Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, November 22, 2010

Dinginnya Muzdalifah


Selepas sembahyang Isyak, kumpulan kami mula berangkat untuk mabit di Mudzalifah. Kami bergerak dengan menaiki bas mengikut kumpulan.

Menurut pendapat yang sahih, Mabit di Muzdalifah adalah kewajiban dari beberapa kewajiban dalam haji karena mengikuti sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam. Maka orang yang haji tidak dinilai telah melaksanakan kewajiban ini jika dia sembahyang Maghrib dan Isyak di Muzdalifah dengan jama' kemudian meninggalkan Muzdalifah.

Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam tidak memberikan keringanan meninggalkannya melainkan kepada orang-orang yang lemah, seperti kaum wanita, orang-orang tua dan yang seperti mereka, boleh meninggalkan Muzdalifah setelah lewat tengah malam. Sebab Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam memberikan keringanan kepada orang-orang yang lemah dari keluarga beliau dalam hal tersebut.

Sedangkan Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bermalam di Muzdalifah dan sembahyang subuh di sana dengan membaca zikir, tahlil (la ilaha illallah) dan istighfar (astagfirullah) setelah solatt. Lalu ketika langit telah menguning, beliau bertolak ke Mina. Maka yang paling sempurna bagi orang-orang yang haji adalah meneladani Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam dalam hal tersebut.

Bas menurunkan kami di lapangan luas Muzdalifah. Dinginnya udara, terasa bagaikan diri masih ada lagi tersisa dosa yang belum diampunkan oleh Allah yang maha kuasa. Pakaian panas di dalam telekung [thermal long john] bagaikan tidak dapat menampung kedinginan udara tengah malam. Kami mengutip batu-batu kerikil kecil dalam kegigilan.

Bayangkan..bagaimana pula keadaan jemaah lelaki yang hanya diselimuti oleh dua helai kain bagi menangkis kesejukan?

Kami beristighfar dan berzikir sambil merebahkan diri serta mencari pelindung di celah beg pakaian. Terlelap seketika dan bangun kembali berkali-kali kerana tidak tertahan dengan udara dingin di tengah malam. Subhanallah! Langit luas terbentang, udara dingin mencecah ke tulang hitam..

Di sana sini, jemaah lelaki sudah mula memasang unggun api. Barangkali untuk mendapat sedikit haba bagi memanaskan badan. Jemaah lelaki dan perempuan yang sudah berumur, kelihatan menyedihkan sekali. Mereka diam membisu menahan kesabaran, namun getaran tubuh badan jelas kelihatan yang mereka kesejukan.

"Yang..saya terlupa membawa selimut tebal yang tidak berjahit.."

Bisik suami yang nyata kesejukan. Kami simpati, namun tidak banyak yang boleh dilakukan.

Apabila bas mulai datang menjemput jemaah haji menuju ke Mina, ramai jemaah yang gagah perkasa berasak-asak mendahului jemaah yang lemah lagi tidak berdaya. Mereka mahu segera pergi. Barangkali dinginyn udara Muzdalifah sudah membuatkan hati mereka beku.Lalu, mereka sudah tidak pandai lagi bertolak ansur dengan jemaah yang telah tua, kanak-kanak dan wanita.

"Bersabarlah..InsyaAllah, bas tidak akan meninggalkan kita."

Subhanallah! Apakah ia dingin yang sama seperti yang dialami di zaman Rasulullah?

No comments:

Post a Comment