Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, September 7, 2009

Berhijrah

Kami sekeluarga berpindah rumah secara rasmi dari kampung Paya Jakas ke kawasan perumahan di pekan Jementah pada pertengahan Ramadhan. Ruang bahagian dapur dan bahagian beranda telah dipecahkan untuk menambah sedikit keluasan.

Kami merasa sedikit nikmat kesenangan hidup. Kemudahan yang Allah telah tetapkan. Kedai, klinik, sekolah dan rumah yang berhampiran tepi jalan besar memudahkan untuk mendapatkan perkhidmatan kemudahan kenderaan awam.

Letih berkemas di tambah dengan keadaan berpuasa amat mencabar keimanan. Tetapi mak sering mengingatkan kami bahawa sabar itu adalah merupakan sebahagian daripada iman.


"Sambil berkemas tu..zikir di dalam hati. Sebutlah mana-mana nama Allah di dalam Asmahul Husna...Ya Alllah..Ya Latif..Ya Hayum..Ya Qayum.."

Tidak banyak barangan yang di bawa. Yang banyak hanyalah kain-kain baju sahaja. Lalu, kami buntilkan kesemuanya di dalam sehelai selimut besar. Ia seolah-olah seperti bekalan putera raja yang berkelana dari kampung ke kampung pada zaman dahulu kala!

Baju tersebut kebanyakannya adalah hasil pemberian orang. Kadang-kadang jika ada sepupu atau saudara mara dari bandar menghantar baju terpakai pun kami adik-beradik tidak pernah menolaknya. Mak akan mengecilkan bahagian lengan atau pinggang agar ia sesuai dengan keadaan fizikal kami.



"Terima sahaja. Janganlah malu. Berikan pahala kepada mereka yang menderma. Mereka ikhlas"
Untuk baju raya, Mak akan menjahit baju kurung Johor [Teluk belanga] dengan kain gombang ombak beralun. Kain itu seperti kain batik atau kain pelikat yang hanya dijahit di bahagian tepi sahaja. Apabila hendak memakainya kami akan menggunakan jari jemari untuk mengalunkanya seperti lipatan kipas di bahagian tepi.

Kemudian kain itu kami ikat dengan lebihan perca yang digunakan sebagai tali pinggang. Sebab itulah baju-baju kurung kami boleh di pakai oleh turun temurun.

Kainnya akan dipakai selagi hayat. Rasanya kain tersebut begitu banyak sekali mendapat pahala jika hendak diambil kira. Kerana selepas ia diturunkan kepada adik-adik yang lain, tarafnya pula akan menjadi pengalas untuk pinggan basah. Kemudian selepas beberapa lama..ia menjadi kain buruk pula. Kain-kain buruk itu akan digunakan sehinggalah ia mereput dan tidak berguna lagi.

Sebab itulah kami menjadi hairan apabila Allahyarham P.Ramlee menyanyikan lalu "Tudung periuk pandai menari" di mana senikatanya berbunyi :

"kain yang buruk berikan kami..

buat menyapu..buat menyapu si air mata..."

Kami geli geleman mendengarnya kerana membayangkan kain buruk di rumah kami.

Sepanjang kami berkemas, Mak Wa menemani kami. Tergambar ada kesayuaan diwajahnya. Kerana mulai saat itu akan hilanglah bunyi riuh rendah hiruk pikuk suara adik-beradik kami yang seramai tujuk beradik.

"Berhijrahlah. Mungkin itu lebih baik untuk kita kerana Allah lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Berhijrah kepada perkara yang lebih baik"
Diam. Kemudian Mak Wa sambung lagi.


"Jika kita hendak memulakan sesuatu yang baik..mulakanlah sekarang. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam. Esok lebih baik dari hari ini"
Mak Wa benar-benar sayu.

Sedangkan hati kami meronta-ronta kegembiraan untuk menikmati sedikit perasaan 'kesenangan' dengan segala perkhidmatan dan kemudahan di pekan. Nikmat berkumpul semula bersama keluarga!

8 comments:

  1. Assalamualaikum

    Masa tu kebanyakan kain baju kurung memang dibuat kain begitu. Tidak dijahit macam sekarang. Akak pernah pakai kain macam tu.
    Tiba-tiba sakit perut pergi keklinik. Doktor heran betol tengok kain macam tu.

    Dia tanya adakah sebab sakit perut, tu yang
    ikat kain begitu. Gelihati pun ada, malu pun ada.


    Kak Wati

    ReplyDelete
  2. salam ziarah dari anak jati segamat johor, skrg menetap dan kerja di lembah klang..

    ReplyDelete
  3. Salam Kak Roza,
    Teringat juga kain lipat macam tu, kami memanggilnya kain johor, memang guna tali pinggang...masa sekolah, kain baju kurung saya begitu...tak de yang berjahit terus.., memang boleh pakai sampai habis tingkatan lima...

    ReplyDelete
  4. Salam Roza,
    saya pun dulu pakai kain macam tu. pernah satu raya tu kain saya terlucut dari pinggang sebab raya sakan.masa tu kat pekan pulak.terpaksa cari van untuk berlindung nak ikat kain tu balik. gelihati betul bila diingatkan kembali masa dulu..

    roslina

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum,

    Yang bagusnya kain gombang ombak beralaun tu..kita tidak ada masalah tentang kegemukan atau kebuncitan.

    He.he..anytime boleh di adjust.

    Che'Pit..selamat datang.

    ReplyDelete
  6. ish... agaknya kalau saya pakai kain tu masa kecil dulu, samada asyik terburai atau saya menjadi gadis yang paling sopan sekali! :D

    ReplyDelete
  7. hehehe..teringat pula Ayu yang mak mula-mula menyediakan kain sebegitu ketika di darjah 4 (10 tahun) sebagai uniform sekolah. masa tu, sangat bangga...kerana dah rasa mcm budak besar (mcm kakak-kakak).

    malangnya, hari pertama berada di sekolah dek kerana terlalu excited, kain terlucut/terlondeh kesan daripada terpijak kain. Kawan yang bertanggungjawab, Sarah beriya-iya mahu menolong. walaupun malu, terpaksa berlagak selamba kerana pertolongan ikhlas daripada beliau.

    Kesan daripada kejadian ini, Ayu berusaha belajar dari mak, kak Na & kak An bagaimana nak pakai kain sebegini...selalunya mak pagi2 yang pakaikan kain ni....eei..malunya.........

    ReplyDelete
  8. psst..kita pakai kain dalam masa kecik2 tau!!

    ReplyDelete