Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, October 1, 2010

Takut

Akhirnya, kami bulatkan hati menyerahkan diri kepada Allah. Berdoa sambil membayangkan setiap pergerakan yang bakal kami lalui bermula dari rumah.

Kami bayangkan pergerakan dari rumah ke Tabung Haji di Kelana Jaya, memohon agar Allah memudahkan segala urusan. Kami bayangkan pula urusan dari KLIA ke imegresen Jeddah. Dari Jeddah ke kota Mekkah. Dari Hotel ke masjidil haram.

“Ya Allah, dekatkanlah kami dengan masjidil haram. Kami ingin sentiasa berada di sana. Janganlah jadikan jauh itu halangan untuk kami berulang-alik melakukan ibadat di masjidil haram. Kami ingin sentiasa di depan kaabah-mu ya Allah. Kami ingin berada berhampiran mu’tazam. Kami ingin sujud di hijir Ismail..”

Membayangkannya sahaja sudah cukup membuatkan air mata kami mengalir.

Benar. Kami tidak dapat membayangkan apakah bakal berlaku di sana nanti. Bukan kami sahaja yang berada di situ, malah berjuta-juta umat Muhammad yang datangnya dari jauh dan dekat. Semuanya dengan niat yang satu – menunaikan rukun islam yang ke lima kerana perintah Allah.

“Ya Allah, jika rukun yang ke lima itu hanya sekali seumur hidup perluku lakukan.. Jadikan haji ku nanti haji yang mabrur. Barangkali itulah haji pertama dan terakhirku..”

Kami bayangkan waktu wukuf di arafah, Mudzalifah dan beberapa hari bermalam di Mina. Kami mohon sungguh-sungguh agar Allah sentiasa membantu dan memberikan ilham kepada kami. Jangan sampai kami terlupa rukun haji, terlanggar pantang larang dalam ihram dan jangan sampai kami menjadi lemah dan malas sepanjang berada di tanah haram.

“Yang, ingat ..kita ke sana semata-mata untuk beribadat kepada Allah. Bukan mahu membeli belah. Jangan sampai awak terleka sehingga mengambil keputusan untuk sembahyang di bilik hotel sahaja.”

Suami berpesan lagi.

“Fadilat sembahyang di masjidil haram adalah 100,000. Bodoh kalau kita memilih sembahyang di hotel yang fadilatnya sama sahaja jika kita sembahyang di Malaysia.”

Mulut suamiku memang celupar. Sedap betul dia berpesan, entah-entah Allah menterbalikkan segalanya. Sebagaimana yang dikatakan oleh orang ramai ia sebagai balasan tuhan! Benarkah begitu?

“Ya Allah, kami takut. Jadikan ketakutan kami sebagai pemangkin untuk kami bersungguh-sungguh melakukan ibadat haji ini kerana –Mu. Jangan sampai kami malas, lemah, sakit dan tidur sahaja. Sesungguhnya kami menyahut lambaian haji ini semata-mata kerana-Mu.”

Takut. Itulah gambaran perasaan insan yang fakir lagi jahil yang sering ditakut-takutkan dengan pembalasan dari tuhan!

2 comments:

  1. Assalamualaikum wrb

    Semoga Pn Roza sekeluarga sihat sejahtera dan dirahmati Allah. Catatan Pn Roza sungguh luhur, bersahaja dan menyentuh kalbu. Puan sungguh berbakat....teruskan menulis kerana ramai para pembaca yang menunggu dan mahu mendengar cerita dan tips-tips seterusnya...
    Alhamdulillah....

    Salam sejahtera dari Austria,
    Sharifah A

    ReplyDelete
  2. Salam sejahtera sharifah,

    Hati saya sentiasa takut untuk menulis entri tentang pengalaman haji.

    Takut dikatakan riyak dan ujub dalam diri.

    Astaghfirullah..saya mohon keampunan Allah.

    ReplyDelete