Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, October 21, 2010

Jaga mata, telinga dan lidah..

Semasa menunaikan haji di tanah suci, ramai ustaz dan uztazah berpesan agar para jemaah menjaga mata, telinga dan lidah. Akal singkat saya memikirkan barangkali kerana keadaan cuaca di sana menyebabkan penyakit mudah terkena bahagian deria tersebut.

Rupa-rupanya, ketiga-tiga deria itu perlu dijaga seawal di kompleks Kelana Jaya lagi.

Bagaimana mata tidak memandang lantas terdengar suara sumbang lalu bagaikan mahu menjawabnya dengan lidah. Ia terjadi apabila terdapat beberapa jemaah yang cuba memotong barisan. Pegawai bertugas cuba menenangkan keadaan.

" Assalamulaikum Haji..sila masuk barisan. InsyaAllah, semua dapat tempat."

Perkara seperti itu berulang lagi dimana-mana. Di lapangan Jedah, di Mudzalifah, di Arafah, di Mina dan di Madinah. Kesimpulannya..ia boleh berlaku dimana-mana di depan mata.

Semasa tiba di Mekah, kami ditempatkan seramai sembilan orang sebilik dengan latar belakang yang berbeza. Bayangkan keadaan bilik apabila semuanya berkumpul. Bayangkan jika ada diantaranya yang mahu berkongsi kegembiraan apabila pulang dengan membawa barang belian. Bayangkan apabila mereka mula bercerita. Bayangkan, bayangkan dan bayangkan.

Di masjidil haram, terdapat ribuan manusia dari berbagai mazhab dan bangsa, pasti berbagai ragamnya.

Semasa di Arafah dan di Mina kami dikumpulkan hampir 40-50 orang jemaah dalam satu khemah. Ruang setiap jemaah hanyalah sebesar tikar sejadah. Di situlah tempat sembahyang, tempat makan dan tidur.

"Ya Allah ya tuhanku, lindungi penglihatan kami, pendengaran dan lidah kami agar tidak terpandang perkara yang buruk. Agar tidak terdengar cerita yang buruk. Agar tidak menzahirkan ucapan yang buruk.

"Ya Allah, peliharalah mata kami, pendengaran kami dan lidah kami. Lebih-lebih lagi jagalah hati kami. Jangan sampai ia mengata-ngata di dalam hati."

Lalu, jika mata terlihat sesuatu yang tidak mahu dilihat dan bimbang jika ia turun ke hati, seorang ustazah berpesan..

"Tundukkan pandangan. Segera lah capai dan membaca al-quraan. Atau berzikir. Ketika di masjidil haram, kenapa mahu memerhatikan orang? Sembahyang sunat sebanyak-banyaknya. Bukankah kita ke tanah suci kerana mahu beribadat kepada Allah?"

Ustazah berpesan lagi;

"Seboleh mungkin jangan berbicara tentang perkara yang sia-sia. Bawa al-quraan kecil setiap masa. Bacalah walau dimana-mana. Ketika di masjid, di dalam bilik, di dalam bas mahupun khemah."

Akhir sekali ustazah berpesan;

"Paling mudah..berzikirlah. Biar lidah kita sentiasa basah menyebut dan memuji-muji Allah. Biar zikir itu didengar memenuhi gegendang telinga dan bergema-gema dalam dada. Biar zikir menjadi pakaian kita.."

Lalu, saya panjatkan doa.

Subhanallah! Wahai zat yang diriku dalam genggaman-Nya. Jadikan lidah dan hatiku sentiasa berzikir memuji kekuasaan-Mu, keesaan-Mu dan kasih sayang-Mu.. Biar bangkitku dari tidur dalam keadaan menyebut nama-Mu wahai tuhanku yang satu.

1 comment:

  1. Salam Roza,

    Dan tak kurang penting juga jagalah hati agar tidak terbabas.

    ReplyDelete