Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, September 30, 2009

Jering tanam

Jika ada yang bertanya tentang khasiat dan keenakan masakan "jering tanam", jawapan saya : tanyalah kepada Mak Wa.

Kenapa? Kerana pada hemat saya inilah ulam paling hancing kegemaran Mak Wa! Mak Wa akan ketawa apabila saya memberi komen terbuka terhadap ulam kegemarannya.

"Cukup lah makan jering tanam tu Mak Wa..hancing bilik air rumah kita"

"Cuci bilik air itu acap-acap..haaa hilanglah bau hancing tu!"

"Tidak hilang...lekat!"
Mak Wa akan diam dan tersenggut-senggut ketawa.

Jering tanam adalah sejenis ulam kegemaran orang tua di mukim Jementah. Ia merupakan jering tua yang keras. Dikatakan jika jering itu di tanam di dalam tanah ia bertambah lemak dan enak.

Kata mak Wa," Kurang sikit bau haringnya!"


Mereka tidak memakannya mentah-mentah seperti jering muda yang lembut serta ranggup. Jering tanam selalunya dimasukkan ke dalam gulai masakan - daging atau ikan. Atau di hiris halus dan dimasak sambal cili api ikan bilis.

Sejak kami berpindah ke pekan Jementah, Mak Wa sering datang bermalam. Berhari-hari. Mak Wa akan meminta sepupu di Paya Jakas untuk menghantarnya ke rumah kami.


"Mak Wa ini sudah tidak berguna lagi"

"Tidak apa..Mak Wa baring-baring sahaja"

Mak Wa akan membawa sebiji bantal kekabunya. Berbaring mengereng. Sebelah kakinya memanggung sebiji bantal kekabu yang kecil yang diletakkan di antara peha dan perutnya.

Sambil berbaring di ruang tengah rumah beliau memerhatikan kami memasak di dapur. Sesekali Mak Wa menyampuk dan memberikan arahan kerja atau petua-petua masakan. Selalunya Mak Wa datang bertandang apabila teringin memakan makanan idaman. Di minta kami memasaknya.

"Gulai ikan patin tu..santannya biar pekat sikit. Guna kelapa tua"

"Baikkk.."

"Belimbing buluh tu masukkan ke dalam gulai kemudian
sekali. Setelah awak tutup api"

"Habis tu buah cepu ni hendak masuk
waktu bila?"

"Heii..kalau dah masukkan buah cepu, tidak payahlah
masukkan belimbing buluh. Nanti berlawan pula rasanya"

Riuh rendah bunyinya.

"Jering tua tu jangan lupa di rebus empuk-empuk dahulu.
Kemudian baru di masukkan ke dalam masakan gulai tu"

"Mak Wa..hancing bau bilik air kita..."

Nota :

Saya begitu fobia dengan bau hancing akibat makan jering. Sebab itulah menu masakan jering tua tidak pernah ada di dalam kepala.

7 comments:

  1. salam
    tempat mokde panggil jering semai, hiris panjang-panjang dan masak sambal tumis, sedap (macam sambal tumis ikan bilis.....)

    ReplyDelete
  2. salam puan,

    puan...saya nak tanya sikit...buah cepu tu buah apa?

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,

    Sejenis buah asam, kecil berwarna oren apabila masak ranum. Rupanya seperti buah persimon.

    Ia amat sukar didapati sekarang kecuali di pasar Segamat.

    ReplyDelete
  4. Salam Roza,

    Bestnya buah cepu (tempat saya panggil buah cupu). Sekarang susah dah nak cari pokoknya. Jering tanam tu, kami panggil jering relung... Orang-orang tua memang suka, buat ulam. Saya suka ulam jenis daun aje!

    ReplyDelete
  5. salam puan roza,

    saya ada belajar tips menghilangkan bau hancing jering/petai

    caranya, lepas makan jering/petai tadi, makan seketul kecil gula melaka. insyaAllah tak berbau mulut, bilik air..hehe.

    ni saya belajar dari saudara mara dari seberang.
    maka, tiap kali masak jering/petai pasti gula melaka dihidangkan sekali. :)

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum,

    Terima kasih di atas semua tips dan resepi tentang jering.

    Emmm..terasa teringin pula nak mencuba resepi menggunakan jering tua tu..

    ReplyDelete
  7. Baru hari ini saya terbaca blog akak. Saya juga suka mkn masakan jering tua (rebus) dulu, tumbuk dgn batu tumbuk supaya lembut. Buat masak lemak. Arwah mak saya kata utk neutral kan bau hancing tu, kena mkn dengan terung. Oleh itu, setiap kali masak jering/petai, hidang/masak sekali lauk terung. Barulah neutral. Cuba lah... nanti ajak saya mkn sekali ye. Petai/jering ulam yg mentah saya tak pandai mkn, tapi kalau dah dimasak baru saya makan. (sasai)

    ReplyDelete