Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, April 7, 2010

Pulang Bangau

Seminggu sebelum pulang, ramai rakan-rakan datang bertandang ke rumah untuk mengucapkan selamat jalan. Hari-hari terakhir, rakan-rakan menyediakan makan bermula pada waktu sarapan, tengahari dan makan malam.

Saat-saat kebenaran tiba apabila kontena datang untuk memuatkan barangan yang hendak dibawa balik ke tanah air. Sampai waktunya, rakan-rakan membantu memunggah barang-barang serta kotak-kotak.

Apartment kami kembali kosong seperti mula-mula kami menjejakkan kaki ke situ. Sekosong itu hati saya. Ada antara rakan-rakan yang bertanya tentang perancangan saya apabila balik ke Malaysia.

Kosong! Tiba-tiba saya menjadi buntu apabila ditanya soalan begitu. Paling terkesan di hati apabila seorang kakak bertanya kepada saya apakah yang telah saya lakukan sepanjang saya di sini.

“Sepanjang setahun awak disini apa yang awak perolehi?”

“Er..er..”

“Awak masih muda, malah boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Mengapa tidak mengambil peluang untuk mengikuti kursus-kursus jangka pendek yang disediakan di sini? Sekurang-kurangnya awak memperolehi sijil dari luar negara. Ia mempunyai nilai tambah jika bekerja di Malaysia”

Terjelepuk! Saya langsung tidak terfikir untuk mengikuti kursus seperti itu. Kakak itu meneruskan lagi;

"Tahukah awak, seorang rakan kita, sebaya awak menggunakan masa yang ada dengan mengikuti pengajian perundangan secara sambilan sepanjang suaminya mengikuti pengajian Phd. Dia terus belajar hingga memperolehi Sarjana. Kini, dia menjadi majistret di Malaysia.”
Perlukah saya menjawab dan berkata bahawa saya memerlukan pinggan mangkuk, beg berjenama, pakaian, kasut lebih dari kursus yang ditawarkan? Perlukah saya terangkan bahawa wang gaji yang diterima sama banyaknya dengan wang keluar ketika saya berbelanja.

Perlukah saya katakan bahawa saya kini hanya ingin menjadi surirumah sepenuh masa? Wajarkah saya katakan bahawa saya mengambil iktibar dari cerita Katie MacKenzie? Keterlaluankah saya?

Apakah pulang saya nanti adalah seperti pulang bangau yang kembali bertenggek diatas kerbau. Sesekali terbang apabila terkena kibasan ekor kerbau yang manghalau gigitan agas.
Apakah nanti pandangan orang terhadap saya? Ah! Kenapa saya perlu takut pada pandangan orang? Kita tidak perlu menjadi orang lain kerana kepentingan pandangan semata-mata. Jadilah diri kita, walau dimana berada?

Benarkah? Apakah saya harus menunding jari mencari sebab akibat untuk menghalalkan cara atau memberikan alasan sebagaimana lagu bangau oh bangau?

Bangau Oh bangau
kenapa engkau kurus
Bagaimana aku tidak kurus
ikan tidak mahu timbul…

Jika lain kali jika ada yang bertanya, saya sudah bersedia dengan jawapan. Ya Allah. Sepanjang setahun di sini, saya telah menggunakan masa yang bermanafaat. Hampir sepanjang masa saya dapat mendakap anak. Melihat kerenah mereka, menyuapkan makan, memandikan serta menyalinkan pakaian.

Saya juga dapat menyediakan makanan pagi, tengahari dan malam untuk suami. Hampir setiap hari kami kami dapat duduk makan bersama semeja.

Saya tidak dapat melakukan perkara yang sama ketika di Malaysia. Jika saya bekerja, pagi-pagi lagi saya sudah mendukung anak yang masih tidur untuk dihantar ke rumah pengasuh. Pulang kerja nanti, saya mendukung anak lagi kerana mereka telah tertidur sementara menanti saya pulang.

Saya jarang dapat memandikan mereka pada hari-hari bekerja. Tidak dapat bermain dan bergurau senda sepanjang masa. Lebih menyedihkan lagi apabila sebutan pertama yang keluar dari bibir anak pertama, Sara Fateha adalah perkataan “Umi”. Panggilan untuk pengasuhnya.
Berbulan-bulan saya mengajar Sara agar menyebut dan memanggil panggilan untuk ibu yang melahirkannya. Sara sering mengeleng-gelengkan kepala.
“Mama, ini mama sayang…”.
Namun, panggilan umi lebih lancar dan selesa buatnya. Akhirnya saya akur dan mengalah.
Di Scotland, setiap kali saya menjemput Sara dari Play Group, pasti Sara akan memperkenalkan saya kepada guru dan rakan-rakanya. Saya puas malah berbangga.
Miss Sophie, that is my mum..[Cik Sophie, itu emak saya]”
Al-Bukhari menyebut sebuah hadis daripada Ibnu Abas bahawa baginda nabi Muhammad bersabda :
“Ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh orang ramai. Dua nikmat tersebut adalah : nikmat kesihatan dan nikmat waktu luang”.

Saya bersyukur kerana Allah memberikan nikmat waktu lapang, nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan dada ketika di luar negara. Lalu, nikmat Allah yang mana satukah hendak saya dustakan?

10 comments:

  1. Assallamualaikum

    Entry ini membuat akak berfikir tentang nikmat Allah.

    Ya Allah ampunkan kami yang sering lupa.


    Kak wati

    ReplyDelete
  2. Salam Roza,

    Menjadi ibu & isteri sepenuh masa adalah satu nikmat yang Allah berikan kepada wanita. Kini semakin ramai yang tidak berpeluang merasai nikmat tresebut atas pelbagai tuntutan termasuklah saya. Tapi kini, saya nekad untuk merebut gelaran surirumah sepenuh masa.

    ReplyDelete
  3. Salam Pn Roza. Maaf saya adalah your secret admirer. I admire everthg about you, ur charisma and ur down-to-earth personality. Truly. Your latest entry buat saya terkesima. Masyaallah. saya melalui perkara yg sama spt puan pd 2003-2007. Bezanya suami saya bekrja di badan kerajaan di Washington DC. Semasa mula menjadi 'suddenly mom' saya menangis tiap hari kerana saya bosan duduk di rumah menjadi surirumah sepenuh masa. Saya yg semenjak kawin mengajar dr pagi hingga ke malam, anak membesar dgn nenek n bibik, tiba2 mengaangur (mmg pemegang diplomatik paspot tidak dibenarkan bekerja). Saya tak karuan. Setelah saya duduk berfikir suatu pagi setelah 8 bulan, Allah memberi ilham. Saya bertanya diri sendiri tentu ada sebab Allah tempatkan saya disini. saya boleh pilih untuk tidak bercuti tanpa gaji and forgo 4 years of increment plus bonus, extra time teaching allowance, part-time teaching lagi... I was happy when i was working...but now!!Buntu, buntu Mesti ada sebab, baru saya terfikr ttg anak2 yg meningkat remaja , ttg suami....ttg priority seorang ibu dan isteri. mungkin Allah suruh saya rehat supaya saya boleh beri perhatian pada keluarga.Ya selepas 4 tahun berdepan dgn kerenah anak2 siang dan malam, mendampingi suami dlm kerjaya tanpa ada apa2 excuses saya rasa puas dan besyukur kerana kakak terima pelawaan itu, disamping menjalan hubungan sgt erat dengan rakan diperantauan yg melebihi adik beradik sendiri. Akak bersyukur kerana kenikmatan yg Allah beri hanya sekali dan alhamdulillah telah dimanafaatkan dgn baik. Kalau dulu akak tidak berkorban untuk anak2 dan suami, tentu sekali akak akan menyesal sambil bila2, kerana atas tetentuanNya suami akak telah pulang keRahmatullah sepuluh bulan selepas kami pulang ke tanahair. Saya juga pernah bercita2 utk sambung Phd semasa menganggur kerana memikirkan masa 4 tahun di negara orang doing nothing. Suami jg pernah menyarankan supaya saya ambil peluang belajar,Namun, bila fikir ttg tugas sebagai isteri dan ibu yg lebih menjadi keutamaan, saya pasti hidup saya tak ubah seperti dulu sibuk memanjang mentelah support team saya tiada. Saya yakin " Allah place me here for a reason,...betul kah aku ini have not been a good wife , or not a good mother..etc,etc ". Akak tidak dihantui perasaan kesal tak sudah... rasa sepanjang 18 tahun perkahwinan kami,the 4 years were the best years of our time, i had done my best being his best friend and partner and the best part of all is I was able to cook for him all the dishes he loved, of couse if I knew i wouldnt have much time with him, I would have definitely done more! So yes! when people asked me "did u do ur Phd, attend any courses, I simply said No but Iwas thankful to Allah for allowing me to stop and smell the roses" And my heart bursts with joy when i said that, What worldly gains i missed i dont despair for my goal now is to carry on his legacy and being the best mom to my 3 amanah Allah. Moga2 Allah perkenankan dan melimpahkan keberkatan serta merahmati roh arwah, InsyaAllah. Wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh to u and family. kak Ef.

    ReplyDelete
  4. salam anaknda,


    Gunalah nikmat kesihatan dan kelapangan masa.
    Gunalah memanfaatkan masa selagi kesihatan masih ada.

    Wassalam.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum kak Ef,

    Benar. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui?

    Benar. Hidup kita bersama suami, anak-anak, ibubapa dan adik beradik sebenarnya sangat singkat. Tiada esok.

    Hari ini mungkin adalah hari terakhir kita bersama mereka. Sempatkan kita berlari, meluahkan perasaan sayang atau rasa kesal dihati kepada mereka?

    Bersyukur dengan hidup yang dipinjamkan Allah pada saat ini, kerana esok belum pasti. Malah apa yang berlaku sesaat sebentar nantipun kita tidak tahu.

    Ya Allah. Daku mohon keampunan-Mu. Jadikan ibadatku hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini.

    Ya Allah. Masukkan dan temukan daku dengan orang-orang yang kukasihi di syurga-Mu dengan rahmat-Mu.

    ReplyDelete
  6. Salam~
    Salute Puan Roza kerana memilih jalan itu.....menjadi surirumah sepenuh masa. Ada juga adik-adik dalam usrah saya berkerjaya profesional berhenti kerja sebagai engineer, berhenti kerja sebagai researcher....hanya kerana satu tujuan iaitu ingin meluangkan masa bermanafaat membesarkan anak-anak dan menjaga kebajikkan suami. Yang bangganya itu adalah pilihan mereka sendiri selepas solat istikharah dan bukan paksaan dari sesiapa.

    ReplyDelete
  7. Salam Puan

    Saya tidak pernah menulis sebarang komen untuk ruangan ini tetapi saya merupakan pembaca setia blog ini.

    Tanggungjawab isteri adalah untuk melayan suami dan tanggungjawab suami adalah untuk menyediakan pembantu dalam melaksanakan tugas membasuh, memasak dan tugas rumah yang lain. Walaupun begitu, jika isteri yang sendiri memasak, ganjaran pahalanya adalah seperti pahala orang lelaki menunaikan fardhu Jumaat. Bayangkan kalau tiap-tiap hari isteri memasak untuk suami dan anak-anak.

    Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

    Wassalam

    ReplyDelete
  8. Alangkah indahnya apa yang dituliskan. Ya benar sekali masa bersama anak2 adalah masa yg paling dihargai yang tiada galang gantinya, tidak dapat dibeli dgn wang ,tidak juga dapat diganti dgn apa2 yg lain.........

    ReplyDelete
  9. Salam K.Roza,
    setiap cerita yg k.roza paparkan begitu dalam pergi ke isi hati.. terimakasih kerana banyak membuka minda dan hati ini terutamanya dalam mensyukuri nikmat tuhan..

    semoga K.Roza dan Prof sentiasa mendapat rahmat Allah hendaknya..

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum Pn..
    teguran yg Pn terima tu sama seperti yg sama saya terima 5thn lepas. For me yg baru berkahwin mmg terasa sangat - did i made the right choice or not. tapi saya rasa apa saja yg kita buat ada balasannya dari Allah. Insya Allah

    ReplyDelete