Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Tuesday, August 4, 2009

Canossian Convent

Kali pertama mendengar dan menyebutnya, hati bergetar. Terasa semacam suatu ketakutan. Kata orang sekolah itu tidak menuturkan bahasa ibunda. Bahasa Inggeris adalah bahasa penyampaian di dalam semua mata pelajaran. Kesemuanya pelajar perempuan!

Saya mulai terasa amat kecil sekali. Rata-rata pelajar melayu di sekolah itu masih memakai uniform gaun biru aqua sekolah menengah walaupun telah berada di tingkatan empat. Hanya kami sekolah-sekolah dari kampung yang memakai baju kurung secara tetap.

Hari pertama, kami dikumpulkan di ruang legar kantin sekolah. Sekolah itu kelihatan begitu 'compact' sekali. Tiada padang. Halaman hadapan sekolah menghadap sebuah gereja yang besar. Di mana-mana terdapat gambaran patung perempuan yang sedang memeluk anaknya.

Kami berbaris sambil mendengar pembahagian untuk agihan kelas. Cikgu memanggil nama dan memasukan kami di dalam suatu barisan untuk membentuk kumpulan kelas. Bermula dengan kelas yang tertinggi. Di dapati kesemua pelajarnya terdiri daripada pelajar asal sekolah itu. Kami terus menunggu.

"Ok. Now for the 4 Science 2 group.."
Setelah beberapa lama menunggu, baru terdengar nama saya di sebut. Di masukkan ke dalam kumpulan Kelas 4 Sains 2. Setelah dikumpulkan, kami di bawa ke dalam kelas oleh pengawas sekolah. Kelas itu berada di tingkat satu, betul-betul di atas kantin sekolah.

Tersentak besar apabila terpandangkan sebuah lambang salib di letakkan di dinding berhampiran dengan papan hijau. Maknanya, setiap kali kami memandang ke hadapan pasti objek itu dengan jelas akan kelihatan.

Di dalam kelas kami mulai berkenalan dan bersalaman di antara satu sama lain. Dari situ barulah saya tahu bahawa kami kebanyakan datangnya dari sekolah-sekolah kampung. Semua dikumpulkan di dalam kelas itu.

"Awak dari sekolah mana?"

"Sekolah Menengah Batu Anam"

"Awak pula?"

"Labis"

"Awak?"

"Tenang Stesyen"

"Cha'ah"

"Saya dari Sekolah Menengah Jementah"

Rata-rata saya bertanya kebanyakannya adalah antara pelajar terbaik dari sekolah-sekolah mereka. Mereka juga seperti saya, terpaksa berpindah ke sekolah baru kerana di sekolah kampung kami masih belum ada kelas aliran sains diajarkan.
"Kenapa kita semua berkumpul di kelas ini? Tidak layakkah di antara kita memasuki 4 Sains 1?"

Tiba-tiba perasaan diskriminasi menyapa di hati kerana keputusan SRP rakan-rakan baru saya didapati agak cemerlang juga. Mereka juga seperti saya, tertanya-tanya. Lalu, di dalam diam-diam saya pergi berjumpa guru penolong kanan untuk bertanya bagaimanakah kriteria pemilihan kelas di buat. Saya bernekad hanya untuk bertanya semata-mata. Bukannya membantah dengan keputusan pihak sekolah.

Sebelum pergi saya berfikir sebentar patah-patah ayat dan susunan perkataan yang akan dituturkan. Ah! Kenapa perlu bimbang kerana itu bukanlah bahasa semasa saya dilahirkan. Ramai bangsa asing yang bertutur di dalam bahasa itu tanpa nahu yang betul. Tetapi mereka menyuarakannya dengan yakin sekali. Tiada siapa yang peduli.

Saya cuba bertutur di dalam bahasa Inggeris yang pelat. Rasa seperti tersekat-sekat. Lidah saya bagaikan melekat di atas lelangit. Tergeliat!
"Excuse me sir..I just wonder, how do you select the criteria for the 4 science 1?"

"Those with an excellence result"

"What do you think about this result? It's look excellence to me...Could you please at least consider.."

Lancang! Dalam terangkak-rangkak terasa memang lancang serta tidak tahu di untung. Bebal !

Hari pertama persekolahan saya telah menyalakan sebatang mancis dan dengan tiada perasaan belas telah mencampakkannya ke dalam seberkas jerami padi kering di tengah kedamaian sawah. Pasti ia akan terbakar walaupun baranya tidak kelihatan. Seperti api di dalam sekam.

"Oh..In our school's policy, we'll given our own student [convent] a first priority!"

6 comments:

  1. Salam Pn,

    Saya dulu pernah mengajar sekolah tu. Memang tak selesa betul dengan salib kat atas papan hitam tu. Kami turunkan di kelas-kelas yang digunakan untuk kelas agama. Ntah macammana le sekarang sekolah tu. Masih wujud ke salib-salib tu.

    ReplyDelete
  2. Salam Pn Roza.
    Membaca entry pagi ini saya terkenang peristiwa 24 tahun lalu.
    Keluarga tak benarkan ke aliran sains di bandar BP.Agak kecewa ketika itu. Semoga ada hikmahnya..

    oked..

    ReplyDelete
  3. tak selesa sungguh bila ada benda tu yer...

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum

    Berani betul Roza. Tapi kalau tak tanya tak tau pulak kan. At least puas hati dah tau.

    Teringat akak masa mula masuk form 4 science
    di SIGS JB, rasa macam rusa masuk kampung je.
    Kami dari sekolah pendalaman. Bila perhimpunan
    pagi Isnin, bahas Inggeris digunakan. Apa biji butirnya akak tak faham. rasa nak balik kat sek lama.

    Mujurlah lama-lama dah biasa dan baru rasa sayang pulak kat sek. tu.

    Kak wati

    ReplyDelete
  5. Kak Ngah ni gi mana-mana memang buat kepala sendiri sebab tu selalu popular. Sampai cikgu tak percaya saya adik "Raudhah"..betul ke awak adik Raudhah?..selalunya dah terlambatlah nak menumpang populariti, sebab cikgu selalu sedar bila dah akhir tahun masa nak lepas periksa akhir dan Kak Ngah jalan-jalan ke kelas saya, ziarah saya. Di Convent saya paling ingat cikgu Inggeris selalu suruh kami buat ayat dan baca depan kelas tapi kami tak tahu sepatah pun, yang buat kan ayat ialah pelajar Convent yang sekelas saya. Mereka perah otak buat ayat, saya cuma baca. Masa tulah saya berazam dalam hati yang saya mesti menguasai BI dan rajin baca kamus. Kamus dan biografi adalah buku kegemaran saya sejak remaja..

    Tuty

    ReplyDelete
  6. ermm...saya pun nak berkongsi cerita, tp bukan pasal sekolah tetapi rumah ibu mertua saya. saya turut menghadapi masalah yg sama di mana terpaksa mengadap tanda salib di hampir setiap penjuru rumah ibu mertua saya. alhamdulillah bilik yg disediakan untuk kami tiada tanda salib. setiap kali terpandang tanda tu, hati saya bergetar takut terpaling iman. nauzubillah..dan kadang-kadang terasa malas untuk balik ke sana meraikan perayaan CNY...

    ReplyDelete