
Hari ini saya menerima berita kematian seorang rakan seusia saya [Raden Galoh]. Hanya dua hari lagi sepatutnya dia menyambut ulangtahun kelahirannya : 21 Julai 1967.
Perkenalan yang bermula dari blog, membawa kepada pertemuan pertama sewaktu festival Buku Antarabangsa di PWTC, dua tahun yang lalu. Dia menghadiahkan saya dan suami senaskah buku hasil tulisanya : "Bagaimana dia berperang dengan penyakit kanser."
Orangnya ceria, bersemangat tinggi dan tawaduk. Tiada perkataan lain yang keluar selain dari memuji-muji kebesaran Allah subhanawatala. Beberapa hari yang lepas, SMS di hantar bertanyakan khabar.. apabila teringatkan dia. Namun, tidak berbalas.
Begitulah..bila sudah sampai masanya.
Bertahun-tahun yang lalu, seorang rakan seperjuangan [PLK] yang duduk dibangku sebelah saya asyik bercerita tentang kerinduannya untuk bersama suami dan anak-anak. Kami yang bosan dengan semangatnya yang mula meluntur, lantas mencabar;
"Berhenti sahajalah. Tidak perlu teruskan pengajian."
"Ya Allah, entah apa agaknya yang manusia cari.. tidak pernah puas dengan hidup ini. Dahulu, sudah elok-elok bersama anak-anak dan suami..saya mengada-ngada untuk belajar lagi."
Lalu, kami menjawab;
"Perasaan ingin menyambung pengajian itupun gerakan hati dari tuhan yang menjadikan. Terimalah sebaiknya. Dia maha mengetahui apa yang tidak kita ketahui.."
Suatu hari, rakan itu agak lewat hadir ke kelas. Selalunya dialah antara yang paling awal datang dan duduk di barisan paling hadapan. Kami resah dengan keadaan, lalu menghantar SMS kepadanya. Namun, tiada jawapan.
Keesokan harinya, kami menerima berita yang kereta kancilnya terhumban dalam taliair di tepi jalan. Dikatakan dia baru sahaja menghantar anak-anak kecil ke rumah ibubapa di kampung berhampiran.
Begitulah..bila sudah sampai masanya.
Bahagian kita entah bagaimana pula keadaannya?





