Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Sunday, November 7, 2010

Allah mendengar..

Sebelum turun dari hotel, kami memulakan langkah dengan berdoa kepada Allah. Memohon agar perjalanan kami dipermudahkan, memohon tempat yang mustajab untuk beribadat dan memohon kekuatan serta mendapat kemanisan beibadat di rumah-Nya.

Biasanya suami yang melafazkan doa di depan pintu lif. Doa kami;

"Ya Allah yang tuhan kami, kami mahu menuju ke rumah-Mu kerana ingin melakukan ibadat semata-mata kerana-Mu. Permudahkanlah segala urusan kami ya Allah. Berikan kami ruang ibadat yang doanya mustajab dan tempatnya aman tenteram agar kami sentiasa khusyuk ketika beribadat kepada-Mu.

"Ya Allah berikanlah kami kekuatan fizikal dan mental sepanjang kami berada di rumah-Mu. Wahai tuhan, sesungguhnya kami datang ke sini semata-mata kerana-Mu. Ikhlas kerana-Mu.

Wahai tuhan perkenankanlah
..."

Kebiasaannya kami membawa botol mineral kosong untuk diisikan air zam-zam semasa di masjidil haram sebagai pembasah tekak . Air tersebut kami masukkan ke dalam beg kecil.

Suatu hari, saya membawa dua botol kosong dan mengisi kedua-duanya. Sebotol saya selitkan disisi beg dan sebotol lagi saya simpan di dalamnya.

"Kenapa bawa sampai dua botol?" suami bertanya.

"Mana tahu kalau ada mana-mana jemaah tua yang kehausan.."

Saya bercakap sambil berjalan masuk ke dalam masjidil haram.

Kami berpecah apabila sampai di dalam masjidil haram. Suami akan terus berada di dataran, tempat yang sehampir mungkin dengan kaabah. Manakala kami bertiga, beredar ke belakang dataran namun bertentangan dengan mutadzam. Beberapa meter dari tempat duduk kami terdapat sebaris paip air zam-zam.

Kami melakukan ibadat tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Dunia seolah-olah sepi dari hiruk pikuk manusia yang ada di masjidil haram. Apapun yang berlaku, tidak kami hiraukan. Benar, kita boleh memahami dan menikmati perasaan khusyuk ketika di masjidil haram.

Ya Allah, biar apa yang berlaku..daku hanya bersama-Mu. Sesungguhnya hanya Allah tuhanku yang satu.”

Sedang saya mengaji al-quraan, tiba-tiba sepasang jemaah barangkali dari India, melintas diantara dua saf. Jemaah lelaki separuh umur itu barangkali baharu selesai membawa ibunya bertawaf. Mereka berdiri betul-betul di hadapan saya, lalu dia terus mencapai botol air zam-zam dari sisi beg sandang. Jemaah lelaki itu bergilir-gilir meneguk air zam-zam dari botol itu bersama ibu tuanya.

Saya, Kak Mei dan Azlina terkejut dengan tindakan mereka yang diluar jangka. Barangkali tidak tertahan dahaga mereka. Sesekali tertanya di hati, tidak nampakkah yang mereka baharu sahaja melintas kawasan paip air zam-zam di dataran berdekatan.

“Haji..halal. Halal

Sambil tersenyum saya membuat isyarat tangan agar botol itu di bawa pergi. Mereka beredar ke arah tempat Sa’ie menuju ke bukit Safa. Kami teruskan ibadat. Sembahyang sunat, mengaji al-quraan dan membaca terjemahan.

Selepas saya selesai sembahyang sunat, peha saya ditepuk dari sebelah kanan. Jemaah wanita disebelah saya menunjuk ke arah perempuan tua yang duduk bersandar di tiang seri. Beliau duduk di antara lebih kurang lima atau enam orang jemaah wanita sebaris dengan saf saya.

Saya memandang ke arah perempuan tua itu. Beliau membuat isyarat dengan menunjukan mahukan minuman. Hairan. Air apa yang diminta olehnya? Bukankan paip air zam-zam terletak betul-betul berhampiran dengannya? Barangkali dia tidak perasaan sebagaimana jemaah lelaki berbangsa India separuh umur bersama ibu tuanya sebentar tadi.

Tiba-tiba saya teringat sesuatu, lalu membuka zip beg sandang. Teringat saya masih ada sebotol air zam-zam yang disimpan di dalamnya. Saya dan Azlina saling berpandangan. Sambil mengeluarkan botol air itu, perlahan saya berbisik;

“Azlina, sesungguhnya Allah maha mendengar. Bagaimana mungkin perempuan tua itu tahu ada sebotol lagi air zam-zam di dalam beg sandang ini?”

Botol air zam-zam itu saya serahkan kepada jemaah disebelah kanan. Botol itu disambut seorang demi seorang dan akhirnya sampai kepada perempuan tua itu. Lalu, terdetik dalam hati;

Barangkali perempuan tua itu tidak boleh berjalan. Ya Allah, mudah-mudahan air zam-zam itu memberi tenaga dan kesihatan yang baik kepadanya agar dia dapat beribadat kepada-Mu.”

Sebotol atau segelas air zam-zam adalah milik Allah. Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dia mendengar bisikan hati.



3 comments:

  1. love to read your Lambaian Haji...Thanks for all the info and nasihat semoga boleh dijadikan panduan..

    ReplyDelete
  2. Menitik air mata saya membaca entry ini, terasa seperti saya ditempat saudari.....masyaALLAH..niat ikhlas saudari telah diuji allah, apa yang diperkatakan telah dimakbulkan, semoga saudari dirahmati...insyaallah...doakan saya juga dapat sampai ke tanah suci ini....maaf saya menulis di sini, saya add blog saudari dalam blog saya....suka dengan catatan saudari ...maaf dan terima kasih ya

    ReplyDelete
  3. Assalamuaalaikum wrh.,

    terima kasih puan. Bilakah agaknya saya dapat merasai pengalaman yang manis seperti ini. Tempat yang amat dirindui untuk dikunjungi.. yang terselit seribu kisah yang penuh hikmah.

    Terima kasih puan kerana sudi berkongsi pengalaman yang boleh dijadikan teladan.

    ReplyDelete