"Siapakah rakan sebilik kita sepanjang berada di Mekah dan di Madinah nanti?"
Apa yang pasti kami sudah tahu yang akan duduk sebilik dengan kakak dan adik ipar. Perasaan takut dan gementar. Banyak sekali cerita yang di dengar tentang hubungan suami isteri, anak dengan ibu dan ipar duai. Ada cerita hubungan yang semakin akrab ketika di sana. Malahan ada pula cerita sebaliknya.
Beberapa hari sebelum berangkat ke tanah suci, Kak Mie dan Azlina telahpun sampai di rumah kami. Semasa berkumpul dan bersantai selepas minum petang, kami berbincang;
"Kak Mie dan Azlina, sampai di tanah suci nanti.. jika ada yang tidak kena dengan saya, tolong beritahu. Jangan di simpan dalam hati atau pendamkan perasaan. Kita akan duduk sebilik dan tinggal bersama di tanah suci selama hampir 45 hari."
"Betul.. Na pun fikir begitu. Jika ada perkara yang kecil-kecil..tidak perlulah berkecil hati."
Begitulah. Kami berpakat-pakat seia sekata sesama ipar duai. Doa kami kepada Allah agar perhubangan kami akrab, jangan ada sengketa dan jangan ada hati yang terluka.
"Ya Allah ya tuhan ku, berikan kami rakan sebilik yang sesuai. Yang saling bertolak ansur, saling hormat menghormati sesama kami dan perasaan kasih sayang. Peliharalah hubungan kami agar jangan bersengketa, jangan berkecil hati dan jangan berburuk sangka. Jalinkanlah kemesraan di antara kami ya Allah.
Sesungguhnya kami datang ke rumah-Mu semata-mata kerana-Mu. Kami hadapkan wajah kami kepada-Mu. Sesungguhnya hidup dan ibadat kami lakukan ikhlas kerana mahu bersyukur kepada-Mu."
"Wahai tuhan..perkenankan lah.."
Benar. Kami bimbang jika hubungan kami ipar duai bakal berkecai. Bimbang jika ada hati yang terguris, ada perasaan yang terluka. Kami tidak mahu begitu.
Ada juga rakan yang bercerita tentang rakan sebilik yang tidak mahu berkompromi tentang perkara yang remeh temeh seperti pemasangan pendingin udara, penggunaan bilik air di bilik dan ruang menyimpan beg.
Benar. Ramai jemaah terdahulu bercerita, jika pergi dengan muasasah khabarnya rakan sebilik melebihi 5 orang. Selagi boleh dimasukkan katil ke dalam bilik, diatur-atur bersilang pukang boleh memuatkan sehingga 9 orang. Suasananya sempit dan sesak.
Ruang menyimpan beg adalah di bawah katil sendiri. Jika ada yang membeli belah secara berlebihan sehingga terpaksa menambah beg, kemungkinan ia menimbulkan ketidakselesaan kepada rakan sebilik.
Rakan lain pula menceritakan keadaan yang lebih kritikal di dalam khemah semasa di Arafah dan di Mina.
"Jika pergi dengan muasasah, ruang tempat kita tidur dan bersembahyang adalah sebesar tikar sembahyang sahaja. Dalam khemah itu hampir 40-50 orang jemah dihimpunkan. Beg kecil kita itulah menjadi bantal."
Kami dapat bayangkan ketidakselesaan dalam khemah di Mina nanti. Ah, jika kami tidak selesa, begitulah juga yang dirasakan oleh rakan sebilik atau sekhemah.
Jadi, kenapa perlu bergaduh dengan ruang yang kecil? Lalu, kami tambahkan doa ke hadrat Allah;
"Ya Allah, jadikanlah kami tergolong dari hamba-Mu yang sabar, yang redha dan berserah diri kepada-Mu. Janganlah kami diuji dengan sesuatu yang tidak dapat kami pikul.
Wahai tuhanku, jagalah pandangan mataku, pendengaranku, lidahku dan bisikan jahat hatiku."
Gambar ihsan:
http://inijalanku.files.wordpress.com/2008/12/wanita-di-arafah.jpg?w=468&h=351
Salam Roza,
ReplyDeleteDi Mekah & Madinah saya sebilik dengan suami dan 2 kakaknya. Sepatutnya kami bertiga (saya & kakak2 ipar), tp suami tak selesa dgn rakan2 sebiliknya yg lain. Jd dia berpindah ke bilik kami & kongsi katil dgn saya. Alhamdullillah, tiada sebrg masalah krn bilik hnaya sekadar melelapkan mata untuk seketika sahaja.