Mengenangkannya sahaja sudah cukup membuatkan kami kesejukan. Lalu, kami mencuba-cuba pakaian panas yang ada. Terasa panas hingga ke atas kepala, lantas, kami tanggalkan dengan segera. Riang ria.
Ketika berangkat ke lapangan terbang, saya memakai jeans dan sehelai sweater yang agak tebal. Anak-anak juga awal-awal lagi saya sudah ikatkan baju panas di pinggang mereka. Sementara suami memakai sepasang suit. Layaknya untuk orang-orang ke luar negara. Azrai saya kelek di pinggang. Sara dipimpin tangan. Melihat suasana tempat baru, mereka meronta-ronta minta untuk dilepaskan dari kawalan.
Seluruh keluarga, adik beradik, rakan taulan termasuk Kak Dah [pengasuh Sara] sekeluarga menghantar kami di lapangan terbang. Kak Dah membekalkan kami nasi impit dan rendang.
“Makan apabila sampai disana. Sementara belum berjumpa makanan”
Saya mengucapkan terima kasih walaupun terlintas sedikit perasaan untuk menolaknya kerana sudah tidak cukup tangan. Melihat keikhlasan mereka, saya sambut juga dengan hati terdapat sedikit keberatan.
Hampir pukul 11.00 malam, panggilan untuk penerbangan kami diumumkan. Lega! Kerana saya benar-benar kepanasan dan keletihan. Letih sejak beberapa hari kerana mengemas barangan untuk di bawa pergi. Letih menguruskan anak-anak yang sentiasa meronta-ronta untuk dilepaskan. Letih melayan rakan-rakan yang ikhlas menghantar kami hingga ke lapangan terbang.
Sebelum berangkat, kami bersalaman dengan semua yang hadir. Berbagai nasihat yang dibekalkan. Abah mengajarkan beberapa ayat al-Quraan untuk diamalkan semasa di rantau orang.
“Abah, cuba tulis sikit di atas kertas. Saya tak ingat kalau cakap-cakap macam tu”
Lalu, abah menulis ayat-ayat Quraan itu di atas kertas sebagaimana di minta oleh suami.
“Baca Ayat Kursi dan ayat seribu dinar banyak-banyak, Mil,”
Pesan abah berkali-kali. Suami tersenyum. Mengangguk-angguk berkali-kali. Barangkali dia memang tahu dan sudah menghafal ayat itu. Suami memandang saya, perlahan dia bertanya
“Awak tahu baca ayat kursi dan seribu dinar?”
Saya angguk.
“OK. Kalau macam tu tak apa..awak baca. Ingat pesan abah”
Saya angguk.
Masanya telah tiba untuk kami berangkat dan berpisah. Setelah bersalaman dengan semua yang ada, lantas saya memeluk mak. Saya membayangkan kalaulah pemergiaan ini merupakan kali terakhir saya menatap wajah mereka, maka itulah pelukan terakhir saya.
“Mak..Ampunkan segala dosa-dosa saya. Mohon dihalalkan makan dan minum sepanjang mak membesarkan saya. Halalkan air susu ketika mak menyusukan saya. Maafkan, saya masih belum dapat membalas jasa baik mak dan abah. Masih tiada lagi kejayaan yang boleh dibanggakan”
Ingin sekali saya nyatakan begitu. Namun walau sudah berumahtangga, bait-baik perkataan seperti itu hanya tersekat di dalam dada. Terkunci di hati. Ia tidak terlafazkan oleh kata-kata. Kami menangis perlahan sambil berpelukan.
Kemudian, saya di dakap oleh abah. Ada sedu diwajahnya walaupun tanpa air mata. Mata dan wajah abah sayu menatap wajah saya. Saya kira tatapannya seolah-olah adalah tatapannya yang terakhir. Dia memandang wajah saya seolah-olah tidak akan dapat memandang saya lagi.
“Mohon maaf abah. Abah menghantar saya ke luar negara kerana menumpang tuah suami…”
Itu sahaja yang sempat saya lafazkan. Selebihnya disudahkan dengan air mata. Selamat tinggal semua. Sesungguhnya Allah itu benar-benar mengkabulkan permintaan hamba-Nya. Lintasan hati seorang murid kampung yang bercita-cita tinggi untuk ke luar negara. Tetapi tahu kekurangan diri, lalu berdoa agar Allah menemukan jodoh yang dapat membawanya ke sana!
Mahasuci Allah! Yang penuh dengan kelembutan dan kasih sayang.
Assalamualaikum
ReplyDelete'Tangkap leleh' pulak baca cerita Roza.
Selamat bercuti-cuti di London.
Kak wati
Kak roza,
ReplyDeleteSaya pun macam kak roza jugak ...teringin nak belajar kat luar negara...tapi tak dapat. Tak pernah terlintas nak berdoa pun ikut suami belajar ke luar negara macam kak roza:) Agaknya sebab tu tak der peluang ke luar negeri...agaknya kena berdoa..suami dapat kerja kat luar negeri kot...barula dapat pi luar negeri..semoga diberkati Allah sentiasa
Salam puan roza, sedih n3 kali ni...
ReplyDelete