Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, January 18, 2010

Ke bumi Scotland

Ke bumi Scotland.

Malam itu hampir seluruh keluarga menghantar kami di Lapangan Terbang Subang. Mak, abah dan adik beradik telah berada sehari sebelum kami berangkat.
"Hendak datang tidur di rumah? Boleh sahaja. Kecil tapak tangan"
Mereka bersesak-sesak tidur di rumah kami di Subang Jaya. Rumah sewa tersebut kami tinggalkan dengan segala perabut di dalamnya. Nanti, ia akan diduduki pula oleh adik lelaki suami yang telah bekerja di Kuala Lumpur serta seorang lagi rakan serumahnya.

Petang sebelum berangkat, suami menyemak sekali lagi barangan yang akan di bawa. Jangan sampai ada yang tertinggal. Kami membawa tiga beg kesemuanya. Sebuah beg besar dikhaskan untuk keperluan makanan. Kata kawan-kawan yang telah berada di luar negara, barangan keperluan Malaysia amat payah di dapati di sana.
"Jangan lupa bawa rempah kari. Susah hendak dapat di sana nanti kecuali jika kita pandai mencampurkan rempah ratus yang ada"
"Terima kasih kerana memberitahu"
"Hah! Satu lagi..ikan bilis jangan lupa. Susah kalau teringin hendak makan nasi goreng kampung nanti..he..he"
Lalu, di dalam beg besar itu segala macam bahan mentah ada di dalamnya termasuk sekilo beras, lada kering, ikan bilis, rempah kari, sedikit bawang, halia dan kunyit. Cuma kami tidak tergamak untuk membawa lesung batu walaupun ada yang menasihatkan agar membawanya satu!
"Nak bawa lesung batu juga ke? Rebeh bahu kita nanti ni.."
Sara Fateha sudah masuk usia dua tahun setengah. Manakala Azrai setahun lebih muda telah mulai berjalan jatuh. Ini bermakna jika suami menolak beg-beg besar itu nanti, saya terpaksa mengawal dua orang anak-anak yang masih kecil dan sedang nakal. Pasti letih dan kepenatan! Namun, hati di lambung perasaan keriangan.

Tidak dapat kami bayangkan bagaimanakah nanti rupanya bumi Scotland. Suami telah pun berhubung dengan rakan-rakan pelajar dari universiti yang sama sebelum berangkat pergi. Mereka berjanji akan mencari rumah sewaan untuk kami yang berhampiran dengan universiti. Jika sampai nanti, kami masih tidak mempunyai rumah, telah ada beberapa rakan yang telah berkeluarga menawarkan agar kami sekeluarga menumpang di rumah mereka.

“Ya Allah. Rezeki yang dilimpahkan datangnya dari berbagai rupa dan cara. Tidak
tercapai oleh akal fikiran manusia.”

1 comment: