Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, November 19, 2010

Labaik Allahuma Labaik..

Pagi 8 zulhijjah yang tenang.

Kebiasaannya kami membeli sarapan pagi dari penjual-penjual kecil di tepi jalan. Rata-rata mereka berasal dari pantai timur Malaysia dan selatan Thailand. Barangkali mereka telah bermastautin di bumi mekah.

Pagi itu, kami tidak menjalani amalan rutin. Pulang dari sembahyang subuh di masjidil haram, kami terus ke kantin di aras 2. Sambil menjamah sarapan pagi, kami mengumpul maklumat perjalanan ke Arafah dan Mina.

Pulang ke bilik hotel, kami melelapkan mata sebentar. Setengah jam kemudian kami menyiapkan diri untuk melakukan ibadah haji yang dinanti-nanti. Kami akan di bawa ke Arafah, mabit di Mudzalifah dan kemudian terus ke Mina.

Kami memasukkan dua helai telekung, dua helai jilbab, 2 pasang seluar panjang dan 3 pasang jubah ke dalam beg kecil yang dibekalkan oleh tabung haji. Kami masukkan juga sehelai sejadah.
Ada rakan-rakan berpesan agar membawa segulung tali dan juga penyangkut baju. Kami abaikan pesanan itu.

Kami dipesan agar menunggu di bilik hotel kerana bas akan datang mengambil pada bila-bila masa sahaja. Hari itu, hati kami gundah gulana kerana terpaksa sembahyang zohor dan Asar di bilik sahaja. Kami menunggu lagi sehingga masuk waktu maghrib. Hati berbisik kesal;

"Ya Allah..hari ini kami terlepas tiga waktu sembahyang di depan kaabah. Kami manusia lemah lagi tidak berdaya ya Rabb. Ampunilah kelemahan kami.."

Jemaah menaiki bas mengikut pasukan yang telah diagihkan. Lewat petang itu, kami yang telah berniat dalam ihram bergerak menaiki bas menuju ke Arafah. Kenderaan di jalan raya bersesak-sesak menjadikan pergerakan agak perlahan. Masing-masing membawa jemaah menuju ke arah yang satu. Rata-rata jemaah di dalam bas kami hanya duduk diam diri. Barangkali mereka bertalbiah di dalam hati.






Hambamu datang menyahut panggilanmu, Ya Allah, Hambamu datang menyahut panggilanmu


Hambamu datang menyahut panggilanmu, Tidak ada sekutu bagimu, Hambamu datang menyahut panggilanmu


Sesungguhnya segala pujian


Dan nikmat


Dan pemerintahan adalah kepunyaanmu


Tidak ada sekutu bagimu


Mahasuci Allah! Dari Mekah menuju ke Arafah pada dasarnya bukanlah suatu jarak yang jauh. Di musim umrah, ia boleh sampai dalam tempoh 45 minit. Namun, pada hari itu bas bergerak perlahan-lahan berpusing-pusing mencari tapak perkhemahan, menjadikan perjalanan kami menjadi lebih panjang.

Ada jemaah yang mula marah-marah kepada pemandu bas. Jemaah yang lain masih membisu seribu bahasa.

"Ya Allah..Ampunkan kami. Apakah dikau murka kerana kami tidak bertalbiah? Apakah mereka malu mengeluarkan suara untuk bertalbiah kerana-Mu?"

Hanya kedengaran sangat sedikit suara yang bertalbiah di dalam bas itu. Yang lain masih diam membisu.

No comments:

Post a Comment