Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Tuesday, November 2, 2010

Ada tempat di dataran

Kami bangun seawal 1.30 pagi dan turun menuju ke masjidil haram sekitar 2.00 pagi waktu tempatan. Alhamdulillah! Ia tidak sukar bagi kami kerana di tanah air waktu itu sekitar pukul 6.30 hingga 7 pagi , waktu kami bangun tidur di Malaysia.

Rakan sebilik kebanyakannya masih lena diperaduan. Kami bangun perlahan-lahan bergilir-gilir ke bilik air. Kami mandi dan mengambil air sembahyang. Kami berkemas diri dengan menggunakan suluhan cahaya dari pintu bilik air.

Sebelum turun, kami sembahyang sunat wuduk dan sunat tahajud 2 rakaat. Lalu, bermula lah urusan kami pada hari itu, di masjidil haram.

Suasana sepanjang perjalanan dari hotel ke masjidil haram, dingin dan nyaman. Namun, jemaah yang berulang alik ke masjidil haram masih ramai. Berduyun-duyun pergi dan datang. Suasana meriah. Dini hari bukanlah suatu alasan bagi jemaah untuk beribadat di tanah haram.

Selesai minum air zam-zam sambil berdoa supaya ia menjadi penawar kepada segala penyakit dan menyehatkan tubuh badan agar kami boleh beribadat kepada Allah. Kami terus menuju ke dataran kaabah.

Waktu dini hari seperti itu, lilitan jemaah yang mengerjakan tawaf tidak seramai berbanding di waktu siang. Saya, Kak Mie, Azlina dan suami boleh memilih mana-mana tempat di dataran kaabah. Malahan kami duduk sebaris sehampir mungkin dengan mudtazam.

Masing-masing melakukan aktiviti peribadi. Kami sembahyang sunat sebanyak mungkin. Berselang seli dengan membaca quraan atau terjemahan. Penat duduk, kami berdiri. Penat sembahyang sunat, kami berzikir. Penat berzikir, kami bermunajat. Penat melakukan ibadat. Kami duduk sahaja memandang kaabah.

Subhanallah! Merenungnya sahaja boleh mengalirkan air mata. Air mata yang datang dari hati. Hati yang penuh dengan dosa. Dosa-dosa yang besar dan kecil. Dosa-dosa yang diketahui dan tidak diketahui.Lalu, kami berdoa :

"Ya Allah yang tuhanku, nikmatnya beribadat di depan kaabah-Mu. Wahai Tuhan, berikanlah rezeki kesihatan, kewangan dan kelapangan masa untuk adik-beradik, sanak-saudara dan rakan-taulan.

"Jemputlah mereka ke rumah-Mu, agar dapat mereka merasai seperti apa yang daku rasakan.

"Wahai Tuhan, perkenankanlah.."

Kami pulang selepas subuh, bersarapan dan tidur sebentar. Pergi semula pada waktu duha dan pulang untuk makan tengahari selepas zohor. Berehat seketika dan pergi semula dua jam sebelum Asar. Kami menunggu sehingga Isyak.

Selepas Isyak, diri bagaikan ditampar. Seolah-olah kami baru tersedar dari lamunan yang panjang. Sepanjang hari di masjidil haram, kami bagaikan tidak peduli apa yang terjadi. Terpesona dengan dunia sendiri. Bagaikan di dalam vakum.

Sebelum kami merehatkan diri, seorang rakan sebilik bertanya;

"Ya Allah, kakak melihat awak bertiga keluar sejak awal pagi. Pulang sebentar dan pergi kembali. Selepas Isyak baru pulang ke bilik. Nampak keseronokan beribadat di masjidil haram. Awak semua duduk di mana?"

"Kami duduk di dataran."

"Di dataran kaabah? Adakah tempat jemaah perempuan di dataran?"

"InsyaAllah, ada tempat kita kak.. Dengan izin Allah.

"Nampak jemaah begitu ramai.."

"Esok, marilah ikut kami bersama. InsyaAllah..ada tempat untuk kita."

"Errr.. Tak apalah. Kakak duduk di tingkat 2 sahaja.."



1 comment:

  1. SubhanaALLAH. terima kasih atas perkongsian kisah pengalaman ini. mudah2an kami sekeluarga juga mampu & dpt melakukan seperti mana Hjh serta keluarga lakukan. InsyaALLAH. mohon izin share doa2 yg ada di tulisan Hjh. mudah2an doa2 yg dikongsikan sama2 mendpt keberkatan dari-Nya. Aamiin

    ReplyDelete