Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, October 13, 2010

Tenang di Madinah

Beberapa rakan yang telah menunaikan haji bercerita tentang pengalaman mereka ketika di Madinah. Kumpulan pertama pergi pada penerbangan awal dan kumpulan kedua pergi dalam pernerbangan terakhir.
Kedua-dua kumpulan menceritakan perasaan mereka ketika berada di tempat yang sama. Samada awal atau akhir mereka menceritakan perkara yang tidak jauh bezanya.

Saya mendengar setiap butir perbualan dengan penuh debaran. Penuh pengamatan.

Kata mereka,

"Madinah adalah tempat yang tenang. Aman berbanding dengan Mekah"

"Benar. Namun berhati-hati dengan keadaan tersebut kerana kita boleh terlalai, lantas melakukan amalan sambil lewa sahaja. Ambil mudah."

Hairan dengan kenyataan tersebut, lalu saya bertanya;

"Tidak selesakah kita dengan keadaan yang aman? Mengapa ada yang melakukan ibadat sambil lewa? Bukankan kita pergi ke tanah suci kerana mahu beribadat? Masa yang diperuntukan hanyalah dalam masa lapan hari sahaja bukan?

Mereka menyambung lagi.

"Kami dapati di masjid nabawi banyak ruang. Kami boleh ke masjid selepas waktu azan kerana sembahyang jemaah dilakukan hampir 20-30 minit kemudian. Lagipun kebanyakan hotel para jemaah Malaysia adalah berdekatan. Jadi ramai jemaah tidak pergi awal ke masjid nabawi. Mereka selesa sembahyang di saf belakang."

Saya terkedu. Lantas, segera berdoa dalam hati.

"Ya Allah, janganlah jadikan kami seperti mereka. Kami mahu yang terbaik. Kami mahu di saf hadapan."

Mereka bercerita lagi;

"Kami yang datang awal dan terus masuk ke Madinah, terkejut dengan kesesakan jemaah yang berasak-asak mahu bersembahyang di dataran kaabah."

Yang lain pula bercerita;

"Kami dari penerbangan akhir yang terus masuk ke Mekah, sudah biasa berasak-asak dan melihat kaabah tersergam indah di depan mata. Tiba-tiba terasa kosong pula di masjid nabawi. Ia terlalu tenang sekali."

"Benar. Ada yang sudah berpuas hati setakad bersembahyang di pengkarangan luar masjid nabawi sedangkan banyak lagi ruang di dalam. Lebih tragis lagi, ada yang bersembahyang di bilik hotel sahaja."

Akhirnya, kami membuat kesimpulan dan bernekad untuk tidak terikut-ikut dengan keadaan yang tenang.

"Kita ke tanah suci menziarahi makan nabi, barangkali inilah sekali seumur hidup. Bukan setahun kita mengumpulkan wang untuk datang. Bukan sekali kita panjatkan doa dan merayu kepada Allah taala agar menjemput kita sebagai tetamu-Nya. Takkan lah kita hanya melakukan secara sambil lewa sahaja."

"Benar. Barangkali duit boleh di cari. Tetapi, usia dan tenaga? Setiap tahun kita bukan semakin muda serta bertenaga."


Kami tunduk bertafakur. Merenung diri, bimbang jika kami juga tergolong dari kalangan yang rugi.

No comments:

Post a Comment