Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, January 13, 2010

Kerana Malu

Tahun ke tiga perkahwinan.

Saya merasa sangat malu dengan syarikat yang menawarkan saya bekerja selepas mengandungkan anak ke dua. Pada pandangan saya, prestasi kerja pasti semakin kelihatan berkurangan kerana hampir setiap tahun saya mengandung. Mana tidaknya, setahun yang lalu saya mengandung, tahun berikutnya ketika anak belumpun cukup setahun saya sudah mengandung lagi!

Tidak hairanlah apabila syarikat mengadakan majlis makan malam tahunan di mana semua peringkat pekerja di seluruh Malaysia berhimpun, ada yang terkejut lantas berkata:

"Hei..bukan kah awak mengandung tahun lepas?”

“Waaaa..Tenguk sini kawan, ini memang suka mengandung punya perempuan..he..he”

“Untung lah..tiap-tiap tahun boleh cuti tiga bulan ..hah..ha..”

Perut saya yang semakin membusung menjadi bahan usikan rakan. Terhiris benar hati di sebalik bibir menguntum senyuman. Biasanya saya tahan dengan lawak bodoh rakan-rakan yang sesekali berjumpa. Namun, ketika mengandungkan anak kedua, saya merasakan gurauan itu agak melampau. Saya terlalu sensitif sekali. Terluka hati!

Lalu, selepas beberapa bulan melahirkan anak ke dua, saya bernekad untuk mencari pekerjaan di tempat baru. Walau di sudut hati memang mengakui bahawa saya gembira dan mulai selesa dengan suasana di tempat kerja yang sediada.


Saa menyatakan keinginan kepada suami. Walaupun tahu suami kesempitan sumber kewangan, namun beliau langsung tidak membantah. Beliau sentiasa positif dengan apa jua keputusan yang di buat oleh saya.
Saya percaya sumber rezeki itu di tangan Allah. Setiap seorang anak Adam telah diberikan jaminan dan menetapkan rezekinya. Apabila Allah menetapkannya, tidak seorang pun dapat menghalang walau bagaimanapun usahanya. Saya percaya penuh dengan kekuasaan-Nya.


“..dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah [dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya], nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar [dari segala perkara yang menyusahkannya]. Serta memberikannya rezeki dari jalanyang tidak terlintas dihatinya. Dan [ingatlah], sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya [ untuk menolong dan menyelamatkannya].

Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. [Surah At Talaaq: 2-3]

Lalu saya menghantar notis untuk berhenti kerja. Encik Kamal, orang yang bertanggungjawab menawarkan pekerjaan yang juga majikan saya, merasa sangat hairan dan beliau tertanya-tanya. Semasa di dalam Exit interview saya di soal :
You tahu tak, kebanyakan staf di sini bekerja lebih daripada 10 tahun lamanya. Mereka bekerja sampai pencen. Ada apa-apa perkara yang I tidak tahu? Kenapa hendak mencari kerja di tempat lain? I dah rancang career path untuk you. Syarikat ini ada succession plan

“Ya Allah. Terima kasih Encik Kamal kerana memberi peluang kepada saya untuk bekerja di sini. Saya sangat bersyukur. Namun, keselesaan membuatkan saya rasa tidak ada peningkatan diri. Tiada cabaran. Saya ingin mencabar minda dan mencari
pengalaman bekerja di luar sana”

Lalu, Encik Kamal menghormati keputusan yang dibuat. Beliau bersetuju untuk melepaskan saya pergi mencari pengalaman diri. Sebelum pergi mereka mengadakan majlis perpisahan. Sukar untuk dipercayai mengapa keputusan itu saya lakukan tanpa sebab yang kuat.
Bersama hadiah, syarikat menyampaikan sekeping surat penghargaan untuk dijadikan rujukan kepada majikan baru yang akan mengambil saya bekerja.

“Awak seorang pekerja yang bagus dan boleh menjadi aset kepada mana-mana organisasi. Datanglah bekerja semula di sini jika di luar sana tiada syarikat mahu menerima. ”

Kata-kata ketua nombor satu itu amat menyentuh hati. Ia seperti suatu lontaran boomerang yang saya lemparkan lantas ia berpatah balik. Kayu boomerang itu tidak sempat di sambut, lalu ia melantun terkena batang hidung sendiri. Sakit!

Di dalam diam saya mendoakan kesejahteraan kepada seluruh warga syarikat yang telah banyak merubah kehidupan saya. Di dalam kereta semasa perjalanan pulang, saya menoleh seketika ke belakang. Menghayati setiap huruf papan tandanama yang tertera megah di atas bangunan - The Boots Company (Far East) Pte.Ltd Malaysia.


“Selamat tinggal kawan. Biar saya mencari ketentuan tuhan. Entah apakah yang ada di hadapan sana. Dia lebih mengetahui apa yang tidak saya ketahui”

4 comments:

  1. Assalamualaikum

    Rezeki ada di mana2.
    Tapi akak sendiri dah hampir 18 tahun ditempat kerja sekarang. Tak de confident nak pergi mana-mana lagi. Takut.


    Kak wati

    ReplyDelete
  2. Salam Roza, saya jadi semakin tidak sabar untuk menanti kemunculan 'buah tangan' Roza di pasaran...

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,

    Terima kasih kerana sabar menunggu..

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum,

    Terima kasih Kak Roza.Saya bersyukur kerana dalam situasi saya sering tercari-carikan jawapan bagi persoalan hidup yang timbul, saya sering ketemu jawapan itu di laman ini. Adakah ia kebetulan atau petunjuk dari Allah?

    Terima kasih sekali lagi atas perkongsian. Saya berharap dapat menjadi editor bagi manuskrip pertama Kak Roza walaupun pada masa itu saya sudah menceburi kerjaya lain. Susun atur ayat sangat terkesan. Tidak banyak kesalahan tatabahasa kecuali pada beberapa tempat. Mudahlah kerja saya nanti, insya-Allah. :)

    ReplyDelete