Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, July 29, 2009

Istiharah


Saya semakin hampir dengan Mak Wa dan Atok Abah. Ada perasaan jatuh kasih kepada mereka. Ada perasaan bahawa masa yang tinggal hanya sedikit sahaja lagi untuk bersama-sama mereka.

Mak Wa sudah bersara dari sebarang pekerjaan terutama di sawah bendang. Ia suatu keputusan yang muktamad. Namun, petang-petang hari selepas waktu Asar beliau akan memerun [membakar] pelepah-pelepah kelapa yang jatuh bergelimpangan di tepi jalan.

Atau, beliau akan mengharung anak sungai bersebelahan diantara rumahnya dan abah dengan membuang dedaun yang jatuh dan dahan kayu yang menghalang aliran air mengalir melalui pembetung. Kata Mak Wa:

"Kalau dedaun ini tersangkut di kawasan kita, aliran airnya akan tersekat dan tidak dapat mengalir hingga ke hujung kampung sana. Apa salahnya kita memudahkan aliran.."

"Eeii..Mak Wa tidak takut kah kalau-kalau ada ular air?"

"Hish! Minta selisih malaikat 44!"
Mak Wa lakukan dengan sukarela.

Hampir setiap malam, Mak Wa dan Atok Abah akan datang bertandang ke rumah kami untuk menonton TV terutama siaran Berita. Atau Tayangan Wayang Gambar Melayu di hujung minggu. Mak Wa akan datang bersama selimut kegemarannya. Kami akan membentangkan lemet [ sejenis tilam kekabu nipis seperti 'TOTO'] dan menyediakannya sebiji bantal. Kipas angin duduk akan dihalakan kepada mereka. Tiupannya sepoi-sepoi bahasa. Mak Wa akan tertidur daripada cerita bermula sehinggalah tayangan selesai.

Bagaimana tidak Mak Wa terlena kerana kami adik-beradik akan memicit-micit labu betis Mak Wa perlahan-lahan sambil menonton TV cerita kegemaran!

Namun, jika terdapat cerita atau tayangan yang menarik hati kami tetapi mendapat tentangan untuk menonton daripada mak, kami adik-beradik yang akan berusaha memujuk mereka berdua datang. Caranya, kami akan memberikan sinopsis cerita yang boleh mengecurkan air liur mereka! [Atau..sebenarnya mungkin kerana mereka kasihan melihat kami beria-ia melakukan pujukan] . Ia merupakan suatu kelebihan kepada kami kerana rumah datuk dan nenek tinggal berhampiran!

Dahulu, kamilah yang banyak menumpang harap kepada mereka terutamaya apabila malam gelap gelita. Lampu gasoline merekalah yang memberikan cahaya menyinari rumah kami.

Tiba-tiba Atok Abah bertanya :

"Bagaimana keputusan persekolahan awak? Hendak bersekolah di Segamat atau sekolah berasrama penuh?"

Entah! Selepas solat sunat istiharah hati saya merasa berat untuk meninggalkan rumah. Perasaan jatuh kasih kepada keluarga. Perasaan sayu untuk meninggalkan Atok Abah dan Mak Wa. Takut yang tidak berpatutan! Takut kepada perubahan. Mentaliti kolot anak kampung yang sudah sebati di dalam diri.
"Esok-esok jika awak ingin menemui jodoh tetapi mempunyai dua pilihan, lakukan solat sunat istiharah. InsyaAllah! Allah temukan jodoh yang sekupu. Jodoh yang telah tertulis di dalam buku setiap insan"

"Bukankah 'Jodoh pertemuan, Ajal dan Maut di tangan tuhan?"

"Ya..untuk jodoh kita boleh lakukan ia untuk ketetapan hati. Agar setiap keputusan yang di buat kita tidak akan menyesal nanti apa tah lagi bersedih. Redha dengan ketetapan daripada Dia yang Maha Kuasa"

Saya pegang kata-kata Atok Abah.
"Ya Allah. Jika jodoh saya sudah menghampiri nanti, janganlah saya terpaksa membuat banyak pilihan. Temukan sahaja jodoh yang paling serasi dengan saya. Yang bersedia menerima saya seadanya. Mengahwini dan menerima bukan kerana saya semata-mata tetapi sudi menerima apa jua keadaan keluarga. Moga jodoh saya nanti menyayangi mak dan abah sebagaimana saya menyayangi mereka. Moga jodoh saya mengambil berat kebajikan mak dan abah sebagimana saya ingin menjaga kebajikan mereka.

"Biar nanti perkahwinan itu bukan sahaja menyatukan dua hati malah menjalin kan ukhwah antara keluarga. Bagai isi dengan kuku.

"Ya Allah. Yang paling penting..temukanlah jodoh yang sudi menerima saya sebagai sahabat, kekasih dan isteri. Yang saling kasih mengasihi sehingga akhir hayat nanti. Samada saya atau dia yang sakit atau dipanggil oleh-Mu dahulu, kami akan saling setia sehingga akhirnya kami menemui-Mu - di Firdaus yang satu.

"Ya Allah. Jika ditakdirkan jodoh saya terlebih dahulu memasuki syurga-Mu dan menemui jodohnya 'Si Bidadari bermata jeli'.. Berikan lah saya peluang ya tuhan, melihat kelibat dan menatap wajahnya walau barang seketika dari kejauhan. Sekadar di pinggiran. Cukuplah untuk saya tahu dia telah berada di situ..

12 comments:

  1. salam puan....selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-20....semoga puan terus bahagia ke akhir hayat disamping suami tercinta & anak2 tersayang...

    your secret admire

    ReplyDelete
  2. Kak Roza..

    Semoga berbahagia sehingga ke syurga.. semoga Ulang tahun perkahwinan ini menjadi satu titik permulaan ke arah yang lebih baik... dan semoga Kak Roza sekeluarga senantiasa dilindungi oleh Allah..

    Sampaikan salam pada Prof. ya...

    Salam sayang..

    Mimi

    ReplyDelete
  3. salam puan roza..
    dapat blog puan dr seorang kawan.
    kakluna.blogspot.com
    sy ingat akan khatam blog pun mgkin dalam 2 atau 3 hari..tp sapa sangka saya boleh habiskan dr first smpi latest en3 pd hari yg sama.mgkn krn x sabar nak tahu kesudahan setiap cerita puan..

    ada pengajaran yg saya dapat dr blog puan.
    terima kasih

    ReplyDelete
  4. Salam Puan Roza,

    Happy Anniversary! Sebak saya membaca doa puan...terharu dan tersentuh...
    Saya doakan puan dan prof bahagia dunia dan akhirat...
    Mas dari Sarawak

    ReplyDelete
  5. Salam,
    Saya pun terharu dengan doa puan.
    Saya mintak halalkan nk ambik doa pun nk hntr pada seseorg...

    Terima kasih.
    Moga puan berbahagia dgn prof di dunia n di akhirat amin...

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum,

    HappyIrfa selamat mengunjungi blog yang tidak seberapa ini. Mudah-mudahan ada menafaat daripadanya.

    Ya Allah, saya sendiri tidak menyangka bahawa lintasan hati sebegini juga ditunaikan oleh Allah SWT.

    Jika diizinkan Allah..Banyak yang ingin saya papar dan kongsikan bagaimana Allah mendengar apa yang tersembunyi di dalam hati sanubari insan.

    Bertahun-tahun kemudian akhirnya Dia tunaikan.

    ReplyDelete
  7. :) Allah menyayangi hambaNya dan sentiasa mengabulkan doa mereka. Alhamdulillah, kak Roza dirahmatiNya dan semoga sentiasa berkekalan sehingga ke syurga Firdaus!

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum

    Happy 20th anniversary.
    Semuga berbahagia hingga ke akhirnya.

    Kak wati

    ReplyDelete
  9. Salam Kak Roza
    Semoga Kak Roza sekeluarga sentiasa mendapat rahmat dr Allah SWT sampai syurga....
    Kalo dtg Kuantan, hubungi saya

    ReplyDelete
  10. Salam..

    Menariknya doa tu...
    Amin.

    -frz-

    ReplyDelete
  11. nice story...

    orang tua (abah & emak) adalah anugerah dari Allah SWT...

    that's story is remind me about Firman Allah @QS 17: 23 - 25

    we must give our respect n honor for them...

    ReplyDelete
  12. Salam Puan Roza, saya baru je follow blog Puan.Isnin lepas suami Puan ada memberi tazkirah kepada staf.Boleh ke kalau saya minta izin share doa tu?

    Semoga bahagia dunia akhirat

    ReplyDelete