Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, November 8, 2010

Menanti wukuf di Arafah

Beberapa hari lagi kami akan mengerjakan haji.

Ia bermula dengan wukuf di Arafah. Kami dijangka bertolak pada 8 Zulhijjah dan wukuf pada 9 Zulhijjah. Berkali-kali rakan jemaah yang pernah menunaikan haji berpesan;

"Waktu wukuf sangat singkat. Lebih baik makan tengahari sebelum waktu zohor kerana selepas itu kita boleh tumpukan kepada ibadat haji. Doa di waktu wukuf antara yang mustajab. Allah menjanjikan untuk mengampunkan segala dosa."

Sementara yang lain berpesan pula;

"Selepas khutbah haji.. keluarlah dari khemah. Carilah kawasan lapang dan berdoalah. Berdoalah semahu-mahunya. Bawa segala jenis buku yang mengandungi pelbagai doa jika kita tidak pandai berbahasa. Jangan hiraukan rakan sekhemah bersembang-sembang kosong ataupun berehat-rehat sahaja."

Kami tetapkan pesanan itu di dalam hati. Berjanji kepada diri untuk melakukan yang terbaik agar diterima ibadat kami dari hati yang ikhlas suci. Perasaan takut dan tidak sabar bercampur baur.

"Ya Allah ya tuhan kami, ampunkanlah segala dosa-dosa kami. Samada dosa-dosa besar, yang kecil, yang dilakukan secara terang dan tersembunyi. Dosa-dosa yang daku ketahui dan tidak diketahui. Dosa-dosa yang dilakukan oleh penglihatan, pendengaran, percakapan dan lintasan hati jahat kami.

"Ya Allah, janganlah dihukum jika kami tersalah atau terlupa. Sesungguhnya kami datang dari jauh dengan membawa dosa yang tidak tertanggung oleh kami. Kami mohon belas kasih sayang dari rahmat-Mu yang agung.

"Wahai tuhan..perkenankanlah.."

Dari Arafah, kami akan mabit di Muzdalifah bagi mengutip batu-batu. Pada 10 hingga 13 Zulhijjah kami akan bermalam di Mina untuk melakukan lontaran di ketiga-tiga jamraah. Selesai melontar kami akan berangkat ke Mekah bagi mengerjakan tawaf haji sebanyak 7 pusingan. Kemudian melakukan sa'ie dari bukit Safa ke Marwah sebanyak 7 kali berulang alik. Kami akan segera melakukan tahlul bagi membebaskan diri dari pantang larang di dalam ihram.

Jantung masih berdegup kencang. Melihat diri yang serba kekurangan. Muga Allah permudahkan segala urusan dan disudahkan dengan segala kebaikan.

4 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum
    semoga Allah memudahkan urusan saudari
    saya yang membaca pun berdebar

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum,

    Mudah-mudahan ibadah haji menjadi sempadan kepada perubahan iman dan amalan.

    "Ya Allah, muga hari ini lebih baik dari semalam. Esok lebih baik dari hari ini."

    "Wahai Tuhan, tingkatkan makam kami disisi-Mu."

    Amin.

    ReplyDelete