Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Tuesday, September 8, 2009

Baju Raya

Semasa kecil saat yang paling dinantikan oleh kami adik beradik adalah hari raya. Itulah saatnya kami berpeluang membeli kasut dan baju baru di bandar Segamat. Sekali setahun. Ketika kami masih tidak mempunyai kereta, abah akan menempah kereta sewa.

Abah akan memperuntukkan hari minggu untuk kami membeli kasut dan sepasang baju. Kata abah, pilihlah mana-mana kasut yang berkenan di hati, nanti abah beli. Lalu, kami akan membuat pilihan sampai naik pitam kerana keseronokan. Hati melonjak-lonjak dan berbunga-bunga. Saat paling gembira.

Mak pula akan membeli kain ela untuk dijadikan baju kurung teluk belanga [kurung Johor] Kainnya fesyen gombang ombak beralun. Cara memakai kainnya yang diperlukan hanyalah kain perca yang panjang untuk dililitkan sebagai tali pinggang. Pilihan kain adalah pelbagai. Selalunya mak akan memilih warna yang terang rona berbunga kecil.

Mak memilih kain ela yang akan dipadankan secara berpasangan. Saya akan berpasangan dengan Kak Long Pidah. Tuti berpasangan warna baju bersama Ratna manakala Raihan akan dipasangkan bersama Ayu. Razif tersendiri.

Pernah suatu ketika, kami benar-benar berdebar kerana baju raya kami betul-betul dapat disiapkan di pagi hari raya yang mulia..

Semasa remaja, mak mencadangkan kami menempah pakaian dari seorang teman yang tinggal di rumah kedai di pekan Jementah. Kami terasa sangat bergaya dengan fesyen pakaian baju kurung Malaysia. Tiada lagi kain gombang.

Semasa di awal perkahwinan, pakaian anak-anak mula diutamakan. Untuk kami suami isteri, saya hanya menyediakan sepasang sepersalinan pakaian kurung moden warna sedondon. Tampak seia sekata.

Namun, semasa di luar negara persediaan pakaian raya adalah ala kadar sahaja. Hati sangat tersentuh dan terharu apabila menerima kiriman dari kak Yah [kakak ipar] yang bersusah payah mengepos baju kurung untuk anak-anak memakainya di pagi raya.

Di Scotland yang sejuk beku, baju raya hanya di pakai di dalam rumah sahaja. Apabila keluar berziarah ke rumah rakan taulan, kami menyarung jumper yang tebal.

Hari ini, anak-anak seolah-olah langsung tidak kisah dengan baju raya. Mengapa tidak. Ia boleh diminta dari ayah mereka bukan hanya tertentu pada hari raya sahaja.

Suatu hari minggu di bulan Ramadhan, apabila anak-anak pulang sebentar untuk berbuka dan bersahur bersama, saya mengambil kesempatan mengajak mereka untuk membeli baju raya :
"Azrai, Amirul...jom kita ke Melaka untuk membeli baju raya"

"Mmm..belilah baju apa-apa ma.. kami tidak kisah. Kalau kami tidak pergi pun tak apa kan?"

Ya Allah. Rupa-rupanya anak-anak sekarang semakin tidak hairan.. Apa sangatlah nilai sehelai baju raya kepada mereka yang ibubapa mereka mampu membelinya pada bila-bila masa.

10 comments:

  1. Salam, Roza
    Salam ziarah. Selalunya pembaca senyap, tetapi hari ini terpanggil untuk memberi komen. Pasal baju raya. Biasanya saya pun membeli baju baru untuk anak-anak sekali setahun, masa raya. Yang lain mereka akan pakai baju warisan daripada yang lebih tua/sepupu. Tahun ini, secara seloroh, saya berkata "kita tak payah beli baju rayalah tahun ni, kita beri duit tu untuk Palestine." Minggu lepas,sewaktu keluar membeli belah, sibongsu berkeras tidak mahu dibelikan baju raya tahun ini......Allahu Akbar

    ReplyDelete
  2. salam roza,

    masa mengubah segala galanya.

    ReplyDelete
  3. Salam Kak Roza...

    mungkin anak2 Kak Roza dah besar2...tp buat anak2 sy yg baru bersekolah rendah nie...mrk masih lg teruja utk menbuat persiapan hari raya....mungkin ibadah posa yg mrk lalukan membuatkan mrk teruja utk menyambut raya..

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum

    Memang betol budak2 tak berapa nak kesah tentang baju raya.

    zaman dah berubah.


    Kak wati

    ReplyDelete
  5. hUrm..even i da umo 20 tp stil ghairah nk bli bju rye..hehehe...

    ReplyDelete
  6. salam puan,

    hanis nak jadi anak puan boleh.... anak sulung?...nanti puan mesti ajak hanis p beli baju raya ;-)

    ReplyDelete
  7. assalamualaikum roza,

    baju kurung teluk belanga dgn kain ombak beralun ikat pakai kain perca...teringat memakainya semasa bersekolah ugama (ptg) di labis. bila terpijak sure terlondeh sikit..terkial2 nak membetulkannya...tp skrg zaman dah berubah...mcm2 fesyen ada...

    ~mas abrizah~

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum,

    Di suatu majlis UiTM Johor bagi meraikan anak-anak yatim, kami lihat anak-anak itu memakai berbagai saiz pakaian. Bila di tanya pakai baju siapa?

    Jawab mereka :

    1. baju kakak [anak itu berbaju kebaya]
    2. baju arwah ayah [baju melayu dan sampin]
    3. baju dan tudung mak [yang berbadan besar]
    4. baju tahun lepas [kecil dan singkat]

    Lalu terlintas di dalam hati, alangkah baiknya jika baju raya dibelikan untuk anak-anak yatim seperti ini..

    ReplyDelete
  9. Salam Pn Roza,

    betul, masa mengubah segalanya. Apa yang puan alami tentang kuih raya dan baju raya, lebih kurang sama dengan apa yang saya alami. Anak2 saya masih bersekolah rendah, masih teruja dengan baju raya, tapi bezanya mereka pakai terus sebaik sahaja baju itu siap / dibeli, tak payah tunggu hari raya. Jadi bila hari raya tiba, baju tu dah dipakai untuk kali ke 2 @ 3 @ 4...

    Saya pernah bagi baju2 lama masih cantik untuk anak2 miskin, terharu rasanya, bila mereka memakainya, boleh rasa di hati bahawa mereka amat menghargai pemberian kita, walaupun sekadar baju terpakai...

    Kehidupan kita sekarang tidak sesusah dahulu, tapi itulah cabarannya untuk mengajar anak2 kita (juga diri kita ibubapanya) supaya menghargai apa yang Allah berikan untuk kita. Terlalu banyak nikmat-Nya. Subhanallah.

    Selamat menjalani tarbiyah Ramadan di sepuluh malam terakhir ini.

    ReplyDelete
  10. Salam puan,

    Zaman dah berubah. Pengalaman dgn anak sendiripun lebih kurang sama, cukup susah nak ajak pergi beli baju w/pun setahun sekali. Akhirnya bawa baju/seluar yg masih muat ke kedai utk contoh ukuran.

    ReplyDelete