Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, January 22, 2010

Di bumi Scotland


Di bumi Scotland.

Pesawat yang kami naiki berangkat agak lewat.Hampir tengah malam. Tempat duduk kami dikhaskan di bahagian hadapan. Menghadap dinding. Di atasnya tersangkut sebuah skrin TV yang besar. Suami memohon sebuah baby court untuk Azrai agar dapat tidur dengan lebih selesa bagi perjalanan yang panjang.

Seorang pramugari datang ke arah saya dan menerangkan cara-cara pengunaan alatan keselamatan ketika bersama bayi. Kemudian beliau menawarkan untuk menyediakan dua botol susu suam untuk anak-anak. Saya menerima tawaran dengan membalas senyumannya yang menawan.

Selain daripada dua buah botol susu suam, beliau juga membekalkan lampin pakai buang untuk mereka. Segera saya baringkan mereka seorang demi seorang di atas tempat duduk dan menukarkan dengan lampin yang baru. Ya, perjalanan akan memakan masa lebih daripada 10 jam.

Saya basahkan sedikit di hujung tuala muka dengan air mineral, dan mengelap mereka di bahagian tengkuk dan muka. Saya basahkan juga sedikit di bahagian kepala. Menyalinkan pakaian mereka kepada yang lebih selesa. Saya letakkan Azrai kembali di atas baby court. Memberikan susu suam dan menyelimutkannya. Anak kecil itu tersenyum puas.


“Azrai tidur dulu ya. Mama, ada di sini..”
Kemudian saya uruskan persiapan untuk Sara pula. Tiada banyak kerenah. Barangkali mereka juga keletihan. Saya pangku kepala Sara di atas riba. Memberikan susu suam dan menyelimutkannya. Susu suam segera habis dan mereka terlena. Botol susu terlepas daripada tangan mereka.

Apabila Sebaik sahaja pesawat memulakan perjalanan dan lampu-lampu dinyalakan. Tiba-tiba terdengar dengkuran yang kuat lagi bergema-gema;



Kroghhhhh..kroghhh..!
Ya Allah, satu dengkuran kuat yang datangnya dari suami. Tidak menyangka apabila tidur di dalam keadaan duduk begitu bunyi bergema-gema. Patutlah seorang penumpang yang duduk di kerusi hujung sebelah suami bertukar orang bersilih ganti. Barangkali mereka adalah pelajar yang pulang semula untuk menyambung pelajaraan setelah balik bercuti.



“Yang, yang…bangun”

Saya mengejutkan suami apabila lampu dinyalakan semula setelah beberpa jam perjalanan. Kemudian pramugara serta pramugari datang memyediakan kami makanan. Walau di dalam keadaan mengantuk dan keletihan, kami makan juga dengan berselera.

Entah berapa lama, tidur dan bangun. Akhirnya pesawat kami mendarat di Lapangan Terbang Heathrow, London. Kami singgah sebentar untuk menukar penerbangan ke Scotland. Dari London ke Scotland, kami menaiki British Airline.

Hati kami berbunga-bunga apabila pilot mengumumkan bahawa pesawat akan mendarat di lapangan terbang di Edinburg, Scotland. Saya kira, kamilah penumpang yang kelihatan paling kelam kabut rupanya. Dendan dua orang anak kecil, dengan beg baju dan lampin serta bekalan makanan kiriman Kak Dah.

Sebaik sahaja pesawat mendarat dan kami mencecahkan kaki buat pertama kali ke bumi Scotland, ingin rasanya sujud syukur kepada Allah. Sujud rebah. Bimbang pula apabila perasaannya seperti seluruh mata memandang ke arah kami.


“Ahhh…sejuk. Segarrrrr”

Suami sengaja mengeluarkan kata-kata dan melakukan sedikit pergerakan seperti senaman. Sebenarnya kami bergembira kerana apabila sebaik sahaja perkataan keluar, ia disertai dengan kepulan asap-asap yang keluar dari mulut!


Dari Edinburgh kami menaiki teksi menuju ke Dundee. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu hingga dua jam. Di sepanjang perjalanan kami kagum dengan kehijauan padang rumput yang luas terbentang. Di celah-celahnya terdapat sekumpulan biri-biri yang sedang asyik meragut rumputnya yang segar.



Kami sampai betul-betul di depan univeristi yang tertulis UNIVERSITY OF DUNDEE, SCOTLAND. Motonya berbunyi ,”Most probably the best university in the world”. Seorang pegawai perhubungan siswa melayani suami dengan ramah mesra. Tidak sampai setengah jam kemudian, mereka membawa kami ke sebuah kawasan apartment berhampiran. Mungkin mengambil masa lima hingga sepuluh minit perjalanan ke kawasan universiti jika berjalan kaki.

“This is your apartment. Welcome to Roseangle!”

Kereta berhenti betul-betul di depan bangunan berpagar batu. Pagar tersebut dibelit oleh sejenis tumbuhan ivy yang menjalar. Di laman itu juga terdapat pokok-pokok bunga English ros,pokok rasberi liar dan sejenis tumbuhan seperti rubarb. Terdapat sebuah lorong berpagar di bentukan dari barisan tumbuh-tumbuhan menuju ke tangga. Saya letakkan Sara dan Azrai betul-betul di depan lorong itu. Tiba-tiba Azrai meluncur berjalan ke arah tangga.

Mahasuci Allah! Azrai memulakan langkahnya yang pertama!



4 comments:

  1. jgn lupa cerita pasal kete bmw...:)

    ReplyDelete
  2. terrernya Azrai, simpan langkah utk meresmikan Scotland stay!

    ReplyDelete
  3. seronok baca entri Kak Roza dan Prof. Kedua-dua menulis tentang pengalaman di UK tapi Prof menulis apa yang berlaku sekarang manakala Kak Roza pula mengimbas masa lalu. :) Keep it up!

    ReplyDelete
  4. memang tak jemu, teruskan bercerita... tq.

    ReplyDelete