Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, December 17, 2009

Ijabkabul



Petikan salah sebuah bab yang akan dibukukan:

Akhirnya saat-saat itu muncul jua.

Pelamin perkahwinan kami hanyalah sekeping tabir dari kain satin paduan dua warna, biru tua dan putih. Di belakangnya digantungkan sejambak bunga. Terdapat pentas kecil di depan tabir.

Di atasnya diletakkan sepasang kerusi tempat bersemayam raja sehari. Juga, sebekas pulut kuning yang dicucuk bunga telur. Kiri dan kanan. Itu sahaja.

“Abah minta izin hendak nikahkan awak. Awak setuju?,” lembut abah bertanya.

“Setuju!”

Pantas saya menjawab pertanyaan abah. Kakak sepupu dan mak saudara menjeling lantas mencubit peha saya sambil tersenyum .

“Tak tahu malu langsung!”

Saya membalas senyuman mereka. Bagaimana dapat saya berselindung dan membendung perasaan selepas bertahun-tahun menunggu. Itulah saat bahagia yang dinanti selama ini.

Malam pernikahan itu saya memakai sepasang baju kurung moden gandingan kain satin putih susu dan tampalan kain lace. Bagaikan mimpi dan tidak percaya melihat wajah setelah di solek di cermin muka. Itukah wajah saya?

Majlis pernikahan bermula selepas Maghrib dengan bacaan yasin dan diikuti dengan marhaban. Selepas Isyak, saya akan dinikahkan. Namun Tok Kadi tidak muncul-muncul. Hari kian lewat. Sudah hampir lewat malam. Mak dan Abah mula gelisah melihat ramai sanak-saudara mulai pulang.

Hati mulai risau. Berkali-kali saya berdoa agar segalanya dipermudahkan. Janganlah terjadi sebarang kejadian buruk yang membatalkan hari yang istimewa ini.

"Ya Allah, permudahkanlah. Ya Allah permudahkan majlis ini ya Allah"

Akhirnya hampir jam 11.30 malam barulah tok kadi muncul. Tok Kamal sangat-sangat uzur. Beliau tidak mampu bangun untuk tiba mengikut masanya. Dengan sedikit sisa kekuatan beliau menguatkan diri untuk menikahkan kami.

“Muhd Kamil Ibrahim, aku nikahkan dikau dengan Raudzah bt Roslan. Dengan mas kahwinnya RM22.50 tunai”

“Aku terima nikahnya, Raudzah bt Roslan dengan mas kahwinnya RM22.50 tunai!”

Lalu, tidak semena-mena saya merasa sebak di dada. Air mata yang di tahan-tahan mengalir secara perlahan. Seperti mimpi, dengan terlafaznya barisan ayat tersebut, lalu saya sah menjadi isterinya.

“Ya Allah, suamiku ini adalah satu anugerah untuk ku dari sisi-Mu. Jadikanlah daku seorang isteri dan ibu solehah serta sabar menhadapi karenah. Jadikanlah daku redha dengan jodohku walau di dalam apa jua keadaannya.

“Terima kasih Allah. Budak perempuan hitam yang garang ini akhirnya bertemu jua dengan jodohnya”.

Dari ruang bilik saya memandang wajah mak dan abah. Wajah yang rela hati melepaskan anak perempuannya yang masih muda remaja. Usia 22 tahun ditemukan jodoh dengan pemuda yang telah ditetapkan Allah hasil istiharah. Jauh di sudut hati saya berjanji kepada diri:

“Mak.. abah. Inilah ketentuan Allah. Maafkan saya jika belum dapat membuatkan mak dan abah merasa bangga. Tiada kejayaan yang dapat saya hadiahkan sebagai membalas jasa pengorbanan mak dan abah. Budi kalian belum terbalas.

Wahai tuhan, jangan diambil nyawaku lagi dan juga mereka. Berikanlah daku peluang untuk membanggakan dan membahagiakan hati mereka. Suatu masa, suatu ketika berikanlah daku kejayaan walupun terpaksa merangkak untuk mendapatkannya”

“Wahai tuhan..perkenankanlah”


Malam itu di dalam bahagia hati saya dipenuhi dengan air mata. Terasa beban yang berat terpikul di bahu saya – sebagai isteri, sebagai anak dan sebagai bakal ibu kepada anak-anak – di usia masih muda remaja.

Majlis pernikahan kami bermula pada 29 Julai 1989 dan berakhir pada 30 Julai 1989. Itulah majlis terakhir yang dilangsung oleh Tok Kamal. Beliau pergi buat selama-lamanya.

14 comments:

  1. Assalamualaikum Puan...
    Saya kurang memahami bahagian ini (ayat pertama perenggan akhir):
    "Perkahwinan kami bermula pada 29 Julai 1989 dan berakhir pada 30 Julai 1989..."

    Harap ia bermaksud "Majlis Perkahwinan"

    AKS

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum AKS,

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Salam Kak Roza,
    Tak sabar nak tunggu buku ini terbit..
    Sangat menarik


    Azura

    ReplyDelete
  4. Salam Roza,

    Entry ini mengembalikan nostalgia 24 tahun yg lalu. Semasa dinikahkan pada 19 Sept 1985, saya baru 23 thn, sedang buat Dip Ed... belum lagi sempat berbakti kepada orang tua... tp jodoh tiba awal, Sedangkan waktu itu ramai teman sekuliah masih enjoy dng dunia 'remaja' mereka... tahun berikutnya, saya menimang cahaya mata sulung... syukur dengan apa yang dilalui...

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum Kak Roza,

    Saya masih kecil lagi ketika arwah Abah pulang ke Rahmatullah, banyak kenangan bersama arwah Abah, kalau Mak memarahi saya, arwah Abahlah yang akan memujuk..

    Bila Abah meninggal dunia, tiada lagi rajuk hati, kerana kasihan melihat Mak bertungkus lumus mencari rezeki membesarkan kami..

    Terasa sayu membaca entri kali ini...

    ReplyDelete
  6. Assalamu'alaikum,

    Selamat Tahun Baru 1431 Hijriah, semoga sntiasa berbahagia dan dalam redha Allah.

    1989, saya baru darjah satu. Masih zaman kanak-kanak lagi. Semoga perkongsian pengalaman hidup Puan dapan menjadi panduan buat saya dan generasi depan.

    Al-Fatihah buat Tok Kamal. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang mendapat rahmat dan kasih sayang Allah.

    ReplyDelete
  7. Salam Maal Hijrah

    Saya teringat Prof MKI juga pernah menulis berhubung Akad Nikah yang berlangsung selama 2 hari... saya tinggalkan komen

    hari ni sekali lagi saya baca entry Roza ... saya terpanggil untuk tinggalkan komen kerana saya juga mengalami yang serupa bilamana majlis akad nikah saya juga bermula menjelang tengahmalam dan selesai esoknya... selama ini saya jarang berkongsi peristiwa ini kerana selalu ingatkan saya seorang sahaja mengalaminya dan susah org nak faham kenapa tok imam datang terlalu lewat...

    cm

    ReplyDelete
  8. “Abah minta izin hendak nikahkan awak. Awak setuju?,” lembut abah bertanya.

    “Setuju!”

    hahaha kelakar pun ada... apa-apa pun saya ucapkan semoga berbahagia kekal hingga ke akhir hayat...

    salam maal hijrah

    ReplyDelete
  9. salam maal hijrah

    sebak...

    ReplyDelete
  10. Azif dan sepupu semua (yang sebaya)seronok sebab tok kadi (Atok Kamal/ ayah kepada Raha Kamal) lambat datang masa tu..sebabnya kami semua dapat berseronok dan bermain sampai lewat malam..syoknya jadi budak-budak masa tu..

    fm:adikmuRSRBR7

    ReplyDelete
  11. assalamualaikum puan...
    sy suggest kan ape kata puan selitkan sekeping dua gmbr perkahwinan puan kat entry nie...hhehehehe.,...nak gak tgk gambar kenagan puan masa muda muda dl

    ReplyDelete
  12. Hmm... kenapa terlalu lewat abah Kak Roza minta izin menikahkan? :) Saya ingatkan abah Kak Roza yang nak jadi juru nikahnya... (bukan Tok Imam). Silap faham..

    ReplyDelete
  13. Yuk Merapat Best Betting Online Hanya Di AREATOTO
    Dalam 1 Userid Dapat Bermain Semua Permainan
    Yang Ada :
    TARUHAN BOLA - LIVE CASINO - SABUNG AYAM - TOGEL ONLINE ( Tanpa Batas Invest )
    Sekedar Nonton Bola ,
    Jika Tidak Pasang Taruhan , Mana Seru , Pasangkan Taruhan Anda Di areatoto
    Minimal Deposit Rp 20.000 Dan Withdraw Rp.50.000
    Proses Deposit Dan Withdraw ( EXPRES ) Super Cepat
    Anda Akan Di Layani Dengan Customer Service Yang Ramah
    Website Online 24Jam/Setiap Hariny

    ReplyDelete