Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, October 18, 2010

Shopping

Sebelum berangkat, kami sering dipesan agar saling bermaafan sesama insan. Kata mereka jika ada sesiapa yang melukakan hati kita selama ini, maafkan mereka. Jika kita pula yang pernah melukakan hati mereka, mohon maaf dari mereka.

"Memohon maaf sahajalah, mana tahu jika ada hati yang telah terguris. Barangkali mereka tidak memberitahu kita.."

Apabila saya memohon kemaafan dari rakan-rakan sepejabat, mereka hairan. Barangkali mereka tidak terfikir kami mahu menunaikan haji ketika belum sampai usia bersara.

"Awak mahu ke mana?"

"Menunaikan haji pada hujung tahun ini.."

"Ooo, patutlah..kami telah menunaikan umrah pada tahun lepas. Mahu pergi haji kena minta maaf dari semua orang ya?"

"Emm, mana tahu.. jika kami pergi ke tanah suci tidak akan kembali."

"Hei, jangan cakap macam tu! Tak baik."

"Nyawa itu di tangan Allah. Saya mahu begitu. Jika boleh ketika saya sedang sujud, tunduk rebah di hadapan kaabah atau ketika di Raudhah. Ramai jemaah yang akan sembahyang jenazah ke atas kita."

Di masa yang lain, rakan yang telah menunaikan haji kelihatan teruja. Dia lantas menarik tangan dan berbisik secara perlahan.

"Sebelum pergi nanti, beritahu bila tarikhnya. I nak beritahu you dimana boleh shopping barangan branded yang suka dipakai oleh mak-mak arab. I sudah jumpa tempatnya.."

"Errr.."


"Bukan mudah, berhari-hari kami mencarinya. Memang ada klass tempat tu.."

Pulang ke rumah saya masih terfikir-fikir, apakah barangan berjenama yang dimaksudkan oleh kawan berkenaan. Sambil melepaskan keluhan panjang, hati teringat pesanan suami agar jangan masukkan langsung agenda shopping ke dalam hati.

"Yang, kita ke tanah suci hanya untuk beribadat kepada Allah. Jangan sampai shopping itu mengganggu lantas menjadi penyebab mengapa kita tidak beribadat di hadapan kaabah. Bukankah 100,000 bersembahyang di masjidil haram itu lebih baik dari 1 jika bersembahyang di bilik hotel yang penuh sesak."

Terniang-niang pesanan ikhlas suami. Benar, jauh-jauh kita datang dengan cara bertahun-tahun mengumpulkan dana, kenapa pula mengambil tindakan yang tidak cerdik? Mahu berbelanja? Bukankah barang di Malaysia kualitinya jauh lebih baik jika mahu di buat perbandingan?

Kami terbayang sanak-saudara dan rakan-rakan yang membawa pulang cenderahati berguni-guni banyaknya apabila pulang dari tanah suci. Namun, gelang mekah yang dihadiahkan kepada anak-anak perempuan, hayatnya hanya setengah hari. Mudah patah dan pecah berkecai. Mainan unta, tahannya hanya seminggu. Jubahnya besar dan panjang berjela. Kami memakainya hanya beberapa kali sahaja.

Ya Allah, entah berapa panjang senarai nama yang menyumbang kepada mereka? Entah berapa lama pula mereka mengambil masa mencari dan menganggarkan cenderahati yang sesuai untuk nama yang tersenarai. Pasti sedikit sebanyak, ia memberikan tekanan.

"Ah, pemberian mereka ikhlas kenapa perlu dipertikai?"

Seboleh mungkin kami mahu ubah tradisi. Pemberian yang diberikan orang dalam bentuk kewangan akan kami laburkan untuk tujuan beribadat kepada Allah. Kami mahu belikan al-quraan dan wakafkan di masjidil haram agar pahala sesiapa jua yang membaca kitab Allah itu juga melimpah kepada penyumbang . Kami mahu doakan kesejahteraan agar mereka juga dijemput sebagai tetamu Allah. Merasakan getaran degup jantung sebagaimana yang kami rasakan.

Kami mahu sedekahkan pemberiaan mereka kepada peminta sedekah atau kami belikan gula-gula sakit tekak bagi memberikan sedikit kelegaan kepada jemaah yang batuk, sedang beribadat di dalam masjidil haram. Atau akan kami belikan sedikit juadah bagi mereka yang berbuka puasa. Atau paling kurang, mengagih-agihkan tisu bagi mengelap peluh yang melimpah ruah sewaktu melakukan ibadat bawah terik mentari di dataran kaabah.

Apa lagi yang mahu kami lakukan, ya Allah? Ya, pemberiaan sumbangan itu juga akan kami gunakan untuk tambang teksi atau van untuk kami berulang-alik ke Tana'im atau Ja'ranah bagi menunaikan umrah. Atau tambang teksi dari hotel ke masjidil haram atau ketika tidak mampu berjalan pulang.

Kesemua ganjaran dan kemudahan bagi beribadat kerana Allah itu, kami mohon Allah limpahkan juga rahmat kepada mereka. Mereka yang menyumbang ikhlas, barangkali tidak mengharapkan cenderahati dibawa pulang untuk mereka.

Jika ada lebihan sumbangan, akan kami belikan kurma terbaik atau buah tin dan sedikit kekacang untuk dibawa pulang. Jika ada beberapa naskah al-quran akan kami berikan kepada sesiapa sahaja yang datang berziarah tanpa berkira berapa sumbangan yang diberikan oleh mereka. Jika al-quraan kecil itu sudah kehabisan, kami akan katakan kepada mereka;

"Ini sahaja yang tinggal. Jamahlah sedikit buah kurma dan air zam-zam. Semuga Allah memberikan kesihatan yang baik agar kita dapat melakukan ibadat semata-mata kerana-Nya."

Melihat senario bershopping masyarakat Malaysia ketika di tanah suci, menambahkan ketakutan hati kami. Lantas, kami memanjatkan doa ke hadrat illahi;

"Ya Allah. Jangan sampai shopping mengubahkan niat hati kami yang selama ini bertahun-tahun merayu belas untuk menjadi tetamu-Mu. Jangan sampai shopping melekakan kami, menjadikan pandangan mata kami indah apabila melihat perhiasan dunia.

Sesungguhnya ya Allah, kami mahu ke rumah-Mu untuk beribadat semata-mata kerana-Mu.


5 comments:

  1. Selamat berangkat Roza n suami... muga dipermudahkan segala urusan ketika menjadi tetamu Allah dan mendapat haji yg mabrur. Insyaallah.

    ReplyDelete
  2. salam perkenalan..semoga tenang di perjalanan menjadi tetamu Allah.

    ReplyDelete
  3. Roza & prof nak mengerjakan haji lg ke tahun nie? Rasanya ini kisah Roza pergi haji yg dulu tak?

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum,

    Kami tidak pergi mengerjakan haji pada tahun ini. Tetapi mengimbau kembali kenangan dan menganalisa tips yang diperolehi pada haji tahun 2006.

    Ini adalah sebahagian daripada catatan dalam buku terbaru kami [prof & saya] yang sedang dalam proses penulisan.

    Tips-tips itu berupa tacit knowledge yang tidak terdapat dalam kitab.

    Mudah-mudahan ia memberi menafaat kepada bakal-bakal haji, dengan izin Allah.

    ReplyDelete
  5. Yuk Merapat Best Betting Online Hanya Di AREATOTO
    Dalam 1 Userid Dapat Bermain Semua Permainan
    Yang Ada :
    TARUHAN BOLA - LIVE CASINO - SABUNG AYAM - TOGEL ONLINE ( Tanpa Batas Invest )
    Sekedar Nonton Bola ,
    Jika Tidak Pasang Taruhan , Mana Seru , Pasangkan Taruhan Anda Di areatoto
    Minimal Deposit Rp 20.000 Dan Withdraw Rp.50.000
    Proses Deposit Dan Withdraw ( EXPRES ) Super Cepat
    Anda Akan Di Layani Dengan Customer Service Yang Ramah
    Website Online 24Jam/Setiap Hariny

    ReplyDelete