Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, November 11, 2010

Sila ketuk pintu

Suasana di dalam masjilid haram semakin padat. Jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia datang bersesak-sesak. Sebuah demi sebuah bas datang membawa jemaah memenuhi bumi Mekah. Barangkali sudah berjuta umat nabi Muhammad S.A.W yang menyahut lambaian Illahi di tanah Haram ini.

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh." Surah Al-Hajj, ayat 27.

Ada yang sudah memenuhi ruang dataran di luar masjidil haram, mereka tidur bergelimpangan bersama seluruh keluarga. Berlantaikan mar-mar yang dingin dan berbumbungkan langit luas terbentang. Tiada dinding untuk berlindung, tiada pintu untuk di ketuk. Tiada apa yang mengusarkan mereka. Bukankah mereka datang kerana Allah?

"Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)." Surah Al-Baqarah, ayat 197.

Barangkali aman tenteram hati mereka berada sehampir mungkin dengan masjidil haram yang tidak putus-putus dikunjungi jemaah. Semakin dekat dengan hari wukuf, bilangan yang berkampung disekitar dataran di luar masjidil haram semakin bertambah. Ada yang qiamulai sepanjang malam, malah ramai juga yang tidur bergelimpangan di sudut-sudut tertentu di dalam masjidil haram.

"Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk" Surah Ali-Imran, ayat 97.

Subhanallah! Lalu, kami merenung diri yang selesa dengan ruang bilik hotel berserta tilam dan bantal empuk sepanjang berada di tanah haram. Pendingin udara serta bilik air yang memenuhi kelengkapan. Maka, nikmat Allah yang mana satukah hendak kami dustakan?

Namun, kerap kali semasa pulang ke bilik antara dua waktu solat, kami melompat bangun mencari pelindung apabila ada sang suami yang datang menyerbu membuka pintu mencari isteri.

Tanpa ketukan. Tanpa amaran. Tanpa salam.

"Haji...minta maaf. Ini bilik jemaah muslimah. Sila ketuk pintu terlebih dahulu.."

1 comment:

  1. salam puan....eh dia buat macam rumah sendiri kot...biasanya dlm rumah sendiri pun kenalah ketuk kan....Dilla

    ReplyDelete