dan bawang besar. Apabila bawang mengeluarkan aroma dimasukkannya cendawan butang yang di racik kasar. Sambil itu disenduknya air rebusan ayam dan dimasukkan sesudu tepung gandum lalu dikacau-kacau. Disenduknya lagi air rebusan ayam. Kemudian bahan tadi di kisar menggunakan "Blender" atau pengisar tangan.

Saya melihat Laura menunjukkan cara membuat sup berkrim dengan pantas. Akhirnya bahan yang di kisar, air rebusan ayam dan susu segar dimasukkan ke semuanya di dalam satu periuk.


"Rebuslah apa-apa juga jenis sayur-sayuran yang mahu dijadikan sup bersama rebusan ayam , tulang atau daging itu. Apabila empuk, sayur itu dikisar di masak bersama susu segar. Jika awak mahukan sup itu kental, masukkan tepung gandum lebih sedikit."

Hari itu saya benar-benar berpuas hati. Mulai hari itu, sup berkrim sering menjadi menu hidangan kami.

Saturday, June 18, 2011

Leeks

Suatu masa dahulu saya fikir sayur-sayuran hanya sedap untuk dijadikan hidangan sampingan bersama lauk-pauk dan nasi sahaja. Rupa-rupanya ia juga boleh dijadikan hidangan minum petang.

Bagaimana? Ia boleh digoreng dengan mencelupnya dalam telur yang dipukul lalu di salut dengan breadcrumbs.

Setiap kali saya pergi membeli sayur di kedai sayur-sayuran dan buah-buahan, mata saya tertumpu kepada sayur itu. Rupanya seperti daun bawang. Segar dan masih berakar. Ketika di Malaysia, sayur itu banyak terdapat ketika di musim perayaan tahun baru cina.

Leeks - itu nama diberi. Kebanyakan orang-orang barat memanggilnya sebagai "poor man's asparagus." Ia dari jenis tumbahan bebawang.

Apakah masakan yang sedap untuk sayuran itu selain di goreng bersama cauliflower, carrot, kacang peas dan brokoli? Kata Ruth, seorang kenalan dari Scotland,

"Leeks sedap dicampur dalam sos putih [white sauce]. Sos itu digunakan untuk lapisan lagsana dan ikan panggang [baked fish]. Sedap juga di buat sup berkrim."

Saya diam kerana tidak dapat membayangkan bagaimanakah rupanya masakan yang dimaksudkan. Sehingga suatu hari yang tidak di rancang, Ruth menjemput kami datang ke rumahnya di petang hari natal. Bagi menunjukkan kesungguhan, dia datang lagi menjemput kami di rumah.

"Jemputlah ke rumah kami pada petang hari natal. Kami akan hidangkan menu masakan tradisonal bagi orang-orang Inggeris dan Scotland. Kami jamin halal."

Janji Ruth apabila kami menyatakan bahawa kami orang muslim dan menyentuh perihal makanan halal. Bagaimana Ruth mahu menjamin itu makanan halal? Soalan pertama yang ditanya adalah jenis makanan dan kemudiannya bahan-bahan yang digunakan bagi bumbu masakan.

Benar, ketika kami menghadiri majlis makan di petang hari natal bersama seluruh keluarganya, Ruth menghidang sambil menerangkan bahan-bahan yang digunakan dan cara memasaknya.

"Bagi tuan dan puan sekeluarga, kami sediakan baked fish with leeks and white sauce. Prawn cocktail itu kami gunakan thousand island sahaja. Christmas cake dan roasted turkey itu tidak halal."

Setiap kali Ruth menghidang, bahan-bahan dan cara memasaknya di ulang-ulang. Kami suami isteri tidak tahu apakah hukum merayakan perayaan hari natal bersama keluarga Inggeris dan Scottish itu..tetapi apa yang kami tahu adalah ketulusan hati Ruth.

Kami melihat bagaimana dia menghormati kepercayaan kami dan seboleh mungkin menyakinkan bahawa dia boleh dipercayai.



Friday, June 17, 2011

Kentang

Ketika di luar negara, nasi merupakan makanan mewah kami sekeluarga. Bayangkanlah harga sepuluh kilo beras panjang [American long grain] mencecah 20 pound sterling! Jika ditukarkan dengan tukaran ringgit Malaysia - sekitar RM90 -RM100!

Kami tidak mampu.

Sebagai makanan alternatif, kami menukar selera dan menu harian dengan roti, pasta dan kentang. Namun, kentang dan sayur segar adalah makanan utama kami. Sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak yang sedang membesar lagi kuat makan, otak saya sentiasa berputar memikirkan apakah hidangan yang perlu disediakan.

Akhirnya saya bertemu dengan kentang!

Semasa di lua negara, saya bertemu dengan berbagai spesis kentang yang berbagai rupa, saiz dan warna. Setiap satu mempunyai kelebihan dan enak dimasak jika kena dengan resepinya.

Di pasaraya luar negara, setiap kentang yang dipromosikan akan disertakan dengan latarbelakang, cara penjagaan, khasiat dan resepinya. Saya teruja!

Saya lebih teruja dengan harganya. Bayangkan.. 10 kilogram kentang yang digunakan khas untuk di goreng [potato chips] atau di panggang [baked potatos] harganya hanya 1.99 pound sterling. Itu sekitar RM10 sahaja!

Subhanallah! Jika itu yang lebih baik, mengapa tidak saya mempelajari segala resepinya. Pilihan itu diberikan oleh Allah bagi kita memikirkannya. Puas mengoreng ia boleh direbus, di panggang, di lecek, di hiris nipis, dijadikan sebagai lapisan, di jadikan sup, dijadikan inti, pegedel dan seribu satu macam lagi..

Kentang.. ia mengajar kami erti menghargai dan mensyukuri nikmat kurniaan illahi. Jika nanti anak-anak saya terlontar jauh di rantau orang, saya akan katakan kepada mereka;


"Wahai anak-anakku.. Janganlah berkira, belajar bersyukur dengan apa jua juadah yang ada. Terimalah kurniaan Allah yang dihidangkan kepada kita di bumi yang dipijak ini. Belajarlan menukar selera. Sesungguhnya kita makan untuk meneruskan hidup bagi mengabdikan diri kepada tuan punya dunia, bukan hidup untuk menjadi hamba kepada makanan di dunia."

Jadi, kami tepuk dompet..sebelum bertanya pada selera!

Hidup biar jadi seperti kentang.. Jika di hidang kepada orang kaya ia jadi mulia, jika tidak ia jadi makanan asas bagi orang biasa-biasa. Pokoknya tidak tinggi menjulang. Merendah diri tetapi dalam diam ia berisi.

Wednesday, June 15, 2011

Breadcrumbs

Saya banyak belajar memasak semasa berada di luar negara - Dundee, Scotland. Ketika itu anak-anak sedang membesar, mereka sangat gemar makan. Tambahan pula disebabkan pengaruh iklan di televisyen yang berleluasa. Sara pasti mengheret tangan saya setiap kali kami melintasi restoran makanan segera seperti Kentucky Fried chicken atau McDonald.

"Makanan itu tidak boleh dimakan sayang..tidak halal."

"Ayam.. tidak halal?"

Saya cuba menerangkan kepada Sara yang pada ketika itu berusia 3 tahun. Manalah kanak-kanak seusia itu benar-benar memahami makna halal. Sebab itu setiap kali melintasi restoran segera itu, dialog yang sama terjadi.

Akhirnya, saya berusaha mencari buku resepi di car Boots sale atau di Charity shop. Alahai, buku terpakai. Luarannya nampak lusuh, tetapi ilmunya masih sama.

Seperti biasa, apabila suami pergi sembahyang Jumaat, pulang nanti pasti dia membawa sebungkus ayam dan daging halal dari pekedai muslim keturunan pakistan. Hari itu saya siapkan semua bahan-bahan yang diperlukan untuk diperap pada ayam - sedikit bawang putih, serbuk halia, lada sulah dan garam. Namun, puas saya mencari breadcrumbs di kedai runcit berhampiran dengan apartment kediaman kami. Tiada atau barangkali saya tidak mengenali rupanya.

Hari itu semangat saya berkobar-kobar mahu menyediakan hidangan ayam goreng bersalut tepung itu walaupun puas mencari bahan yang satu itu. Sehingga suami pulang ke rumah, breadcrumbs yang di cari masih tidak ditemui. Lalu, saya segera menukar resepi. Ayam yang telah diperap itu saya microwave sebentar, kemudian celupkan ke dalam telur yang dipukul sedikit. Ayam itu saya gaulkan dengan tepung gandum dicampur dengan sedikit serbuk kari. Goreng dengan minyak banyak [deep fry]

Wah, anak-anak saya makan sehingga menjilat jari!

Selang beberapa hari, ketika saya sedang mengalih sofa di ruang tamu, kaki saya terpijak sisa sekeping roti putih yang ditinggalkan oleh anak-anak di bawah sofa itu. Roti keras itu pecah berderai dan menghasilkan Breadcrumbs!

Subhanallah! Beberapa keping roti saya bakar ke dalam ketuhar dan sejukkan untuk beberapa ketika. Kepingan roti itu mengeras, lalu saya mengisarnya menjadi... breadcrumbs! Hari itu saya mendapat ilmu baru, semua hidangan saya [cendawan butang, brokoli, ikan, carrot, ayam] menggunakan menggunakan bahan yang sama - breadcrumbs.

Monday, June 13, 2011

Pasteri

"Sesuatu yang menjadi kekurangan kita, jangan dipertontonkan" pesan pakar motivasi yang bersiaran di kaca televisyen.

Benar, itu boleh diaplikasikan ketika menjamu tetamu yang datang berziarah ke rumah. Jika tidak begitu berkeyakinan dengan resepi masakan tradisional, usahlah masakan itu yang mahu di tonjol. Jika tetamu yang datang adalah pakar masakan.. jangan bimbang. Resepi kita tidak pernah tersalah bancuhan asalkan ia secukup rasa lemak, manis dan masinnya.



"Makanan yang di masak dengan nama Allah, tidak akan tersalah resepi. Selawat kepada Rasulullah atau sebutlah mana-mana nama Allah banyak-banyak sambil kita mengoreng ikan atau mengacau lauk di dalam periuk."

"Sambil menyenduk lauk ke dalam pinggan berdoalah agar masakan itu mendapat berkat kepada sesiapa yang memakannya dan memberikan kesihatan yang baik agar kita dapat beribadat kepada-Nya. Jangan lupa mendoakan agar makanan itu mengikat perasaan kasih suami dan anak-anak kepada kita"



Panjang lebar seorang kakak itu memberi petua. Benar, kakak itu tidak pernah merasa gusar setiap kali kami singgah apabila melintasi rumah mereka. Dia dengan senang hati mengajak kami masuk.

"Mari masuk..kita minum kopi dahulu."


Lalu, kakak itu akan ke dapur dan memasak apa yang ada dengan dada yang lapang. Tetamu yang hadir baginya membawa seribu rahmat. Sekiranya kami mahu cepat, lalu cepat-cepat kakak itu menyediakan resepi segera. Di hiris-hirisnya bawang besar, daun bawang dan dimasukkan segenggam ikan bilis atau udang kering ke dalam bancuhan tepung. Sambil membancuh tepung, kuali minyak panas sudahpun terjerang di atas dapur.

"Mari kita makan cucur."

Cucur juga boleh dihidang? Saya memanggilnya sebagai jemput-jemput. Lain orang, lain jenama masakannya. Pantas kakak itu membuat kerja. Sebentar sahaja hidangan minum petang sudahpun tersedia. Benar, tetamu sebenarnya tidak berkira dengan apa yang dihidangkan tetapi sebaliknya layanan atau penerimaan tuan rumah. Itu dapat di baca, apakah mereka menerima kita dengan hati yang terbuka.

Di masa yang lain, apabila suami memberitahu rakan sepejabat mahu datang ke rumah. Saya belajar supaya tidak mengelabah. Yang perlu saya ketahui adalah bilangan yang hadir dan waktu kedatangan supaya saya dapat menyesuaikan keadaan masakan.


"Minum petang.."

Saya hanya diberikan masa satu jam. Kalau saya menyediakan kek.. Ah, kek orang sarawak sangat hebat jika dibanding dengan kek lapis strawberi saya. Lalu, saya adunkan doh pasteri, leper-leperkan ke dalam bekasnya dan bakar sebentar. Sementara itu saya bancuh adunan quice, cream cheese dan apple pie. Ketiga-tiga adunan itu boleh di bakar serentak.

Dalam masa yang sama saya kacau custard di atas dapur. Apabila mengeleggak, tutup api dan saya biarkan sebentar. Kemudian adunan custard dicurahkan ke dalam bekas lutsinar. Saya selang-selikan dengan biskut dan biarkan sejuk sebentar. Kemudian saya aturkan buah-buahan dalam tin diatasnya dan curahkan jeli segera. "Triple" itu adalah manisan pencuci mulut kegemaran keluarga.


Sebelum suami dan rakan-rakan sampai ke rumah, saya pastikan semua cawan dan pinggan telah terhidang. Suami paling sibuk melayan tetamu dengan mengagihkan kepada mereka setiap hidangan satu persatu. Petua saya, jangan dikeluarkan hidangan pasteri semua sekali. Tinggalkan yang paling istemewa yang akhir sekali sebagai penambat hati - the master piece!

Hadiah yang paling indah adalah melihat senyuman dan jelingan suami!

Friday, June 10, 2011

Kek hati pari

"Terima kasih bagi resepi kek coklat, tuk kakak embak kek hati parek."

Kakak jiran belakang rumah datang bertandang ke rumah sewa kami di suatu petang. Barangkali kakak itu tidak menyangka saya akan memberikan resepi kek coklat yang di hidangkan kepadanya.

Ketika itu dia datang membawakan sekotak lilin. Kerap sangat dia memuji kek coklat yang tinggi kolestrol itu - saya curahkan coklat cair serta taburkan coklat rice dan kacang badam ke atasnya. Ditengah-tengah kek itu saya lapiskan dengan cream cheese serta buah cherry merah.

"Susah-susah kakak bawa lilin ke rumah kami. Suami saya mahu membelinya balik kerja nanti."

Barangkali keluarga kakak itu perasan rumah kami bergelap malam semalam ketika eletrik tiada secara tiba-tiba. Begitu semangat kejiranan yang kami rasai.

"Kek hati parek?"

"Auk.. nya pakei kismis hitam sampei 1 kg. Blend kismis ya sampei halus dan masukkan dalam adunan. Kukus sampai 8 jam."


Subhanallah! Saya benar-benar kagum dengan kesabaran orang-orang sarawak dalam bab membuat kek. Mereka sanggup bersabar hanya bagi menghasilkan kek lazat yang terbaik. Saya fikir kek krismas atau kek kukus buah yang kaya dengan pelbagai buah campuran adalah yang paling enak, rupa-rupanya tidak!

Mahasuci Allah yang pengasih lagi maha penyayang.. Kalaulah saya dapat sesabar itu dalam beribadat menunaikan sembahyang sunat tasbih, barangkali saya dapat melakukannya setiap hari.

"Wahai Tuhan, sesungguhnya para malaikat, gunung-ganang, ulat-ulat, batu dan daun malah setiap mahluk yang dijadikan bertasbih memuji kebesaran-Mu. Mengapa tidak diriku? Mengapa berat benar tubuh dan hatiku untuk bertasbih kepada-Mu yang telah banyak melimpahkan nikmat rezki kepada diriku"

Subhanallah! Mahasuci Allah yang melimpahkan kasih sayang-Nya dengan memberikan ilham dan mengajarkan ilmu kepada orang sarawak melalui pelbagai kek yang dihasilkan. Limpah kurnia rezeki itu adalah nikmat yang tidak terperi dari Allah yang maha kaya. Langsung tidak sedikitpun menjejaskan kekayaan-Nya. Malah, ilham dan ketinggian ilmu itu merupakan sedikit ujian samada kita bersyukur serta semakin hampir dengan-Nya atau sebaliknya.

Kek hati pari, lazatnya tidak terperi!

Tuesday, June 7, 2011

Kek lapis Sarawak

Pulang dari Scotland, suami ditugaskan ke Kuching, Sarawak. Tugasan yang diterima dengan rela. Tugasan yang diterima dengan penuh debaran. Berdebar kerana itu pertama kali kami menjejakkan kaki di bumi kenyalang.Gambaran orang dayak serta rumah panjang bermain di mata.

Namun, illusi kami ternyata meleset kerana Kuching jauh lebih maju dari apa yang dibayangkan. Ia bandaraya tersusun yang moden ditebingan sungai. Waterfrontnya indah menawan. Bukan calang-calang!

Kami dijemput rakan lama suami. Dibawanya kami pulang ke perkampungan melayu di tebingan sungai Sarawak. Kami dipelawanya tinggal sebumbung bersama keluarga mereka -ibu, emak saudara dan keluarga kakak sulungnya. Beberapa minggu kami disitu sehingga mendapat rumah sewa. Kami menyewa di rumah jiran bersebelahan rumah mereka.

Tahun itu, kami merayakan aidil fitri di bumi kenyalang. Benar kata orang, jauh berjalan luas pengalaman. Di akhir bulan Ramadhan, kami melihat seluruh kampung berpesta memasang lampu kelip-kelip dan pelita. Bertuntung hari tujuh likur, kata mereka.

Persediaan di rumah kecil kami ala kadar sahaja. Selain memasak rendang, sayur lemak lodeh dan ketupat segera, saya membuat kek coklat dan kek lapis strawberi sahaja.

Selalunya kek itu di bakar. Namun, saya terpaksa mengukusnya kerana hanya kukusan sahaja yang terdapat di rumah sewaan itu. Kek lapis strawberi saya perlu mengukus dua adunan berselang seli. Kerja renyah namun saya puas hati dengan hasilnya. Kek itu dihiris-hiris lalu saya masukkan ke dalam piring leper.

"Cantinya..macam kuih lapis," saya memuji diri dalam hati.

Pagi-pagi lagi rakan sebelah rumah dan jiran tetangga datang menghantar juadah. Kami bertukar hidangan. Puas kami menunggu tetamu di rumah selepas sembahyang raya, namun tidak ramai yang muncul. Beberapa kumpulan kanak-kanak jiran tetangga sahaja yang menziarahi. Merekalah yang memeriahkan rumah kami.

Mereka berbisik-bisik apabila melihat hidangan saya. Lagi kuat mereka berbisik apabila saya menuang air sirap biji selasih ke dalam gelas mereka. Mereka menjamah rendang, sayur lodeh dan ketupat segera dalam satu pinggan bergilir-gilir.

"Mari ambil pinggan seorang satu..sedap rendang ni."

"Nyaman tapi kamek kenyang gilak. Di rumah kamek orang masak manok juak.."

Sebentar sahaja mereka meminta diri. Sebelum pulang, mereka menghulur tangan untuk bersalaman. Suami menyambut tangan mereka disertai nota RM1 bagi setiap seorang. Mereka berbisik-bisik lagi sambil menyeringaikan gigi.

Tengahari kami mengambil keputusan untuk berziarah ke rumah rakan-rakan penduduk tempatan. Subhanallah! Kek lapis mereka sepenuh meja makan. Setiap satu lapisannya dijalin halus dengan berbagai corak serta warna. Kami terpesona. Rakan itu memperkenalkan kek yang terhidang itu satu persatu apabila di tanya;

"Itu kek lapis tikar getah, kek lapis sisik ikan, batik kenyalang, tulip, polkadot, ketupat, wawasan...."

Mahasuci Allah yang memberi ilham kepada manusia dengan pelbagai cara. Saya sesak nafas. Dalam diam saya berjanji.. jika mereka datang menziarahi rumah kami, saya tidak sekali-kali akan mengeluarkan kek lapis strawberi!

Gambar ihsan : house of annie