Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Tuesday, November 23, 2010

Janji di Jamrahtul Aqabah

10 Zulhijjah yang mengusarkan.

Kami berkumpul diluar khemah selepas subuh. Berpakat-pakat tentang mondus operandi jamratul Aqabah yang bakal dilalui. Hati gusar dengan keselamatan yang dikatakan tidak terjamin. Berita-berita dari jemaah terdahulu sering mengkhabarkan tentang isu keselamatan, kesesakan dan berita kematian.

Namun, bukankah ajal dan maut ditangan Tuhan? Jika sudah sampai masanya, pasti ia tidak tercepat atau terlambat. Redha. Kematian pasti terjadi.

Suami bertanya samada mahu melakukan lontaran di jamrahtul Aqabah di waktu Dhuha atau sebelah malam seperti yang disarankan oleh tabung haji. Dikatakan jemaah dari negara-negara lain bersesak-sesak menjadikan keselamatan tidak terjamin. Waktu malam adalah waktu yang disarankan.

"Bukankan kita mahukan yang terbaik? Didalam buku tabung haji menyatakan waktu yang paling afdal adalah waktu dhuha. Tetapi jika keselamatan tidak terjamin, kami serahkan keputusan kepada awak."

"Baik. Kita lakukan diwaktu dhuha. Sembahyang dhuha dan sembahyang hajat dahulu, pada pukul 9.00 pagi kita berkumpul di sini."

Keputusan tegas dari suami, sebagai ketua kumpulan. Katanya, tubuh badan kami sihat. Kami boleh membaca tanda arah malah boleh berfikir. Aturan tabung haji adalah yang terbaik untuk keselamatan jemaah secara general. Lalu, kami akur walau dalam masa yang sama hati merasa gerun, gementar dan semakin gusar. Sebelum pulang ke khemah, suami mengajar kami membaca pelan, jika ditakdirkan kami berpisah semasa melakukan lontaran.

"Ya Allah, jika ditakdirkan telah sampai ajal kami ketika melakukan ibadah ini..jadikanlah kematian kami ini sebagai jihad ke jalan-Mu. Jihad untuk mendapatkan haji yang mabrur."

Hati berbisik-bisik kepada Allah yang maha mengetahui.

1 comment: