Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Tuesday, January 12, 2010

Ipar Duai


Sehari selepas bersalin, doktor membenarkan saya pulang. Sehari sebelum umat islam menyambut Aidil Adha. Suami segera menghantar saya pulang berpantang ke rumah mak dan abah di kampung. Beberapa hari kemudian, ayah dan wan datang. Mereka datang dengan menaiki bas ekspress dari Besut ke Segamat. Bersama mereka adalah tiga orang adik-adik perempuan suami yang masih lagi bersekolah rendah.

Semasa kelahiran Sara, wan dan ayah juga datang berziarah beberapa malam. Ketika bayi, kedua-kedua kaki Sara kelihatan beruas-ruas dan pingkar akibat terbelit tali pusat. Dari jauh saya perihatikan, wan mengurut perlahan-lahan cucu perempuan pertama dari anak lelakinya.


"InsyaAlah, boleh lurus kaki ni.."
Jelas sekali wan menyembunyikan resah di hati.

Jika mak sibuk menyediakan makanan di dapur, wan akan menguruskan keperluan bayi yang baru lahir. Begitulah akrabnya hubungan kekeluargaan di antara kami. Malahan apabila berkumpul, kemesraan kami ibarat sebuah keluarga yang besar. Di masa yang lain, jika ipar duai berada di sekitar Segamat atau Melaka, mereka akan bermalam di rumah mak dan abah walaupun tanpa kehadiran kami di kampung.

Ketika melahirkan Azrai, anak sulung kami belum pandai berjalan. Sara masih merangkak dan sering merenggek meminta di dukung ketika saya di dalam pantang. Lalu, mak menjaga Azrai sementara saya memberikan perhatian kepada Sara.

Alhamdulillah, ketika itu rezeki kami semakin bertambah. Suami diberikan kepercayaan memegang jawatan koordinator Program Jarak Jauh. Untuk itu, ada kalanya beliau terpaksa pergi bekerja di luar kawasan selama hampir seminggu.

Saya pula telah mula bekerja. Biasanya kami akan menghantar anak-anak dan meletakkan di bawah penjagaan seorang kakak yang tinggal di rumah kuarters Keretapi Tanah Melayu di Subang Jaya. Suami Kakak tersebut adalah seorang pegawai di sana

Wan amat perihatin terhadap kesulitan kami. Beliau datang untuk menghulurkan bantuan dengan menjaga cucu-cucu yang masih kecil. Walhal, anak-anak yang masih bersekolah dan cucu di Besut juga memerlukannya. Sehari kemudian, wan membawa Azrai untuk dibawa pulang ke Besut. Sebelum bertolak pergi keluar kawasan, suami membelikan tiket kapal terbang untuk mempercepat dan memudahkankan perjalanan wan.

Seminggu kemudian, wan datang semula untuk memulangkan Azrai. Beliau di hantar oleh anak sulung wan, Kak Yah bersama keluarga. Bersama mereka, adalah seorang pengasuh anak yang dicarikan oleh Kak Yah untuk kami.

Mahasuci Allah! Yang menguasi kejadian langit dan bumi. Yang menegakkan gunung, yang meninggikan langit dan menghamparkan bumi di atasnya. Setiap helaian daun yang gugur walaupun di tengah malam yang gelap pekat, diketahui oleh-Nya.

Keluarga mertua serta ipar duai yang berhati mulia adalah nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya yang tidak terhingga. Lalu, apakah saya tidak lagi melihat kebesaran-Nya?

5 comments:

  1. Assalamualaikum Puan Roza,semuga Puan sekeluarga dirahmati Allah selalu hendaknya.Begitulahlah pemberian Allah terhadap hamba hambanya yang selalu bersyukur.Sebagai membalas budi terhadap yang telah tiada sedekahlah ayat ayat suci Allah setiap malam.ltulah sahaja yang dapat kita berikan untuk melepaskan rindu yang tidak pernah padam. Saya berdoa semuga mereka berada ditempat yang tertinggi di sisi Allah Rabbul Alamin.Wassalam. Salam hormat dari Dilla.

    ReplyDelete
  2. Salam, syukur kepada ALLAh.
    kak ha

    ReplyDelete
  3. Salam Puan Roza, saya percaya baik perbuatan kita baiklah balasannya, begitu jugaklah sebaliknya. Saya juga mempunyai mertua yang sangat baik, tapi semuanya hanya tinggal kenangan kerana dia telah pergi buat selama-lamanya.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum,

    Al-Fatihah untuk semua mak dan bapa mertua yang telah meninggalkan kita untuk bertemu dengan-Nya.

    Tiada yang kekal abadi kecuali Dia.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum

    Terkenang mak mertua sendiri, sudah hampir 2 bulan tidak menjengoknya.



    Kak wati

    ReplyDelete