Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, April 9, 2009

Kad Pengenalan


Hari itu saya bersiap lebih awal dari pagi-pagi hari Sabtu yang lain. Saya sapu minyak rambut yang di campur dengan bunga kenanga hasil tangan Mak Wa. Saya sikat rambut rapi-rapi dan mengenakan pakaian yang paling cantik sekali.

Berkali-kali saya melihat cermin. Paling ke kiri dan ke kanan. Melihat diri dari berbagai posisi. Berulang-ulang kali membuat latihan senyum. Senyuman yang paling menawan.

"Minum dulu, takut awak pitam nanti. Nak buat kad pengenalan itu bukannya sekejap. Awak kena ambil nombor giliran di Pejabat Pendaftaran."

"Baikkkk..."
Tetapi saya masih lagi tidak bergerak dari menghadap cermin muka di bilik mak. Terlintas di dalam hati untuk mencalitkan sedikit gincu bibir agar kelihatan seperti pepatah "Bibir merah bak delima merkah."

Saya cekalkan hati dan mencalit sedikit di bibir. Mengemam-gemam bibir dan juihkan sedikit. Merah dan berkilat.
"Wahh..cantik juga."

Masih tidak berganjak dan hati masih terus berkata-kata.

"Tapi.. kalau budak lelaki nampak nanti, mesti mereka ketawa berguling-guling melihat saya. Mesti mereka mengata saya buang tebiat!"
Lalu, saya mencapai kertas tisu dan membuang palitan gincu yang ada.
"Cepat sikit..Shimah, Nida dan Aja dan sampai ni.."

"Baik mak.."
Saya berlari turun ke rumah di bahagian dapur. Minum dengan tergesa-gesa dan mencapai beberapa biji jemput-jemput campuran ikan bilis dan bawang. Terima kasih mak kerana menyediakan sarapan pagi pada hari itu. Mak menyuruh saya menjamah nasi goreng terlebih dahulu, namun saya menolaknya.

Di halaman rumah, saya hampir-hampir tidak mengenali rakan-rakan sekelas saya. Mereka kelihatan anggun bergaya dan berdiri dengan penuh yakin.
Shimah bergincu merah menyala dan berbaju kebaya. Kasut tumit tingginya pasti mahal jika di beli di kedai.

Aja yang dulunya berambut lurus separas bahu, mengeritingkan rambutnya ala-ala "David Arumugam" dari kumpulan Alleycats. Pilihan tepat, mengikut aliran semasa.

Nida berpakaian kurung cekak musang ketap sampai ke dagu. Anting-anting bulatnya bagaikan gelang tangan yang pasti muat jika di sarung di lengan tangannya. Selendang kain kasa menambah gaya.
Kata cikgu,"Kita harus berubah menjadi orang baru, semangat baru dan identiti baru. Berubah menjadi insan yang lebih baik dari semalam. Penuh bertanggungjawab kepada diri, keluarga dan rakan taulan. Kad Pengenalan diri adalah lambang kedewasaan."

Terbukti.
Mereka benar-benar telah bersedia menjadi dewasa.

Gambar Ihsan dari internet : KP Siti Nurhaliza dulu.


Wednesday, April 8, 2009

Masakan


Keputusan peperiksaan darjah lima diumumkan di dalam cuti persekolahan akhir tahun. Seperti jangkaan, hasil keputusan yang diperolehi amat tidak memberangsangkan. Namun, saya menerimanya dengan hati yang terbuka malah tidak merasai apa-apa kekesalan.

Apabila cikgu bercerita tentang keseronokan sekolah berasrama penuh dan tentang kepentingan pelajaran, saya langsung tidak teruja. Beria-ia cikgu memberitahu bagaimana sekolah seumpama itu mampu membuat kita berdikari, mempunyai jati diri dan mempunyai masa hadapan yang cerah.

Tidak. Tidak berganjak daripada pendirian saya.

Otak kecil saya melihat bagaimana sekolah berasrama penuh itu akan menjarakkan hubungan kami adik-beradik, merenggangkan hubungan kekeluargaan dan menjadikan diri sebagai orang asing di dalam keluarga. Atau sememangnya saya telah ditakdirkan Allah untuk tidak ke situ kerana ada potensi untuk menjadi pembuli atau di buli (yang telah ada di dalam diri).
"Tidak mengapa, masih ada Sijil Rendah Pelajaran (SRP) semasa di dalam tingkatan tiga nanti. Saya pasti awak boleh berjaya dan memasuki mana-mana sekolah berasrama penuh yang bagus."

Cikgu Mohd Amin (Arwah), guru darjah Enam, masih tidak jemu-jemu memberikan motivasi , walhal saya langsung tidak terkesima. Saya mendengar tanpa sedikit pun merasa anjakan motivasi di dalam diri.

Apakah yang berjaya membuat saya berubah?

Masakan.

Saya melihat bagaimana dengan belajar memasak ia berjaya merapatkan hubungan saya dengan mak dan Mak Wa. Mak Wa mengajar saya agar memasak dengan hati dan perasaan serta penuh kasih sayang; penuh kesyukuran diiringi dengan doa.
"Mulakan memasak dengan Bismillah. Kemudian selawat kepada Rasululullah Sallallah Alaihi Wasallam. Lalu, mohon keizinan Allah dengan niatkan di dalam hati agar mudah-mudahan masakan ini memberi barkah kepada semua yang menikmatinya, menjadikan mereka mensyukuri nikmat rezeki pemberianNya, memberi kesihatan yang baik dan membuatkan mereka jatuh kasih kepada kita."

Benar. Ia berjaya membuatkan abah yang tegas dan kelihatan garang, tersenyum semasa menikmati masakan hasil tangan saya.

Saya masih teringat, bagaimana saya memohon mak agar meminta abah pulang untuk makan tengahari pada hari kelahirannya yang ditakdirkan Allah jatuhnya pada cuti hujung minggu. Seperti biasa orang kanan saya ( Tuti dan Ratna) banyak memainkan peranan. Mereka menjadi pelayan (waiters). Saya siapkan semua hidangan di atas meja berserta hiasan bunga. Setiap masakan ada taburan hirisan lada merah, bawang goreng dan hirisan daun bawang diatasnya (termasuklah di atas ikan kembung goreng).

Apabila makanan siap terhidang, Tuti dan Ratna mempersilakan mak dan abah ke meja untuk menjamu selera. Hari itu, saya melihat abah tersenyum ke arah saya. Betapa senyuman itu menusuk terus ke hati sanubari. Di dalam hati saya berbisik,
"Abah, senyuman itulah sebenarnya yang mampu menitiskan air mata saya. Bukannya sebatan yang berulang-ulang."
Saya melihat mak mengasingkan kesemua hiasan dari hidangan masakan saya terlebih dahulu. Boleh digunakan untuk masakan lain katanya. Kemudian, saya melihat mak juga mengambil sepiring garam halus yang dicampurkan dengan sedikit air panas lalu dimasukkan ke dalam gulai ikan masak lemak cili api.
"Ikan goreng ni awak tidak gaulkan dengan garam kah?"
"Bubuh. Saya masukkan dua sudu besar.."
"Emm..patutlah." ( termasin rupanya)
"Gulai ikan ni awak bubuh asam keping ke tidak?
"Oppss..lupa."

Tuesday, April 7, 2009

kutu


Terasa ia merayap-rayap di atas kepala. Gigitannya amat gatal sekali. Sesekali, apabila tiada sesiapa yang melihat, saya akan mengaru kepala semahunya.

Suatu hari pegawai dari klinik kesihatan datang ke sekolah kerana dikatakan wabak kutu sedang berleluasa di sekolah-sekolah. Apabila mereka bertanya samada ada di antara murid-murid yang berkutu, tiada seorangpun yang mengaku. Malu.

Padahal, jauh di sudut hati saya tahu bahawa Allah tahu apa yang berbisik di dalam hati dan apa yang tersembunyi di dalam dada. Cuma ia tidak terlontar dengan kata-kata.

Samada mengaku atau tidak, hampir setiap murid perempuan dibekalkan dengan sebotol ubat kutu.
"Cucilah rambut kamu menggunakan ubat itu. Kemudian, minta ibubapa kamu belikan sikat kutu."
"Misi, betul kah kutu akan bersayap dan boleh bawa kita terbang ke atas pokok kayu?"
"Siapa kata?"
"Nenek saya kata."
Semua sepontan ketawa. Saya merasa menyesal bertanya.

Cuti hujung minggu saya melakukan operasi membentras kutu. Selepas mencuci, saya sikat rambut pula dengan sikat khas untuk menyikat kutu. Ia jatuh bergolek satu persatu. Sikat dan sikat lagi sehingga terasa perit kulit kepala.
"Awak ada kutu? Mari sini mak tengok."
Mak letakkan kepala saya di atas pehanya. Mak urai rambut saya sehelai demi sehelai. Mak raut telur-telur kutu yang ada satu persatu, tanpa jemu. Hari itu, mak batalkan rancangan mengikut abah pergi ke kebun.

Saya sebak. Menghayati setiap inci belaian tangan mak yang lembut serta penuh kasih sayang. Betapa tangan itu telah lama terlupa membelai kepala anaknya. Betapa anak nakal ini telah lama merindui belaian tangan itu.

Saya melihat bagaimana Allah mendatangkan kutu yang memberikan kebaikan yang tersirat disebaliknya.
Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu dan berdoa "Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua ibubapaku, dan untuk mengerjakan amal soleh yang engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh"
(An Naml -ayat 19)

Di dalam diam, perlahan-lahan hati anak yang nakal lagi keras ini mencair. Perlahan-lahan ada air mengenang di kelopak matanya. Cuba menahan, namun ia tumpah secara tidak sengaja di atas peha mak.
"Kenapa? Sakit ke? Kuat sangat ke mak tarik rambut awak?
"Tidak mak. Ada rambut masuk ke dalam mata saya..."

Sunday, April 5, 2009

Bas Muar-Segamat


Bas berwarna merah kuning itu akan melalui laluan jalan besar Muar-Segamat (paling cepat) setiap setengah jam sekali.

Di dalamnya terdapat seorang pemandu dan konduktur bas yang memeriksa tiket berbangsa Tionghua.

Kami perhatikan bagaimana perlakuan penumpang yang menunggu bas tersebut dari bawah pokok tanjung. Penumpang selalunya akan menghulurkan tangan serta melambai-lambai kecil ke arah bas. Lalu, bas akan berhenti di hadapan mereka.

Tepat jam 5.30 petang (selepas selesai mengaji), kami akan berdiri di tepi jalan besar bertentangan dengan Masjid Kampung Paya Jakas. Kami berdiri di situ sehingga nampak kelibat bas merah kuning dari arah Muar.

Lalu, kami melambai-lambaikan tangan sebagaimana yang selalu dilakukan oleh penumpang lain. Kami lihat bas itu akan memperlahankan kelajuannya seolah-olah akan berhenti bila-bila masa sahaja. Apabila hampir sampai, kami undur beberapa langkah ke belakang.
"Woi ..mau naik ka?"

Kami mengelengkan kepala sambil senyum dan tersengih.

"Apa pasat bye-bye? (Lambai-lambaikan tangan)
Lalu, bas itu meneruskan perjalanan ke arah Segamat. Hampir setiap petang perkara yang sama berulang, namun bas itu masih tetap menghentikan kenderaannya di hadapan kami tanpa syak wasangka.

"Woi..mau naik ka budak?

Mengeleng-gelengkan kepala sambil tersengih.

"Sam pat lu!"
Pernah suatu hari, pada waktu yang sama kami tidak berdiri di tepi jalan itu tetapi menyorok di sebalik semak berhampiran. Apa yang berlaku?

Bas dengan pemandu dan konduktur yang sama memperlahankan kenderaan sambil menjenguk keluar di tempat kami selalu berdiri menahan bas. Mereka bercakap sesama sendiri di dalam bahasa Tionghua sambil tergelak-gelak kecil.
Pernah kami terfikir, rupanya manusia ini selalu sahaja mudah lupa malah tidak belajar dari apa yang berlaku. Atau ia mungkin berlaku secara luar sedar kerana telah menjadi rutin harian atau kebiasaan. Atau mereka menganggapnya sebagai sesuatu yang menghiburkan hati.

Macam pemandu dan konduktur bas merah kuning tu..


Saturday, April 4, 2009

Limau Kasturi Asam Boi 3


Minggu yang murung.

Pagi itu saya telah di panggil oleh Guru Besar. Di beri amaran kerana berkelakuan buruk - Bergaduh di kawasan sekolah. Saya juga di minta berdiri di hadapan kelas semasa mata pelajaran Bahasa Melayu yang diajarkan oleh Cikgu Roslan Bin Daud (abah).

Beliau mengulas panjang tentang kepentingan berkelakuan baik walau di mana sahaja kita berada kerana kita membawa imej serta nama baik sekolah dan juga ibubapa. Perlakuan sesaorang melambangkan peribadi dan personaliti. Sikap tidak tahan di cabar dan tidak sabar amat merugikan. Apa sahaja boleh berlaku di dalam keadaan di luar sedar. Di tambah lagi dengan hasutan iblis yang laknat!


Zasss! Zass!

Dua libasan rotan halus singgah di betis yang terdedah kerana memakai gaun unifom sekolah rendah. Satu daripadanya kena tepat di tempat bengkak libasan petang semalam. Bisanya menusuk hati dan perasaan. Saya berdiri tegak tidak bergerak.

Di sebelah petang, juga di panggil oleh Guru Besar sekolah Agama. Cikgu Yatiman dan Cikgu Zarkasi tergelak kecil apabila di bacakan kes "Budak perempuan pukul Budak lelaki di dalam kelas". Saya dan Bxxx di beri amaran agar tidak mengulanginya. Kami di minta agar saling maaf memaafkan.

Sepanjang minggu di waktu persekolahan, rakan-rakan melarikan diri. Murid-murid kecil cuba mengelak apabila terserempak. Ia bukanlah suatu pengalaman yang menyeronokkan.

Suatu petang, seorang rakan sekelas membawa limau kasturi ke sekolah agama. Limau kasturi tersebut di belah lalu di selitkan asam boi di antara belahan tersebut. Rakan tersebut mempelawa saya mencubanya. Saya menolak kerana secara dasarnya limau kasturi dan asam boi kelihatan masam jika dimakan secara berasingan.

"Betul. Tetapi, jika limau kasturi dan asam boi ini disatukan, ia mempunyai rasa
manis yang unik. Lebih sedap lagi jika kita makan dengan ais krim Malaysia."

Rakan tersebut terus mempelawa. Saya rasa perlu mengambil tindakbalas positif kerana sudah hampir seminggu saya murung dan memencilkan diri.
"Emmmm....betul. Ada lagi tak?"
"Itu asam boi yang terakhir."
"Ada sesiapa boleh pergi beli asam boi di kedai? Boleh tolong panggil Bxxx."
Bxxx datang secara berlari.
"Kenapa awak panggil saya?"
"Bxxx, boleh awak tolong beli asam boi? Nah, ambil Dua Ringgit belilah untuk kawan-kawan satu kelas".
Bxxx berlari-lari menuju ke kedai...

Mahasuci Allah yang mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Limau kasturi Asam boi menjadi penamat sebuah kemarahan. Menambah kematangan cara pemikiran. Kenangan indah yang tidak mudah dilupakan. Sesunggunya Allah tidak menjadikan sesuatu kejadian tanpa sebab. Ada hikmah disebaliknya.

Thursday, April 2, 2009

Limau kasturi Asam Boi 2


Petang itu abah berikan sekeping duit kertas kepada Tuti dan Ratna lalu minta mereka membeli sesuatu di kedai runcit Pak Usu Daud. Mereka pergi dengan perasaan gembira.

Sejurus itu, abah masuk sebentar ke dalam bilik dan tanpa perlu bersoal jawab.. Zasssss! Zass! Dua libasan di bahagian betis.
"Nak jadi hantu? Nak jadi ketua samseng?"
"Tapi orang..."
"Haa menjawab! Dah mula pandai menjawab!"
Zassss! Satu lagi libasan rotan padu hinggap di punggung pula. Terasa perit tajamnya menusuk daging.
"Patutlah malas belajar sekarang. Sibuk dengan main hendak-hendak! Kalau muka kita tidak cantik tetapi pandai belajar tak apa lah jugak...."
Itulah abah. Memang tidak pernah memberi peluang langsung kepada anak-anak untuk membela diri. Keputusan dia adalah muktamad.

"Tahukah abah bahawa ada orang mengata anak perempuan dia sebagai budak hitam, tidak cantik malah tidak sedarkan diri kerana tidak pernah tengok muka di cermin. Tahu kah abah bahawa ada orang mengatakan bahawa lelaki tidak ada selera tengok muka anak perempuan dia. Tambahnya lagi silap haribulan langsung tidak bertemu jodoh dengan sesiapa. Hendakkah abah jika saya membiarkan sahaja orang mengata, mencaci cela sedangkan menurut ustaz, ditakuti ia merupakan suatu doa.

Mahu kah abah jika doa itu dimakbulkan Allah kerana dia Maha mendengar walaupun ia diucapkan didalam keadaan berdiri, duduk ataupun berbaring. Saya tidak sanggup jika seumur hidup tiada lelaki yang sudi kepada saya.

Maaf kan saya abah, saya melawan kerana sudah tidak tahan kepada tohmahan. Sesungguhnya saya bukan begitu. Saya bukannya hantu apatah lagi berhasrat untuk mengambil tempat ketua samseng!'

Itulah monolog hati dan perasaan yang ingin diluahkan namun, saya tidak berupaya. Ia tersekat di kerongkong, tersumbat di dalam dada. Bertahun-tahun ia di situ. Biarkanlah ia begitu. Biarlah abah tidak tahu. Jauh di sudut hati saya berbisik :

"Ya Allah, Beritakan bisikan hati ini kepada Abah bahawa saya sentiasa berdoa untuk menjadi anak kebanggaan dia. Saya sentiasa berusaha untuk tidak menyakitkan hatinya. Sedar diri tidak cantik malah tidak pandai..Maafkan di atas kekurangan diri ini.

"Wahai tuhan, berikan saya kekuatan dan kesempatan walaupun sekali di dalam hidup ini agar abah merasakan saya adalah anak yang berguna, bakal berbakti kepadanya dan bertekad di dalam diri untuk menjaga dirinya ketika dia tua nanti..

"Wahai tuhan, sampaikanlah..tunaikanlah segala hajat, makbulkan lah segala permintaan.."

Saya berlari keluar rumah tanpa menoleh ke belakang menuju ke rumah Mak Wa. Tanpa disedari kain kurung yang di jahit petang tadi, carik lagi. Benangnya tetas satu persatu. Tiada tangisan, tiada air mata.

Cuma doa..Doa untuk abah agar suatu hari nanti dia akan mendengar dan memandang wajah saya.


Wednesday, April 1, 2009

Limau kasturi Asam Boi

Petang itu saya batalkan niat untuk pergi mengaji Quraan. Bagaimana mungkin untuk terus pergi mengaji kerana kain baju kurung sekolah saya koyak rabak. Seluar panjang "Track Bottom" yang sering di pakai di dalam kain kurung, bagaimanapun telah menyelamatkan keadaan.

Saya tidak terus balik ke rumah. Singgah di rumah Mak Wa dengan perasaan takut yang amat sangat. Berdebar-debar. Takut kalau-kalau berita "Budak perempuan hitam yang garang belasah ketua samseng" sampai ke telinga abah.

Saya lipat-lipat kain kurung yang koyak agar Mak Wa tidak perasaan. Minta jarum dan benang biru hitam. Kemudian menjahitnya secara jelujur di sepanjang kain yang koyak tadi.

Alamak! Nampak satu garisan bekas jahitan di tengah kain lah! Kenapalah kain ni tak koyak di bahagian lipatan yang berombak beralun ni..? Macamana nak buat ni? Bekas jahitan kelihatan seperti pintalan kulit karipap yang huduh. Bersimpul-simpul.
Selesai menjahit, barulah saya pulang ke rumah. Dari jauh saya nampak motosikal kapcai abah.
Ya Allah! Kenapa pulak abah balik awal dari kebun ni? Dia sudah dapat berita mengenai kejadian di sekolah tadi ke?
Satu kesilapan! Saya singgah di rumah Mak Wa tetapi saya tidak menghalang Ratna dan Tuti dari terus pulang ke rumah. Kecuh mereka bercerita kepada mak dan abah tentang apa yang berlaku. Mereka bercerita dengan penuh bangga dan menganggapnya sebagai lambang kejayaan.

Tertumpasnya geng samseng kampung bermakna terlantiklah ketua samseng baru!