Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Saturday, September 12, 2009

Mereka orang miskin..

Saya pernah menulis di dalam ruang komen tentang topik baju raya :

Di suatu Ramadhan ketika UiTM Johor mengadakan majlis bagi meraikan anak-anak yatim, kami lihat anak-anak itu memakai berbagai saiz pakaian. Bila di tanya pakai baju siapa?

Jawab mereka :

1. baju kakak [anak itu berbaju kebaya]
2. baju arwah ayah [baju melayu dan sampin]
3. baju dan tudung mak [yang berbadan besar]
4. baju tahun lepas [kecil dan singkat]

Lalu terlintas di dalam hati, alangkah baiknya jika baju raya dibelikan untuk anak-anak yatim seperti ini..

Semasa kecil, saya teringat bahawa abah dan mak jika berkesempatan [terutamanya ketika musim hari raya] akan membawa kami menziarahi rumah saudara mara sebelah mak yang kebanyakannya tinggal di kawasan pendalaman. Biasanya abah akan menyewa kereta untuk ke sana.

Kebanyakan mereka tinggal di kawasan yang mana kampungnya amat payah untuk di sebut. Kami adik-beradik akan menyebutnya di dalam keadaan tertahan-tahan menahan tawa dan melafazkan dengan cara berlebih-lebihan.
"Kampung Sepang Loi, kampung Mensodut Pindah, kampung Sermin, kampung Awat, kampung Kuala Paya.."
Kadang-kadang kami akan mengajuk-ajukkan gaya pertuturan mereka. Beralun-alun tonasinya berbagai gaya.

Namun, jika kami ke kampung mereka akan terasa sesuatu yang menyentuh perasaan. Untuk menuju ke kampung mereka sahaja, kami terpaksa melalui jalan tanah merah yang sempit. Di kiri kanan masih kelihatan seperti hutan. Berlopak seperti jalan laluan lori mengangkut kayu balak dari hutan.

Di celah-celah rimbunan pokok itulah terdapatnya rumah-rumah pondok kayu kepunyaan saudara mara sebelah mak. Mereka ceria menyambut kami sekeluarga. Segera menyediakan secerek teh-o panas tanpa gula. Menghidangkan makanan apa yang ada.

Ada yang menghidangkan nasi dengan lauk masak lemak cili padi ikan lais salai. Ada pula nasi dengan lauk pucuk-pucuk kayu sahaja. Namun, kebiasaannya adalah hidangan ubi rebus dengan kelapa parut atau sambal tumis ikan bilis. Pernah sekali kami dihidangkan dengan sejenis kekacang yang dikatakan biji teratai. Tuan rumah beria-ia mengajar kami cara memakannya.

Di dalam ramai-ramai sanak saudara sebelah mak, ada sebuah rumah yang tidak dapat dilupakan. Paling terkesan. Rumah kayu mereka sederhana besarnya berlantaikan buluh. Tingkapnya terbuka. Tiada selak. Penutup tingkap di buka luas bertongkatkan sebatang buluh.

Di dinding rumah mereka terdapat ampaian yang tersidai pakaian. Tiada perabot. Tiada apa-apa.

"Mak..kesiannya rumah mereka"

"Mereka orang miskin dan susah..malah tiada ayah"

"Ooo..patutlah"
Saya melihat anak-anak mereka yang kecil memakai gaun yang tidak sepadan usia. Rasanya gaun itu adalah baju untuk orang dewasa. Lalu, kami terbayang pakaian terpakai yang diberikan oleh saudara mara dari bandar. Kami jahitkan di bahagian lengan dan ikat dengan tali pinggang. Jadilah ia gaun yang bergaya.

Ketika kecil, saya fikir kami adalah tergolong daripada keluarga susah apabila saudara mara menghantar pakaian terpakai mereka. Mula-mula agak malu juga untuk menerimanya. Lama kelamaan, apabila mengenangkan ada orang lain yang lebih susah.. Lalu, kami terima dengan hati yang terbuka dan mula mengagihkannya kepada saudara mara sebelah mak.

Melihat keadaan anak-anak mereka, hati saya pernah berkata-kata:

"Ya Allah, jika dipanjangkan usia, dengan izin-Mu ingin sekali saya berbakti kepada mereka ini. Jika diberikan peluang ingin sekali suatu masa nanti saya melakukan sesuatu untuk membantu anak-anak yatim dari kampung-kampung yang terpinggir..

Wahai tuhan, datangkanlah sesaorang untuk membantu mereka. Bukankanlah pintu hati orang-orang yang berada agar menafkahkan sedikit daripada harta mereka. Harta yang disedekahkan dikatakan tidak akan kehabisan..

Ya Allah. Tunaikanlah segala hajat, makbulkanlah segala permintaan.."
Ketika itu otak kecil saya membuat kesimpulan bahawa ternyata bantuan yang diperlukan oleh mereka bukan tertentu di bulan Ramadhan. Jika saya kaya.. jika saya berada.. jika saya berkemampuan.. saya ingin membantu mereka secara berterusan.

Kata ustaz, sesungguhnya di dalam setiap harta kita ada hak untuk diri, untuk ibubapa, untuk saudara mara yang miskin, untuk anak-anak yatim dan musafir yang terlantar di dalam perjalanan..

Benar. Mengapa tidak kita menunaikan hak mereka dengan berkongsi sedikit nikmat kesenangan yang telah Allah pinjamkan..?

4 comments:

  1. Kak Roza,
    InsyaAllah, dengan izinNya, kita akan sama-sama membantu saudara-saudara kita yang lain. Alhamdulillah, Allah melimpahi rezekiNya pada umat Muhammad, cuma kita yg kurang menghargai... (saya lah ni)

    ReplyDelete
  2. Itu cerita puan Roza semasa kecil, tetapi sekarang dah berpuluh tahun berlalu, saya rasa kehidup mereka sudah jauh berubah, sudah semakin senang atau pun sudah kaya raya...

    Saya dulu pun miskin juga, tetepi sekarang alhamdulillah Allah telah memberi kesenangan, walaupun bukan kaya raya.

    Maafkan saya jika ada perkatan saya yang menyinggung puan.

    ReplyDelete
  3. salam..saya berasal dr salah sebuah kg yg disebutkan diatas.skrg dh byk berubah.walaubagaimanpun masih ada segelintir anak2 yg ketinggalan bukan kerana kedaifan tp kerana ibubapa yg tidak mahu memandang jauh kehdpn

    ReplyDelete
  4. salam puan,

    bergenag air mata saya membaca entry puan pada kali ini..saya terkenang pada nasib anak2 yatim yg saya temui pada sabtu yang lalu..masih terbayang wajah2 mereka dihadapan mata saya..wajah yg paling melekat di fikiran saya, adik fatimah yg berusia 4 tahun..anak yatim piyatu..dilahirkan cacat,tidak boleh berjalan & tidak boleh melihat..dan seorang lg, wajah anak kecil yg baru berusia 10 bulan...baru seminggu ditempatkan di rumah anak yatim itu...ayahnye telah meninggal dunia.tp malangnya, si ibu berkahwin lain & meninggalkan anak kecil itu pada bapa saudara sebelah suami..comel sangat..puan boleh ke blog saya untuk melihat wajah anak kecil itu..

    ReplyDelete