Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, August 12, 2009

Hoki


Minggu itu latihan sukan diadakan. Semua pelajar diwajibkan hadir hampir setiap petang. Memandangkan sekolah convent tiada padang, kami berkongsi padang berhadapan Sekolah Tinggi di seberang jalan.

Saya bukanlah seorang anti- sukan. Semasa sekolah rendah, saya sering mewakili daerah untuk acara lompat jauh, bola jaring dan lari berganti-ganti 100 meter dan 200 meter.

Di sekolah itu, hanya sekali-sekala sahaja dapat menghadirinya. Ianya disebabkan oleh faktor tempat tinggal yang nun jauh di Jementah dan kami hanya akan sampai ke rumah apabila hari hampir menjelang senja.

Walaupun mereka kata "It's compulsory" dengan telor yang tersendiri, namun saya masih tetap tidak dapat memenuhinya setiap hari.

Saya patut berterima kasih kepada sekolah itu kerana banyak memperkenalkan penggunaan perkataan baru. Hampir setiap hari saya catitkan ke dalam diari. Siap dengan ayat-ayatnya sekali. Serta tonasi. Hari semalam perkataan - 'Sophisticated. Hari ini perkataan 'Oo..Goodness me. It's sound great! Marvellous" dan esok..pasti saya menunggu perkataan itu.


Selalunya apabila pelajar-pelajar convent berkumpul membuat latihan di padang ,begitu ramai pelajar-pelajar lelaki dari Sekolah Tinggi datang memerhati. Mereka berkerumun di tepi padang, juga memakai pakaian sukan untuk latihan. Kadang-kadang mereka berada di tepian Taman Bunga, Bukit Hampar bersebelahan padang.

Ada juga sesetengah pelajar lelaki yang telah mulai tumbuh kumis-kumis halus mencuba skil 'ayat-ayat' mereka. Bertegur sapa. Ada yang melayan dan ada ramai juga yang Bo-layan. Masa yang paling kemuncak ramai adalah apabila pelajar convent membuat latihan bermain hoki.

Namun, satu arahan yang paling kami tidak faham adalah apabila diadakan perlawanan Hoki yang melibatkan kerabat di Raja, Sekolah Menengah Cannosian Convent di minta untuk tidak menghadirinya. Malahan pernah ada arahan sekolah itu dicutikan!

Bila pulang, kadang-kadang kami jalan beriring-iring pergi dengan pelajar Sekolah Tinggi. Sambil berjalan pulang ke Stesyen Bas Segamat ada-ada sahaja yang dibisikkan [gossip] oleh rakan-rakan kami yang memerhati pelajar lelaki dari Sekolah Tinggi.

"Yang baju biru tu..jangan sesekali di tegur"
"Kenapa?"
"Nanti dia akan berkempen tidak berhenti-henti supaya kita pergi membeli di kedai kain bapanya!"

Sambung rakan lagi.

"Dia akan berkata bahawa suatu hari nanti dia akan mengambilalih perniagaan bapanya. Dia akan menjadi mengedar textile yang terkenal di seluruh Malaysia. Adik beradiknya akan menjadi pengurus di setiap negeri. Dia bercita-cita juga untuk mempunyai gedungnya sendiri ! He..he letih kita mendengarnya nanti"

"Waaah...Besarnya harapan dia. Mudah-mudahan Allah makbulkan dan tiada menghairankan jika ia terjadi.." . Saya kagum di dalam hati.

Rakan yang lain berbisik-bisik lagi.

"Yang handsome kening bercantum tu..awak kena berhati-hati. Dia begini, begini dan begini..."
Mendengar sahaja. Tidak boleh di sampuk-sampuk. Persisnya lelaki kening bercantum itu jahat sekali! Jangan cuba di hampiri. Amaran yang tegas lagi jelas! Tiada kompromi.

Yang itu...yang ini, yang besar, yang tinggi...bosan! Satupun tidak masuk ke dalam hati! Langsung tidak memberikan faedah kepada diri. Hairan ya? Bagaimana mereka mendapatkan berita atau memang telah tertakdir bahawa bakat itu telah ada sejak azali? Betul juga, jika tiada spesis seperti itu..majalah hiburan tidak akan laku!

Tetapi apabila pelajar lelaki hansome yang keningnya bercantum itu datang menegur kami, tiba-tiba rakan yang kaki gosip tadi tersipu-sipu terus melayan. Entah bila agaknya dia meninggalkan saya berjalan sendirian.

Macam itulah agaknya kata peribahasa - "Lebih sudu dari pinggan"

6 comments:

  1. oh rupa-rupanya si pembuat gosip minat pada si kening bercantum...

    patutlah tak bagi orang dekat kehkehkeh

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum

    Pandai juga ye, buat gossip, rupanya dia yang
    berkenan. Takut orang lain kebas lah kot..he..he

    Yang selalu kempen suruh beli kain di kedai bapanya tentunya anak Tokeh Jakel Trading.
    tercapailah impiannya, sebab rangkaian Jakel sekarang ada di mana2.


    kak wati

    ReplyDelete
  3. semasa saya membaca cerita ini..saya pon terpikir anak jakel...heheheh..tak baik kan belum² dah terpikir..ntah² org lain...

    masa saya sekolah pon mcm nie..selalu dengar gossip...sampai bila ya gossip akan abis...

    ReplyDelete
  4. sbrnya dia yg minta sbb tu x bg org lain dekat.so buatlah citer...hehehe,spesis ni mmg ada kat mana2 sekolah pun.

    ReplyDelete
  5. Salam puan,

    hahahah..kak wati & tulip...hanis pon dok terfikir Jakel...hahaha...terigat zaman dok p beli baju kat jakel bangunan panggung wayang lama tu...masa zaman puan kat mane kedai mereka agaknya....

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum Hanis,

    Pada zaman saya, kedai kecil Jakel berhampiran dengan kedai Globe Silk Store sebaris dengan kedai M.Jinnah..

    Mereka adik beradik memang bekerja keras dari dahulu hingga sekarang membangunkan empayer perniagaan.

    Namun mereka tidak pernah lupa menafkahkan sebahagian daripada pendapatan kepada orang miskin dan anak-anak yatim Segamat yang memerlukan.

    ReplyDelete