Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, January 8, 2010

Selamat Tinggal kawan

Di celah kegembiraan mempunyai anak dan suami, namun kadang-kadang terselit perasaan cemburu di dalam hati. Cemburu apabila sesekali terserempak dengan rakan sekampus dahulu yang masih bujang berkumpul di pusat membeli belah. Mereka bergembira makan di restoran makanan segera bersama rakan-rakan. Sedangkan saya ketika itu sedang sibuk menyorong kereta tolak anak menuju ke arah pasaraya untuk membeli lampin pakai buangnya.

Sesekala suami membenarkan saya menyertai mereka. Berkumpul bersama mereka, terasa sekali diri jauh lebih dewasa. Terasa seperti setiap ungkapan perkataan yang terkeluar dari bibir mereka seperti kebudak-budakan sahaja. Apabila bercakap sedikit tentang perkara yang remeh temeh sahaja sudah boleh membuatkan mereka tertawa. Pada pandangan mata saya mereka kelihatan mempunyai kebebasan diri dan masing-masing mempunyai gaya tersendiri.

Saya? Setiap sen yang diterima, saya harus mengenepikan sedikit untuk mak dan abah, untuk rumah, untuk anak dan amat sedikit sekali bahagian untuk diri sendiri. Jika teringin sekali pun membeli sesuatu untuk menghadiahkan kepada diri sendiri, saya akan berfikir berkali-kali.

“Ya Allah. Adakah ini suatu keperluan? Adakah ia terlalu penting sehingga saya mesti memilikinya?

“Beli sahaja kalau awak dah suka. Jika tidak, awak langsung tidak akan membelinya”

“Tak apalah .. Saya dah lari bajet untuk bulan ini”

Selalunya suamilah akhirnya yang akan membelikan keperluan itu untuk saya. Terutamanya apabila beliau melihat keadaan saya yang sering teragak-agak untuk membuat keputusan. Saya bahagia dengan kehidupan baru. Walaupun, ada masa-masa tertentu teringin sekali menikmati zaman seperti remaja lain yang sudah bekerja.

Di hujung bulan, sebahagian gaji yang di terima mereka boleh membeli pakaian, alatan kecantikan, beg atau kasut bersama rakan-rakan di gedung-gedung membeli belah. Alangkah seronoknya dapat membeli segala keperluan untuk diri sendiri tanpa memerlukan pendapat sesiapa. Keputusan di dalam tangan kita.

Di kalangan rakan-rakan sekampus dahulu, ada antara mereka yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda. Gaya percakapan mereka adalah berkisar dengan pengajian dan cerita kampus sahaja. Sehingga saya terdiam. Lansung tidak sanggup mencelah. Tiada apa yang perlu diceritakan. Terasa diri terlontar jauh dari topik semasa. Kerdil dan tidak berilmu. Dunia saya sudah jauh dari mereka!

Selamat tinggal kawan. Biar saya pergi melalui lorong saya sendiri. Di antara kita sudah tiada persamaan lagi. Saya bukan lagi saya yang dahulu. Allah telah menetapkan saya untuk memikul sebuah amanah terlebih awal berbanding dengan rakan sekelian - sebagai isteri, ibu, anak dan pekerja. Amanah itu samada suka atau tidak ia telah terpahat malah tergantung di atas bahu saya!

Perasaan seorang ibu muda sentiasa berombak-ombak, ada turun naiknya. Seronok apabila melihat keletah anak yang semakin comel. Mengalir perasaan keibuan apabila melihat anak merenggek manja ingin sentiasa di peluk di dalam pangkuan. Kepenatan apabila segala urusan rumahtangga, penjagaan anak dan juga terpaksa bekerja untuk menampung kehidupan berkeluarga. Keletihan malah merasa tertekan terutama apabila terpaksa bekerja sedangkan anak sakit dan ditinggalkan di bawah pengawasan penjaga. Malam, anak menangis serta merenggek sepanjang malam. Esok, masih perlu pergi bekerja.

Itulah saat-saatnya saya paling menyesali diri. Berumahtangga dan menjadi ibu di dalam usia yang muda. Sedangkan rakan-rakan yang lain sedang bebas dan bergembira menikmati dunia remaja. Namun, di dalam gelodak perasaan yang memberontak di dalam hati. Saya harus terus mengharunginya kerana itu adalah pilihan saya. Hidup perlu diteruskan. Saya tidak perlu menoleh ke belakang.

Suatu hari, diri merasa sangat lesu, mual, pening lalat dan muntah-muntah di pagi hari. Saya fikir semuanya berpunca kerana kurang tidur. Sara, hanya akan tidur di atas ribaan. Di dalam posisi saya duduk bersila. Ia memaksa saya berjaga malam. Di dalam kemelut perasaan remaja dan ibu muda, saya dikejutkan dengan satu perkhabaran.

“Ini semua salah awak. Isteri awak positf hamil anak ke dua!”

Seorang doktor berbangsa India menyampaikan berita dengan menepuk dahi sambil menunding jari ke arah suami saya. Hairan bercampur gelihati. Perilaku doktor tersebut seolah-olah menyalahkan suami. Barangkali beliau ingin menunjukkan simpati kerana Sara masih lagi seorang bayi.

Langit bagaikan runtuh di atas kepala saya. Suami memeluk erat bahu untuk menenangkan diri. Di atas pangkuannya Sara merenggek-renggek manja. Baru sahaja 6 bulan usianya. Ini bermakna apabila Sara beradik nanti, usianya baru mencecah setahun dua bulan sahaja. Sudah pandaikan dia berjalan nanti? Atau masih merangkak lagi?

11 comments:

  1. Salam puan roza, kelakarlah doktor tu, salahkan suami pulak ek hehe.. saya anak nombor 2 baru 7 bulan dah menggandung lagi, kesihan si angah tak boleh nak manja lebih hehehe...

    ReplyDelete
  2. saya suka cerita kak roza kali ini.. sgt suka..
    kenangan lama mengukir kembali.

    ReplyDelete
  3. salam puan...

    saya tak tahu nak panggil puan @ makcik @ kakak...

    saya dah lama mengikuti blog puan ni, dan secara tak langsung semua cerita2 dalam ini menjadi sumber inspirasi saya...

    sebelum ini tak mempunyai kesempatan nak tinggalkan komen..

    saya sentiasa harapkan puan sentiasa menulis...

    bila buku travelog cinta da keluar, puan infrom la di blog ini..

    ReplyDelete
  4. lupa nak cakap...

    terima kasih puan...=D

    ReplyDelete
  5. Salam Roza....

    Alhamdulillah zuriat tu rezeki...heheh

    Cerita ini mengingatkan saya..kenangan yang telah berlalu...ada persamaan...kini anak saya yang sulong sudah masuk asrama tingkatan 1, yang kedua akan ambik UPSR 2010...heheh yang ke tiga masuk darjah 4, dan yang ke empat tadika 6 tahun....fasa hidup saya tersebut telah berlalu...nikmatilah hidup kita seadanya...itulah anugerah Allah pada kita...bersyukur dan berbahagialah...

    P/s: Ajzie....salam....lama kita tak bersapa di alam maya akhirnya bertemu di sini....

    ReplyDelete
  6. salam sahmi
    gembira saya dapat bertemu awak kembali..

    p.s
    maaf kak roza.. tumpang berbual dsini.

    ReplyDelete
  7. salam puan,

    cerita puan pd kali ini mengingatkan saya pada ibu saya...mengikatkan pada kisah ibu zaman dulu2...anak2 masih kecil...selepas itu sebuk menyekolahkan anak2..keutamaan semuanya diberikan pada anak2...sukar untuk melihat mereka membeli keperluan (baju/kasut/hand bag) untuk diri sendiri..ada ketika raya pon tak bertukar baju..itulah baju kerja..itu lah juga baju raya...sejak saya sekolah menengah, saya selalu berdoa, semoga saya dapat menyumbang bakti kepada mereka..membantu mereka dr segi kewangan & keperluan...alhamdulillah, Allah telah memperkenankan doa saya itu..semoga ...

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum,

    Salam ukhwah.

    Yang pahit ketika itu sangat manis bila dikenangan kembali.

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum

    Lain orang lain cara Allah mengujinya.
    Roza dapat anak cepat dan rapat.
    Macam akak lepas 4 tahun kahwin baru dapat anak. Macam-macam dikata, disindir dan diketawakan.

    Tapi itu semua dah berlalu. manis pulak bila di kenang. Apa-apa pun syukur sangat dengan nikmat Allah.

    kak wati

    ReplyDelete
  10. Salam puan...

    pada masa itu.. perasaan kita bersimpang siur.. tapi bila anak-anak telah besar.. dan kita masih kuat (muda.. hehee) untuk membimbing.. kita rasa sangat bersyukur kerana melaluinya lebih awal.. apatah lagi.. bila melihat anak-anak kita telah meningkat dewasa.. tapi rakan-rakan sekeliling masih berbicara tentang lampin pakai buang..

    anis

    ReplyDelete
  11. seri said..

    kalo pn rasa kerdil bdamping dgn kwn2 yg yg melanjutkan pelajran bcerita hal kampus..saya percaya mereka akan melaluinya semasa mula bkerja, bila ofismate sibuk nak bcerita pasal keletah anak.

    Lantas saya percaya “kita melepaskan sesuatu utk mendapatkan sesuatu”…seperti pn melepaskan zaman muda beseronok membeli barang sendiri tetapi pn ada suami dan anak.

    Pertama skali maafkan saya juga dgn teguran ini…untuk ibu muda yg tengah menjalani kehidupan amik cerita pn sebagai pengalaman dan pengajaran hidup.bangga lah dgn khidupan bkeluarga anda.tetapi jgn sampai memperkecilkan kawan yg blum berkahwin.
    Utk pelajar yg melanjutkan pngajian ke peringkat sarjana kalo kluar dgn kawan yg sudah brumahtangga seperti pengalaman pn, cuba sesuaikan diri cari topic yg semua bleh cakap, jgn sampai kawan tu terdiam tak terkata nak menyampuk…kesian dia...hidup ini indah tpi tindakan kita tak semudah yg diucapkan.

    ReplyDelete