Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, August 3, 2009

Honeymoon


Saya pernah mendengar orang menyatakan bahawa tingkatan empat adalah musim "Honeymoon" bagi sesetengah pelajar. Penuh dengan kemanisan. Setakat mana yang dikatakan manisnya bulan madu itu tidaklah saya tahu. Tidak terjangkau dek akal fikiran.

Namun, bagi saya semasa di tingkatan empatlah bermulanya segala macam pengalaman baru. Saya mula terfikir-fikir bagaimanakah untuk mencari kenderaan ke sekolah. Bas hanya akan bertolak awal pagi dari pekan Jementah.

"Awak pindah dahulu ke rumah baru kita di pekan Jementah"

"Abah kata rumah itu belum lagi dimasuki eletrik?"

Soalan bermain di dalam fikiran saya apabila mak mencadangkan agar saya berpindah ke rumah murah kami yang belum diduduki di pekan Jementah. Kata mak, abah telah lama membelinya. Bertahun-tahun yang lalu tetapi projek perumahan itu terbengkalai sejak sekian lama.

Rumah murah kami kecil sahaja namun ia sebuah rumah teres batu 'Semi-D' berhampiran dengan pekan. Hanya beberapa meter dari Sekolah Menengah Jementah. Ia terletak di tepi jalan besar. Saya hanya perlu menunggu bas di situ. Lalu, saya bersetuju.

Hanya saya, Tuti dan Ratna berpindah ke rumah baru yang masih kosong itu. Hanya kami bertiga. Tingkatan empat, tingkatan dua dan tingkatan satu. Memandangkan kenderaan adalah isu utama persekolahan, kami akur tanpa bantahan. Abah dan mak juga amat tabah membenarkan anak-anak gadis mereka yang remaja tinggal bersendirian. Berbagai-bagai pesanan yang ditinggalkan.

"Jangan sekali-kali membuka pintu pagar jika dikunjungi oleh orang yang tidak dikenali"

"Jika ada apa-apa masalah, segera beritahu dan meminta bantuan dari jiran-jiran sebelah"

Tiada perabot dan tiada eletrik lagi. Bekalan paip air masih belum memasuki rumah itu tetapi terdapat saluran paip air berhampiran meter air di laman hadapan. Di situlah kami mendapatkan keperluan air untuk minum dan mandi. Kami mengangkutnya bergilir-gilir menggunakan baldi.

Terasa seperti 'Main pondok-pondok' namun disertai dengan tanggungjawab yang besar.

Mak dan abah bekalkan kami sebuah dapur minyak tanah, periuk nasi, kuali kecil dan sedikit bahan bekalan makanan mentah. Sebuah lemet hamparan untuk tidur dan beberapa biji bantal. Sebuah pelita ayan dan beberapa kotak lilin menerangi malam.

Apabila berbaring-baring menghadap siling di dalam kegelapan dan kepanasan malam, kami sering bercerita tentang Ayu, adik perempuan kecil kami yang sering kami rindui. Kami paling suka bercerita tentang bantalnya.

Kami bercerita tentang cerita suka duka di zaman nakal, cerita tentang basikal, pokok, sungai dan segala-galanya. Kadang-kadang kami ketawa dan kadang-kadang kami berduka. Selalunya cerita-cerita kami akan berakhir dengan air mata.

Masing-masing dengan tidak semena-mena akan terdiam di dalam kesunyian malam apabila ada cerita yang tersentuh hati dan perasaan. Ia suatu perasaan kerinduan. Rindu. Perasaan rindu kepada kehidupan zaman kanak-kanak yang lalu. Zaman yang hampir berlalu.

Sekali air bah, pantai berubah.

Kehidupan di rumah , perjalanan dan sekolah baru adalah sebahagian daripada pelajaran yang Allah ajarkan untuk memantapkan pengalaman. Ia merupakan sebuah kitab besar mengenai kehidupan yang helaiannya masih tebal dan belum terbuka. Penuh misteri dan masih rahsia . Jika diizinkan Allah Taala setiap chapter pasti akan dapat di baca. Jika tidak, chapter itu hanya merupakan sebuah kitab yang nipis sahaja. Ia ketentuan tuhan!

Tetapi, isi kandungan dan bacaannya hanyalah dapat di nilai dengan membacanya secara ke belakang. Di selak dengan cara mengamati semula untuk menilai keindahannya. Namun, kehidupan itu tidaklah selalunya indah. Madu yang manis bunyinya oleh sesetangah orang namun ia pahit di telan oleh pihak yang lain ketika melaluinya.

Subhanallah! Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Bukalah matahati untuk melihatnya!

8 comments:

  1. ttiba tiba eringat kisah sayur taugeh & Kak Ngah kene gestrik..

    -Na-

    ReplyDelete
  2. salam puan roza..
    saya x merasa tahun honeymoon pun sbb dulu sekolah menengah ugama.tingkatan empat pun ada exam,sijil menengah ugama(SMU)..lebih kurang mcm spm tp semua mata pelajaran agama je..so x merasalah nak berhoneymoon..

    tp saya respek puan dan adik2 duk berdikari jauh dr ibubapa..

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum

    Kecik2 dah pandai berdikari.

    ReplyDelete
  4. (terlupa pengenalan diri)



    Kak wati

    ReplyDelete
  5. salam,

    hidup ini memang indah.

    ReplyDelete
  6. Salam...

    hari demi hari..diari kehidupan terus bertambah..

    ReplyDelete
  7. Salam...
    Setiap kenangan lalu memang banyak memberikan pengajaran.

    -zura-

    ReplyDelete
  8. Teringat tidur berteman lilin, mandi cuma segayung air dan sambal tumis Kak Ngah. Kak Ngah dan Na la yang selalu memasak, Kak Ngah waktu pagi dan Na waktu tengahari. Teringat juga kami melaram dalam rumah, menari macam nak rak...tiba-tiba tersentak bila perasan ada pekerja Cina yang tengah renovate luar rumah kami terngangga sampai "jaw dropped" terkejut tengok anak dara berangan dalam rumah tu..Bila kenangkan kelakar pulak. Maluuuuuu!!!..haha

    Tuty

    ReplyDelete