Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, January 7, 2009

Pisang Emas


Semasa saya belum bersekolah, apabila ada orang bertanya tentang pekerjaan abah, saya sering keliru. Sebelah pagi, saya melihat dia berpakaian kemas siap dengan tali leher. Ada buku panjang yang dipegangnya bertulis “Buku Persediaan Mengajar”.Sebelah petang dia akan memakai baju yang lusuh, bertopi hijau tua dan menyisip parang bersarung di sisi pinggangnya. Dengan motor kapcainya, dia hilang entah ke mana dan hampir senja baru pulang.Sebelah malam pula selepas Isyak, ada budak-budak sekitar kampung datang belajar di rumah sewa kecil kami.

Hujung minggu abah hampir tiada di rumah. Sesekali ada masanya dia pulang ke rumah dengan memakai baju berwarna hijau. Kata mak,”Itu baju Askar Wataniah”. Semua itu tidak penting bagi kami ketika kecil. Yang penting kami semua cukup makan. Kadang-kadang kami adik-beradik duduk berbincang, dari mana abah dapat duit.

Jawapannya adalah dari buah pisang!

Sebabnya setiap petang abah pasti bawa pulang setandan pisang di atas motor kapcai. Pisang tadi di sisir-sisir lalu di simpan di atas peran dapur. Bila agak masak, sisir-sisir pisang tadi abah ikat dengan tali repia lalu digantungkan berbaris-baris pada sebatang buluh. Kami adik-beradik akan menyusungnya ke kedai Abang Jo yang terletak di pangkal jalan kampung kami. Saya pegang buluh disebelah hadapan, Tuti ( adik ke 3) dan Ratna (adik ke 4) akan pegang buluh di belakang. Sebelum pulang, abang Jo akan bagi saya duit yang dimasukkan ke dalam sampul berwarna pink. Abah pula akan bagi kami upah untuk di simpan ke dalam tabung. Kami amat teruja!

Masa kecil saya pernah terfikir , kalau cikgu sekolah tanya nanti nak jadi apa, saya nak jawab,” Saya nak jual pisang cikgu sebab boleh dapat duit!”

14 comments:

  1. mereka yang hidup senang sekarang , rata-rata dulu hidup susah sebab tu mereka berjaya. Inilah hasil perjuangan kemerdekaan orang lama dan kita wajib menjaga kemerdekaan ini.smoga Negara kita yang aman tidak menjadi medan perang saudara. Insya-Allah , Amin.

    misi

    ReplyDelete
  2. Salam Roza,

    Cerita kehidupan yang ditulis mengingatkan saya tentang kesusahan hidup masa lampau. Dulu memang sedih sebab hidup susah. Tapi sekarang saya bersyukur kerana dengan kesusahan masa lampau kita memiliki keazaman yg tinggi.

    ReplyDelete
  3. Salam Kak Roza

    Zaman kecil di kampung sememangnya indah. Indah sangat.. Teringat pesan abang yang mengambil alih tugas menjaga setelah ayah pergi, "masa belajar ni, belajarlah rajin2, itu sahaja yang perlu difikir. Bila dah dewasa, terlalu banyak liku2 dan cabaran yang perlu dilalui". Namun, syukur padaNya dengan kehidupan yang diberi selama ini.

    Salam untuk semua.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum

    Tahniah di atas kelahiran blog Roza ni.
    Happy belated birthday juga.

    Bestnya cerita tu. Penuh nostalgia. Manis bila dikenang. (macam pisang manisnya kot)

    Teringat akak jual ikan yang sepatutnya nak dibuat lauk waktu abah balik dari laut....
    maka tak betlauk ikan lah haritu...makan sayur je. Sah lah mata duitan..he..he..he

    ReplyDelete
  5. Roza, lupa nak letak nama....kak wati

    ReplyDelete
  6. Tahniah atas kelahiran blog....

    akan jadi pembaca setia


    azie

    ReplyDelete
  7. Kebanyakan kita belajar dari kesusahan masa lampau. Kita berusaha untuk memperbaiki diri agar tidak mahu lagi terjebak dalam kesusahan hidup seperti generasi sebelumnya. Apabila telah dewasa dan berilmu, serta memperoleh kehidupan yang lebih baik, rata-rata yang saya perhatikan dalam kehidupan seharian sekarang, ramai ibu-bapa memberi kemewahan hidup (yang terlampau dan tidak sepatutnya) kepada anak-anak kita, iaitu generasi seterusnya, kerana kita kata biarlah anak-anak merasa kesenangan hidup, jangan susah seperti ibu-bapa mereka iaitu kita pada zaman dahulu.
    Lalu hiduplah generasi ini dalam kesenangan tanpa mengenal apa itu kesusahan. Semuanya sudah tersedia di hadapan mata, celik mata semua sudah ada, hatta sehingga mereka menjejakkan kaki ke menara gading juga disediakan kenderaan sendiri. Alasan agar senang ke kelas, tidak perlu menunggu lama kenderaan awam...Alahai...lama-kelamaan ini lah generasi yang akan mewarisi kepimpinan masa sekarang... akhirnya mereka tidak tahu membuat keputusan sendiri...kerana terlalu bergantung kepada orang lain... apabila diuji dengan sedikit kesusahan , mereka akan menggelabah....akhirnya maruah dan diri tergadai...

    Dalam pendidikan anak-anak sekarang, terutama di kota-kota besar, adalah satu cabaran yang hebat kepada ibu bapa. Pelbagai perkara yang melekakan dan melalaikan tumbuh seperti cendawan subur selepas hujan... bergantunglah kepada kebijaksanaan ibu bapa untuk mendidik anak-anak agar mempunyai nilai-nilai murni walaupun dikelilingi dengan kemewahan hidup...

    ...mereka tidak perlu lagi menjual pisang untuk mendapat duit..!!!

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum,

    Terima kasih kepada yang sudi mengunjungi blog ini.Indahnya mengingati zaman susah ketika senang.

    Alhamdulillah,syukur jika kita tergolong daripada orang yang bersyukur dengan nikmat pemberiaanNya.

    ReplyDelete
  9. Apakah ini nostalgia di Kg Paya Jakas?
    sungguh nostalgik sekali :)
    Apa khabar Ayu sekarang.

    ReplyDelete
  10. Kak Roza... Tahniah di atas kelahiran blog ini... mengenalimu cukup mengujakan diriku...

    Bila nak balik Shah Alam ni?

    ReplyDelete
  11. Kak Ngah, tahniah atas kehadiran blog ni. Betul2 mengibau kenangan lampau. Tapi malangnya zaman jual pisang tu na tak ingat. mungkin masih kecil..semestinya masa kita di Labis kan?? Tapi..kenangan tanam pisang dgn abah memang di kebun tak mungkin dilupakan terutama masa bulan puasa (sbb sentiasa berdoa agar Allah turunkan hujan, bolah buat2 terminum air hijan!! hehe..rezeki...)
    -Ratna-

    ReplyDelete
  12. hidup saya dulu Alhamdulillah sederhana. Sekarang anak-anak pula mungkin berpengalaman hampir serupa dengan Kak Roza! Teruskan mengimbau ke zaman silam kak Roza, dan kongsi-kongsi la dengan kami...

    ReplyDelete
  13. Masa kecil dulu, apa yang Kak Ngah suruh buat kami pasti buat. Kak Ngah macam pengganti emak. Kak Ngah yang mandikan kami(saya dan na) dan pakaikan baju..dia lah juga yang membedakkan kami. Dia selalu pastikan kami membawa sebotol susu. Saya masih ingat selalu ikut Kak Ngah ke kedai tapi tak ingat membawa apa pun. Kami percaya Kak Ngah dan tak pernah meragui kewibawaan Kak Ngah. Rupanya Kak Ngah hanya tua 2 tahun dari saya.. saya lupa..ingatkan Kak Ngah besaaar sangat masa tu..saya mungkin baru saja berumur 4 atau 5 tahun..

    Tapi seingat saya, saya memang sukakan kebun pisang abah di Labis. Luas sangat dan ada bukit botak yang saya suka panjat dan lihat awan di langit sambil tunggu abah. Panas terik tak terasa kerana seronok dengan angin dan angan-angan sendiri. Bila rasa keadaan terlalu sunyi, saya rasa takut dan jerit "Abah! Abah! Abah kat mana! sekuat hati saya. Hati jadi tenang bila dari jauh nampak abah jalan dengan kasut boot getah hitam ala phua chukang.. rasa kesian tengok abah susah susah datang dari jauh pastikan kami tak apa-apa.

    ReplyDelete
  14. Yuk Merapat Best Betting Online Hanya Di AREATOTO
    Dalam 1 Userid Dapat Bermain Semua Permainan
    Yang Ada :
    TARUHAN BOLA - LIVE CASINO - SABUNG AYAM - TOGEL ONLINE ( Tanpa Batas Invest )
    Sekedar Nonton Bola ,
    Jika Tidak Pasang Taruhan , Mana Seru , Pasangkan Taruhan Anda Di areatoto
    Minimal Deposit Rp 20.000 Dan Withdraw Rp.50.000
    Proses Deposit Dan Withdraw ( EXPRES ) Super Cepat
    Anda Akan Di Layani Dengan Customer Service Yang Ramah
    Website Online 24Jam/Setiap Hariny

    ReplyDelete