Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, July 15, 2010

Bukan kerana mereka..


Kelas pengajian luar kampus [PLK] diperuntukan selama 3 jam untuk satu subjek. Ia suatu jangkamasa yang panjang, jika difikirkan. Apabila menerima jadual waktu pengajaran, spontan terkeluar dari bibir;

"Ya Allah, 3 jam! Apa yang hendak di ajar mereka ni?"

Memang. Ia suatu pengalaman baru yang mencabar minda tetapi mengujakan. Subhanallah! Allah yang mengaturkan segalanya..

Beberapa tahun dahulu, sayalah antara golongan pelajar luar kampus itu. Kami harus berada di kelas seawal pukul 8.00 pagi hingga 5 petang di hari minggu! Kami juga pernah menghadiri kelas sebaik sahaja keluar waktu pejabat. Bergegas menghadiri kuliah bermula dari jam 6.00 petang dan berakhir pada pukul 10.00 malam.

Adakah kami tidak berkeluarga?

Tidak.. Kami sentiasa rindukan ingin bersama mereka. Namun, kuasa Allah yang melembutkan hati mereka, memberikan rasa simpati dengan memahami keadaan kami.

Apakah kami tidak mempunyai perasaan?

Tidak.. Hati kami sentiaa di landa perasaan remuk redam apabila melihat keadaan rumahtangga lintang-pukang, berselerakan. Melihat anak-anak dan suami berdikari mencari makanan dan pakaian sendiri. Hati gundah mengenangkan anak yang masih kecil mandi dan memakai baju sendiri. Pernah juga baju kakaknya disangka baju dia..

Sesekali emak dan abah atau saudara mara datang ke rumah di hari minggu, kami dengan sendirinya terkeluar dari senarai melayani tetamu. Sesekala ada kenduri kahwin atau keramaian di kampung, kami tidak mampu untuk pulang bersama-sama bagi meraikan mereka.

Dalam hati sentiasa berbisik-bisik, memohon keampunan Allah yang telah memberikan amanah kepada kami sebagai seorang khalifah;

"Ya Allah, daku mohon keampunan-Mu. Sesungguhnya daku telah diberikan amanah dari-Mu sebagai seorang isteri, seorang ibu, seorang anak, seorang pekerja, seorang kakak, seorang rakan dan seorang pelajar. Dan daku lakukan ini semata-mata kerana-Mu, ya Allah. Bukan kerana mereka.

Wahai tuhan, berikan daku kekuatan. Tidak mampu untukku memikulnya. Ampunkan daku jika berdosa kerana tidak upaya untuk menunaikan amanah ini sepenuhnya.."

Benar. Mereka juga seperti saya. Di waktu rehat antara kelas, seringkali terdengar keluhan seperti ini;

"Ya Allah, kain di rumah kakak yang belum berlipat, setimbun.. Balik kuliah nanti, ingatkan kakak bagi membeli bakul besar. Bakul yang ada di rumah sudah tidak mencukupi..."

Saya senyum sendiri [sangat-sangat memahami].

4 comments:

  1. salam puan roza,
    benar puan roza. Saya juga mengambil masters secara 'part time'. Alhamdulillah, saya berada berdekatan dengan mak, maka maklah yang akan menguruskan hal anak-anak. Keadaan rumah, memang tidak terurus. Saya cukup terhutang budi dengan mak dan suami.

    ReplyDelete
  2. Salam Roza,

    Itulah harga yang perlu dibayar untuk sebuah kejayaan.

    ReplyDelete
  3. Salam Roza...

    Saya juga pernah belajar secara part time dulu dalam tempoh belajar boleh lahir 4 orang anak hehehe yg bongsu...mengandung masa konvo..hehehhe...bila diputar balik...macam tak percaya saya telah melalui semuanya...
    terima kasih pada suami..heheh dia juga berjaya mendapat segulung ijazah..menjaga anak2....
    Kejayaan memerlukan pengorbanan...ilmu baik dunia dan akhirat adalah pelengkap kehidupan....bezanya hari ini saya mengikuti kelas pengajian, Al quran & tajwib, Tafsir, Fekah ( detail) dan Aqidah..tidak memerlukan peperiksaan, tiada bayaran khusus...bergaul terus dengan semua peringkat umur...alhamdulillah...mudah-mudahan dapat mendidik saya menjadi isteri dan muslimah yg sebaiknya...

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum shami2,

    Saya dan beberapa rakan PLK juga pernah merasa perasaan ibu mengandung ketika belajar.

    Benar, ia sukar. Namun, Allah memberikan kekuatan kerana Dia mengetahui siapakah hamba-Nya yang tahan diuji dan berupaya mengatasinya..

    Subhanallah!

    ReplyDelete