Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, July 27, 2011

Ramadhan terakhir..

Semalam kelas subjek pengurusan sumber manusia dimulakan agak lewat beberapa minit. Ada beberapa pelajar yang tidak datang tepat pada waktunya sedangkan mereka tahu hari itu adalah hari pembentangan kerja berkumpulan.

"Tahukah kamu adalah bakal pemimpin di masa akan datang? Kamu berpotensi menjadi pengurus, menjadi ketua jabatan. Kita harus menjadi model atau mentor kepada pekerja. Mereka melihat kita..."



Saya mulakan khutbah di pagi hari. Barangkali mereka baru balik dari cuti pertengahan semester. Barangkali mereka sudah terlupa. Biar saya mengingatkan mereka.

" Dalam konteks pelajaran pengurusan sumber manusia, kita antara pengubal polisi dan pengamalnya dalam aktiviti organisasi.. Kalau kita mahu staf datang tepat pada waktunya, kita juga harus begitu. Di dalam Islam..waktu menjadi keutamaaan."



Lalu mereka diingatkan dengan surah Al-Asr yang bermaksud "Demi masa, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal saleh...



Sepuluh minit kemudian muncul beberapa pelajar lelaki membawa dua pelastik besar bungkusan nasi lemak dan sebekas air. Subhanallah!

"Puan..maaf lamat sikit. Kami pergi ambil nasi lemak.. Mahu makan-makan bersama sebelum puan berhijrah ke Madinah. Minggu depan dah berpuasa..takut tidak sempat."

Subhanallah! Saya terkedu. Lalu saya nyatakan rasa terharu sambil mengingatkan diri sendiri.

"Ya Allah..kalau kamu mahu membuat kebaikan, kadangkala perlu juga dikhabarkan. Jangan sampai ia membawa perspeksi yang bertentangan kerana mereka tidak tahu. Kadangkala apa yang tersirat tidak sama apa yang tersurat..Bergurau bagi kita, menunjuk-nunjuk dikata orang.."

Mereka akur lalu memohon maaf kerana "kejutan" yang dilakukan.



Sepeluh minit terakhir, saya akhirkan kelas. Sengaja memberi laluan agar pelajar dapat mengagihkan nasi lemak dan teh-O kepada sesama mereka. Sambi mereka bergembira dengan nasik lemak mereka, saya akhiri kuliah dengan mengucapkan selamat menyambut Ramadhan.

"Wahai anak-anakku..jadikan Ramadhan pada tahun ini paling bermakna. Jadikan ia lebih baik dari tahun yang lalu. Kalau dahulu ada yang tidak menutup aurat..inilah masanya untuk kita berubah kepada yang lebih baik."

"Barangkali ibubapa kita tidak menyuruh kita menutup aurat..tetapi kita disuruh oleh Allah, disampaikan oleh Rasulullah malah disebut di dalam al-Quraan. Mudah-mudahan kita tidak lagi menggunkakan alasan tidak sampai seru..."

Mereka diam.

"Jadikan Ramadhan kali ini yang bermakna buat kita..yang terakhir. Siapa disini yang berani angkat tangan menyatakan mereka pasti menemui Ramadhan pada tahun hadapan?"

Mereka mengeleng-geleng perlahan.

"Baik..mulakan tahun ini, setiap kali kita bangun untuk sahur..ambil wuduk dahulu. Kita belajar bangun sahur untuk belajar solat malam.."

Wallahu alam. Ya Allah, tugasku hanya menyampai..samada mereka diberi hidayah dan terbuka hati, daku serahkan mereka kembali kepada-Mu. Tiada daya upaya ku..

Monday, July 25, 2011

Hijaunya rumput orang..

Setahun yang lalu, kami suami isteri berpeluang ke Qatar. Sebuah negara di padang pasir yang sedang rancak membangun. Bangunannya subhanallah!



Siapa sangka di tengah-tengah padang pasir tandus itu ada bangunan sebegitu cantik. Barangkali setaraf dengan KLCC atau lebih lagi.. Yang lebih terpegun, disepanjang jalan bandarayanya ada pohon-pohon hijau yang rimbun. Bukan sekadar pohon kurma yang lebat berjuntai buahnya..



Subhanallah! Hijaunya rumput di padang orang.. Benar, di setengah-setengah bahagian, terdapat padang rumput segar menghijau. Petang-petang ia menjadi tempat perkelahan keluarga-keluarga arab tempatan berliburan.

Subhanallah! Hijaunya rumput di padang orang..

Ju, isteri rakan tempat kami menumpang tidur di Qatar membawa saya ke kedai kebab. Siapa kata perempuan tidak dibenarkan memandu di negara arab? Barangkali tidak bagi perempuan tempatan kerana bagi mereka, pemandu disediakan.



Kami parking di tempat letak kenderaan, mengelip-gelipkan lampu..sebentar kemudian pekerja kedai kebab datang mengambil tempahan. Kami berehat tenang di dalam kenderaan, tidak perlu keluar ke kaunter. Sebentar kemudian, pekerja itu datang semula membawa kebab yang di tempah. Ju serahkan duit bayaran, menunggu duit baki seketika dan kami menikmati kebab di rumah bersama keluarganya.

Subhanallah! Hijaunya rumput di padang orang..


Saya terbayang keadaan di negara sendiri. Perempuan Malaysia harus pandai berdikari. Jangankan membeli kebab, malahan menghantar dan mengambil anak di sekolah, membeli barangan dapur malah hampir segala urusan disandarkan ke bahu perempuan Malaysia. Selagi kita upaya. Namun..kami redha.

Itu adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada kami sebagai isteri, ibu kepada anak-anak dan anak kepada ibubapa. Kami nekad lakukan kerana-Nya bukan kerana terpaksa. Mudah-mudahan ia menjadi ibadah ikhlas dan membuatkan kami menyembah serta mendekatkan diri kepada Pencipta. Bukankah itu satu anugerah Allah?


Esok..Masih hijaukah padang orang sebagaimana hijau padang di tanah sendiri?

Friday, July 22, 2011

Kicau murai semakin merdu..

Sepanjang minggu ini suasana kampus desa pingitan ini tenang sahaja. Kampus desa yang sering menjadi gurauan siswa-siswi.

"Puan, kampus tempat jin bertendang..he..he.."

Sambil senyum sinis saya membalas.

"Ya.. tempat jin yang memakai jeans. Jeans yang secara terang menonjolkan punggung-punggung anak-anak gadis manis Malaysia. Anak-anak manis itu pelajar saya..."

Mereka tersenyum sipu. Malu-malu. Tanpa sedar mereka jua terkikil manja sambil berbisik-bisik sesama sendiri seolah-olah mentertawakan diri sendiri.

"Wahai anak-anak ku.. Siapa di sini yang berani angkat tangan menyatakan jeans itu sebahagian dari pakaian perempuan Islam? Siapa yang ada di dewan besar ini tergamak menunaikan solat dengan jeans ketat yang di pakai berpasangan dengan T-shirt yang saya tahu saiz bra mereka.."

Bertambah kuat mereka tertawa. Saya provok mereka lagi sebelum memulakan sesi pengajaran.

"Ya..Alhamdulillah, saya tahu kamu semua bertudung walaupun memakai jeans dan T-shirt itu. Tetapi boleh di bawa sembahyangkah pakaian seperti itu? Benchmark atau tanda aras pakaian perempuan islam adalah ia boleh di bawa sembahyang... tanpa perlu memakai telekung."

Mereka mula diam. Tunduk memandang meja. Saya teruskan lagi...

"Ada tak di antara kamu faham makna aurat? Mahu saya terangkan...?"

Lalu saya berkongsi maklumat yang di baca mengenai aurat perempuan Islam. Dalil yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah dari HR Abu Daud yang mencatat sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar,

“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.”

Lima minit tazkirah sebelum memulakan sesi pengajaran adalah saat paling indah untuk di kenang. Itulah saatnya saya melihat wajah manis anak-anak perempuan pelajar saya berfikir seketika. Barangkali mereka juga seperti saya suatu masa dahulu...liat untuk mendengar ceramah agama, apatahlagi berkampung di pusat Islam. Atau barangkali mereka tidak tahu lantaran memakainya secara ikut-ikutan. Pernah seorang pelajar perempuan berkunjung ke bilik saya sambil mengesat air mata;


"Puan..bagaimana saya mahu mengaji al-quraan, bersembahyang apatah lagi bertudung..kerana ibu saya sendiri tidak melakukannya?"


Jadi, biarlah saya menjadi ibu mereka. Biar dewan kuliah ini menjadi gelanggang bagi saya menyampaikan sesuatu. Sampaikan walaupun satu ayat. Mudah-mudahan ia bermanafaat.


Sepanjang seminggu cuti semester ini tiada kelibat gadis-gadis manis berjeans ketat yang memalingkan muka mereka apabila berselisih dengan pensyarah. Pensyarah yang berkira sangat dengan cara pemakaian mereka.


Biarlah begitu...Pagi ini saya mahu menikmati suasana damai kampus tanpa hiruk-pikuk serta sakit mata dan bersedih hati melihat cara pemakaian mereka. Saya mahu menikmati kicauan murai yang sibuk mematuk jambu-jambu air yang sedang masak ranum. Kerana esok, barangkali suasana seperti ini telah menjadi kenangan.

Benar..kicau murai kedengaran semakin merdu.

Saturday, July 16, 2011

Hijrah

Kehidupan ini adalah suatu perjalanan. Sepanjang perjalanan itu kita mengutip pelbagai pengalaman. Pengalaman yang tidak ternilai harganya. Dari ilmu yang pelbagai. Ilmu yang disampaikan oleh Allah yang maha kuasa dengan pelbagai cara. Ilmu alam semesta.

Sepanjang perjalanan itu saya temui banyak hentian. Ada gunung yang perlu di daki, ada lembah yang perlu dituruni, ada denai, ada lebuhraya, ada lencongan yang merbahaya, ada hutan belantara malah, hiruk pikuk bandaraya dan ada daerah yang sunyi.

Akhirnya ..saya bakal berhijrah ke daerah ini dan saya mahu hentikan perjalanan ini. Saya mahu ia terhenti di sini. Saya mengharapkan destini terakhir perjalanan ini.. benar-benar di sini!

Saya sudah mula terasa penat ya Allah. Barangkali benar kata orang.. itu faktor usia. Usia yang sudah tidak semakin muda. Kudrat yang ada tinggal tersisa. Saban hari lelahnya kian terasa.

Ya Allah.. titik permulaan yang ditinggalkan semakin jauh kerana garis penamat semakin dekat. Ia bagaikan dekat sekali. Seakan hampir di ulu hati..

Wahai Tuhan..izinkan saya berhenti seketika, menghela nafas..melepas lelah. Izinkan saya memulihkan semangat yang ada, mengutip iktibar dan bermuhasabah diri. Esok...saya mahu bangkit membina semangat baru, meninggalkan sesuatu yang boleh di ambil iktibar dan memperbaiki diri.

Esok..entah masih bernafaskah saya? Masih mengerlipkah mata..dan mampu bergerakkah tubuh anggota? Kerana esok saya masih mahu sujud bersyukur sebagaimana hari ini dan semalam.

Esok..saya mengharapkan agar hijrah itu lebih bererti dari semalam. Jika dahulu hijrah itu dilakukan kerana ilmu..esok saya mahu lakukan hijrah itu semata-mata kerana-Mu.

Wahai Tuhan..redhakan daku, limpahkan kasih sayang dan Rahmat-Mu. Temukan daku pada suatu pertemuan bagi sebuah pencarian. Mencari diri di dalam diri ini. wahai Tuhan..perkenankanlah..

Sunday, July 10, 2011

English tea

Tidak pernah saya melihat sesuatu bangsa yang memartabatkan suatu jenis minuman sehingga ke taraf bangsawan. Jika ada.. mereka adalah bangsa Inggeris dan bangsa Cina. Mereka berjaya melebelkan setiap jenis teh itu sehingga ada gred-grednya. Malahan orang lain juga percaya dengan gred-gred seperti itu. Bagaimana itu boleh terjadi? Itu dapat dilihat dari pakej luarannya.. terasa bagaikan ia sungguh berkualiti.

Subhanallah! Bukankah perasaan seperti itu tanda-tanda kebesaran Allah?

Bagi mereka yang barangkali tiada mempunyai "deria rasa istemewa," minuman teh itu adalah sama sahaja. Hanya berbeza dari segi rasanya jika ditambah perasa atau bahan-bahannya.
Saya melihat bagaimana kedua bangsa tersebut begitu berbangga dengan teh mereka.

"Drop by to my house and we have a nice cup of tea"

Ucapan itu berulang-ulang kali dinyatakan setiap kali bertemu rakan-rakan samada di pasaraya, di sekolah anak mahupun di tepi jalan. Saya terliur dengan ungkapan "a nice cup of tea". Bagaimanalah rupa dan rasa "English tea" itu agaknya ?

Suatu petang, seorang ibu rakan sekelas Sara datang menemui saya di pekarangan sekolah. Kami sama-sama sedang menunggu waktu pulang anak-anak dari sekolah. Dengan senyum menawan dan ramah mesra, ibu itu menyapa:

"Hai, saya ibu Lydia. Awak ibu Sara Fateha?"

"Ya.."

"Gembira sekali bertemu awak. Saya mahu meminta izin bagi pihak anak saya untuk menjemput Sara ke rumah kami selepas waktu sekolah.."

"Hari ini?"

"Oh tidak...esok petang. Lydia mahu menunjukkan sesuatu kepada Sara di rumah kami. Hasil seni. Lydia dan Sara mempunyai minat yang sama..Bolehkan puan?"

"Sebentar nanti ayah Sara sampai, barangkali awak boleh bertanya kepadanya.."

"Oh, baiklah. Bila masa yang sesuai nanti kita sama-sama boleh minum "a nice cup of tea".

Begitulah. Pertemuan singkat itu membawa kepada persahabatan yang berpanjangan. Bermula dari anak sehingga melarat kepada ibubapa. Kami juga berkenalan dengan seorang pegawai perhubungan antarabangsa British Council di Malaysia, akhirnya menjadi rakan baik semasa di negara mereka.

Bukan itu sahaja, kami juga mempunyai hubungan baik dengan keluarga penyelia Phd suami. Apabila dipelawa datang ke apartmen kami bagi minum petang, sebagai balasan mereka menjemput kami menikmati "a nice cup of tea" di rumah mereka.

Apabila minum teh di rumah ibu Lydia, dia menunjukkan beberapa jenis uncang teh di dalam bekas. Di masukkan ke dalam cawan berpiring, dicurah air panas. Tanpa gula, sesudu gula, sedikit krim atau tidak mengikut citarasa kita. Kemudian saya melihat ibu Lydia menikmati aroma teh Inggerisnya.

Bersama isteri pegawai British Council, kami menikmati "afternoon tea or low tea" di restoran. Ditempahnya seteko kecil teh bersama sepiring kudapan - crustless sandwiches, crumpets atau scones. Dihirupnya teh kosong tanpa gula dan susu itu perlahan-lahan. Penuh nikmat.

Di kebanyakan hotel pula, sekitar 3-6 petang menyediakan "Hi-tea atau meat tea". Ia bagi memenuhi keperluan mereka yang baru pulang bekerja. Hidangannya beranika jenis dan rupa. "Hi-tea" termasuk cold cuts, shepherd’s pie, baked beans on toast, steak and kidney pie, cakes, custards, sweets dan pickles.

Di rumah penyelia Phd Suami [professor], cara mereka menikmati teh berbeza sekali. Dibawanya saya ke dapur bagi memilih sendiri jenis teh yang mahu dinikmati - berjenis-jenis teh pelbagai jenama- seperti PG Tips, Harrisons & Crosfield, Taylors of Harrogate, Stash, Twinings, Typhoo, Barry's and banyak lagi! Mereka menikmati minuman teh dengan penuh bergaya.

Beliau juga menunjukan pelbagai jenis teh seperti white tea, organic tea, breakfast tea, earl greay tea, darjeeling tea, decaffeinated tea, green tea, fruit flavor tea, mint tea, assam tea, spiced & Christmas tea, vanilla tea dan entah apa lagi!

Teh oh teh. Saya bukanlah berkira sangat dengan rasanya..tetapi mengkagumi cara manusia menikmatinya.

Monday, July 4, 2011

Teh O bujang

Saya mengenalinya sebagai Yan. Orangnya tinggi besar, berambut ikal, bersubang dan bersuara garau. Suka memakai kemeja dan berkain batik lepas. Namun, Yan seorang yang sangat bersopan. Usia Yan barangkali sekitar 50 an.

Setiap kali menghantar sut suami bagi cucian kering atau kemeja untuk digosok, Yan pasti sedang "mengeteh." Maklum, saya datang sekitar 5.30 petang, waktu minum petang.

"Yan..puan Roza datang" sambut Sarah, rakan sekerja Yan yang bersuara manja. Sarah juga suka berkain batik tetapi berbaju kurung kedah. Namun, masih jelas susuk tubuh maskulin mereka. Usia Sarah sekitar 30 an. Segera Yan muncul dari belakang kedai dobinya.

"Alah..Minta maaf, Yan tengah mengeteh puan.."

"Tak apa. Yan pergilah sudahkan minum teh tu..Teh tarik special ke?"

"Alah, teh O bujang..guna uncang sahaja."

Begitulah saya berkenalan dengan hamba Allah yang keliru dengan identiti mereka. Walau demikian, mereka sensitif dan berhati mulia. Suatu hari apabila sampai waktunya bagi mengambil kemeja, dengan riang gembira Yan bercerita;

"Puan Roza..baru ni Yan balik kampung di Melaka. Masa tengah tengok astro Oasis, Yan nampak muka puan Roza dan suami.. Ya Allah, puan dan suami masuk TV rupanya"

Saya senyum malu. Malu kerana menumpang kelibat suami. Sedangkan diri tiada punya apa-apa. Bukan siapa-siapa. Yan dan Sarah masih becok bercerita sambil menghantar baju ke dalam kereta.

Di celah-celah bonet, tiba-tiba saya ternampak terselit buku Travelog haji: mengubah sempadan iman edisi VCD. Lalu, saya hadiahkan kepada mereka. Bertambah becok mulut mereka.

"Terima kasih puan. Terima kasih.."

Di hari yang lain, Sarah menyambut kedatangan saya. Wajahnya muram. Dia mengadu;

"Puan Roza, Yan ada di belakang..sedang sakit"

Tanpa berfikir panjang, saya terus masuk ke dalam kedai dobi. Benar, Yan sedang terlantar di celah-celah timbunan bakul-bakul pakaian pelanggan. Dia terbaring lesu di atas sehelai tikar yang terhampar di atas lantai. Di sebelahnya ada sekoleh teh O sejuk. Saya tersentuh hati melihat keadaannya. Sambil melutut saya memanggil nama Yan.

"Yan..Yan sakit ya? Kenapa tidak ke hospital?"

Yan membuka sedikit matanya. Senyumannya hambar.

"Ya..nanti Yan pergi puan. Yan pergi..tunggu gaji"

Hati nurani saya sebak melihat insan yang seusia itu tidak mampu untuk berkeluarga. Tiada anak-anak yang menjaga ketika sakitnya. Mengharap belas dari rakan-rakan sekerja dan golongan yang senasib dengannya.

"Yan..ambil hadiah ini dari saya. Pergi ke hospital hari ini juga."

Lalu, saya tinggalkan sejumlah wang bagi menampung perbelanjaan hospitalnya. Benar, berminggu-minggu Yan tiada. Dobi gemilang mereka hampir hilang serinya.

Suatu hari Yan muncul kembali. Tubuhnya susut, masih jelas keuzurannya. Tangan kirinya tiada bertenaga. Tidak dapat digerakkan tanpa sokongan tangan kanan. Namun, Yan nampak ceria menyambut kehadiran saya. Sambil mencatat bil bayaran, perlahan Yan menyatakan hasrat hatinya.

"Puan Roza..Yan mahu belajar sembahyang"

Saya terkejut dan tersentuh hati mendengar permintaan itu. Yan tunjukkan buku panduan sembahyang yang telah dibelinya. Buku panduan sembahyang cara perempuan. Saya merasa belas lalu sarankan agar Yan pergi sembahyang berjemaah maghrib dan Isyak di masjid mengikut imam. Dengan susah payah saya berterus terang;

"Yan..aurat Yan bukannya seperti perempuan. Belajarlah sembahyang cara lelaki"

Hati saya serba salah. Puas saya memikirkan dan dalam diam mendoakan agar ada orang yang sesuai bagi mengajar mereka. Apabila suami membeli steam iron baru, saya semakin jarang menghantar bagi mengosok kemeja di kedai dobi itu.

Beberapa bulan kemudian, dua minggu selepas raya saya kembali ke kedai dobi itu. Kembali menghantar sut dan kemeja suami. Saya disambut oleh seseorang yang membahasakan dirinya Suzi. Saya bertanyakan keadaan diri Yan. Dia terkejut besar. Sebentar kemudian Sarah muncul dari belakang.

"Puan Roza..Yan sudah tiada. Arwah pergi seminggu sebelum puasa"

Innalillah..Ampunkan saya ya Allah kerana tidak mampu mengajar hamba-Mu itu cara sujud dan menyembah-Mu. Ampunkan dosa-dosanya yang tersembunyi dan yang nyata. Cucurilah rahmat ke atas roh-nya. Roh sahabat yang dikenali sebagai Yan. Yan yang entah apakah binnya...

Al-Fatihah untuk sahabatku...Yan.

Teh tarik

Saya teringat perkataan "mengeteh" selalu digunakan oleh orang tua-tua. Mereka mengeteh di kedai kopi kepunyaan taukey keturunan cina. Harmoninya kehidupan, kerana berbagai bangsa boleh minum kopi dalam satu cawan. Cawan yang sama.

Dalam hati tertanya-tanya, apalah sedapnya "mengeteh" di kedai taukey cina? Apakah di rumah sudah tidak enak lagi aroma tehnya ?


Benar, teh tarik di kedai kopi lebih enak rasanya berbanding di rumah. Kenapa? Kerana buihnya, rasa lemak manis dan aromanya. Puas saya mencuba "tarik" teh susu buatan sendiri tetapi tidak pernah menjadi.


Suatu hari di musim sejuk, saya pulang kerja agak awal sekitar pukul 2 petang. Tidak seperti biasa sekitar pukul 3. Dari tempat kerja saya terus menjemput Sara dan Azrai pulang dari sekolah sekitar pukul 3.30. Maghrib sekitar 3.45 petang.


Hari itu, bermakna saya harus menunggu di simpang sekolah hampir 1.30 jam. Saya berjalan perlahan-lahan di deretan kedai, sesekali masuk ke dalamnya untuk mendapatkan haba panas. Musim sejuk yang melampau.

Masa dirasakan berjalan sangat perlahan. Tiba-tiba , saya ditegur oleh seseorang.

"Sister, tunggu siapa?"

"Saya menunggu anak pulang dari sekolah."

"Tunggu anak? Eh, sekarang baru pukul 2.30 petang. Mari ke rumah kami"


Seorang kenalan dari pakistan mempelawa. Anak perempuannya sekelas dengan Sara. Suaminya sedang menjalani pengajian di peringkat PhD. Satu universiti dengan suami.


Cuaca musim sejuk disertai angin bukanlah masanya untuk saya menolak perlawaan seseorang yang mulia sepertinya. Sejuknya menusuk ke tulang hitam, sejuk bukan kepalang. Benar, rumah kenalan itu letaknya beberapa blok dari kawasan sekolah. Saya dipelawa masuk. Dikuatkannya ganggang pemanas di ruang tamu rumahnya.

"Duduk sebentar..saya buatkan awak teh kashmir"

Saya teruja. Sebentar kemudian terhidu aroma teh memenuhi rongga hidung saya yang tadinya hampir tersumbat kerana kesejukan. Aroma manis lemak yang memikat. Tidak sedar, kaki saya melangkah menuju ke dapur.

"Maaf, saya ke dapur. Jangan susah-susah..awak buat apa tu?"

"Oh, teh kashmir. Kami orang-orang pakistan merebus daun teh sehingga kembang di dalam periuk. Kemudian kami masukkan sedikit gula dan susu ke dalamnya. Matikan api agar susu tidak pecah lemak"


Kenalan itu menunjukkan air rebusan teh yang sedang mengeleggak. Dia menunjukkan cara memasukkan gula dan susu ke dalam air rebusan itu. Serta merta rebusan teh menjadi seperti teh susu. Lalu, dicurahkan air itu sedikit ke dalam koleh besar. Diambilnya satu koleh lagi dan di tarik-tarik. Ah, teh tarik!

"Kita minum di dapur sahaja" saya mencadangkan.


Rumah mereka sunyi sahaja kerana menurut kenalan itu ke tiga-tiga anak mereka berada di sekolah. Di meja dapur rumah kenalan itu terdapat seperti adunan roti nan yang sudah dikepal-kepal. Di atas tungku dapur ada kari dhal bercampur carrot yang terjerang. Di dalam dulang ada ketulan kecil kentang lecek seperti pegedel.


Saya menjadi si kaki sibuk bertanya apa itu, apa ini. Bagaimana membuat itu dan ini. Tidak sedar jam hampir menunjukan pukul 3.30 petang. Tiba-tiba suami kenalan itu muncul memberi salam. Disambutnya suami dengan teh tarik yang panas meruap. Si suami bersuara,


"Sister, awak tunggu di sini. Saya pergi ke sekolah mengambil anak-anak. Jangan bimbang saya akan membawa suami dan anak-anak awak datang ke sini. Ke rumah kami. Awak semua mesti makan di sini"

Saya terkedu. Tidak sempat menolak, kerana dia yang membuat keputusan. Sementara suami kenalan itu pergi, isterinya pantas membakar roti nan di dalam ketuhar. Ketulan kentang di celup telur dan di goreng. Seperti pegedel!

Sambil itu, diambilnya kuali leper yang dimasukkan sedikit minyak. Ditumisnya bawang besar yang dibelah empat dan lada kering. Bahan goreng tadi dicurahkan bersama minyak kedalam kuah dhal. Aroma kuah dhal meruap-ruap.


Benar dalam masa lima belas minit, suami dan anak-anak muncul bersama anak-anak mereka. Selepas anak-anak di minta mencuci tangan dan muka, kami dipersilakan makan. Ia benar-benar menyelerakan. Sambil menghadap hidangan kami bertukar-tukar cerita tentang budaya. Kenalan tersebut menyatakan mereka ada membawa video tentang budaya mereka dan mempelawa kami menontonnya.

"It's ok brother.." suami menolak.


Kami sembahyang maghrib di rumah kenalan pakistan itu. Selepas sembahyang, kami dijamu pula dengan ladhu. Sejenis manisan. Kekenyangan, kami meminta izin untuk pulang. Namun, mereka mengajak kami naik ke bahagian atas rumah mereka.

"Brother, it's okey. Come we'll show you.."

Rupa-rupanya mereka mahu menunjukkan adat istiadat perkahwinan mereka. Setiap kali kami menyatakan, "It's ok brother.." ditukarnnya video lain pula. Akhirnya kami terpaksa menolak keras.

"Thank you brother.. we have to go."

Barulah kami dilepaskan pergi. Begitulah jadinya jika tidak faham bahasa.