Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Saturday, October 30, 2010

Doakan mereka

Sepanjang berada di tanah suci, hati kami sentiasa berdebar-debar. Sering dipalu dengan ketakutan. Takut dengan kemurkaan Allah. Kami berdoa belum melangkah dari hotel ke masjidil haram, ke Arafah, Ke Mina dan walau ke mana-mana kami pergi.

Doa semuga Allah memelihara mata, telinga dan mulut. Malah yang paling ditakuti adalah bisikan jahat hati kami. Barangkali kita boleh menundukkan pandangan mata, kita boleh pekakkan telinga dan tutup mulut serapat mungkin untuk tidak memberi sebarang komen. Terutamanya ketika berada di dalam bilik penginapan.

Namun, siapakah yang berani memberi jaminan yang bisikan hati jahat kita boleh dikawal? Ia sentiasa berkata-kata walaupun kita melelapkan mata, memekakkan telinga dan membisu seribu bahasa.

“Ya Allah..panjang lagi senarai barang yang belum dibeli. Baru dapat 10 barang..”

Seorang rakan sebilik baring terlentang, sambil meletakkan tangan kanan di atas dahi. Tangan kirinya memegang senarai panjang nama-nama sanak saudara, cucu cicit dan rakan-taulan yang menyumbang sebelum mereka berangkat ke tanah suci bagi menunaikan fardu haji.
Telinga cepat menangkap. Sekilas mata menjeling, hati terus berkata.

“Ya Allah, bukankah kita ke tanah suci untuk beribadat? Mengapa dibebankan dengan urusan yang tidak penting. Barangkali orang yang menyumbang tidak mengharapkan apa-apa balasan.”
Sedetik kemudian perasaan menyesal menyapa, lantas segera memohon keampunan dari yang maha kuasa;

“Astagfirullah..apalah yang disibukkan dengan urusan orang?”

Jahat betul lintasan hati yang menzahirkan pandangan tanpa suara, tanpa didengar oleh sesiapa. Betapa berat mata memandang, barangkali begitu berat juga bahu yang memikul. Lalu, saya mula bernekad di dalam hati, berjanji kepada diri tidak mahu lagi mencemuh tindakan orang lain. Bukankah cemuhan, mengata mengeji itu sifat buruk yang tidak sepatutnya ada dalam diri seorang islam?

Sia-sia sahaja saya berdoa untuk hidup sebagai seorang islam, menjalankan kehidupan sebagai seorang islam. Namun, perkara sekecil itupun saya tidak dapat mengelaknya. Sedarlah saya betapa lemahnya diri ini, setiap saat perlukan perlindungan illahi.

Hati akan berkata-kata walaupun di mana-mana kita berada. Malahan ketika mahu beribadat menghadap Allah di depan kaabah. Ada sahaja kilasan hati jahat yang melintas.

“Allah ya Allah..astagfirullah..astagfirullah..astagfirullah.”

Cepat-cepat saya memohon keampunan Allah. Memenuhkan ruang hati dengan memohon keampunannya. Agar hati tidak sibuk lagi untuk mengata-ngata. Di masa yang lain jika terpandang atau terdengar sesuatu yang tidak kena, cepat-cepat doakan mereka.

“Ya Allah ya tuhanku, permudahkanlah urusan mereka. Amankan mereka. Sesungguhnya hamba-Mu datang datang dari jauh ke rumah-Mu semata-mata kerana menyahut seruan-Mu. Sesungguhnya mereka berada di dalam masjidil haram ini, kerana mahu beribadat kerana –Mu.”

Bagaikan tidak percaya kadang-kadang jemaah bertengkar di hadapan kaabah. Semuanya angkara sikap jemaah yang datang untuk beribadat kepada Allah tetapi tidak beradab. Ada antara mereka yang datang kemudian dan suka duduk di antara dua saf, lalu menghalang jemaah lain yang sedang sujud sembahyang.

Mengapa kita perlu marah-marah di rumah Allah? Tidak takutkah kita berbuat onar dimuka bumi kepunyaan Allah? Tidak gentarkah kita dengan kekuasaan dan kemurkaan Allah yang maha kuasa?

Benar Allah berfirman dalam al-quraan;

Hampir sahaja langit itu pecah dari sebelah atasnya dan para malaikat bertasbih dengan memuji Rab (Tuhan) mereka dan memohonkan keampunan bagi orang yang di bumi. Ingatlah, sesungguhnya Allah, Dia adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani). Surah Asy-Syurah, ayat 5.

Subhanallah! Sedangkan malaikat yang taat dan hanya bertasbih memuji tuhannya, mendoakan serta memohon keampunan Allah bagi penduduk di dunia. Alangkah angkuhnya kita sebagai manusia jika tidak mendoakan sesama kita.

Doakan untuk mereka. Doakan yang terbaik untuk mereka.

3 comments:

  1. Salam.Betul puan roza...doa yg baik untuk org lain sebenarnya akan patah balik semula kepada kita.Doa itu satu ibadah..adakah wajar kita mendoakan yg tidak baik untuk Allah perhitungkan. Benar2 malu rasanya jika dlm ibadah itu terpancar buruknya akhlak kita sendiri.Semoga Allah menutup aib yg kadang2 menjenguk di hati kita ini.Sebab itu dianjurkan solat sunat taubat dilakukan setiap hari.Buat pengetahuan semua fungsi saintifik sunat taubat adalah membantu melancarkan perjalanan darah, sebab tu pengamal solat sunat ini akan jarang2 sakit.Wallahualam.

    ReplyDelete
  2. salam roza,
    1st time tawaf (n pengalaman yg pertama) kami tersepit antara 2 saf..kami tak tau nak p mana..org semua dh buat barisan saf. jadi solat lah kat situ jugak , marah jugaklah jemaah yg lain, kacau saf mereka..mmg betul kita tak boleh marah2 sbb yg dtg tu mcm2, ada yg baru ada yg dah pro...bukan di sengajakan cuma perlukan pengalaman utk hadapi suasana ini..
    betulke?

    Aya

    ReplyDelete
  3. salam pn Roza,

    alhamdulillah...suka ngn perkongsian ini ..muga2 ALLAH dijemput jua nnti
    terima kasih juga perkongsian komen dari ummihajah..mengetahui sesuatu yg tak dikethui. insyallah boleh diamalkan solat taubat tu.

    ReplyDelete