Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, January 27, 2010

Nikmat menanti kepulangan


Segala-galanya indah di Dundee, Scotland.

Apartment kediaman kami berada di tingkat satu. Tingkap utamanya menghadap ke laut. Di seberang laut itu terdapat sebuah pulau di mana terletaknya kelab golf St.Andrew. Terdapat sebuah jambatan yang menghubung di antara Dundee ke St.Andrew dikenali sebagai Tay Bridge. Dari tingkap apartment kami, jambatan dan pulau itu kelihatan jelas sekali.

Hari pertama sampai, apartment itu sibuk sekali dengan para pekerja selenggara universiti. Ada yang menukar tikar getah lantai dengan mengantikannya kepada yang baru. Seorang pekerja perempuan separuh umur datang mengemop lantai dan mencuci tandas serta menghantar bantal dan cadar. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Kathy. Katanya beliau akan datang mengemas dan mencuci pada setiap minggu.

Hari itu kami sekeluarga tertidur pada pukul 5.00 petang waktu tempatan. Jika melihat jam di tangan yang masih tidak ditukarkan waktu Malaysia, masanya telah mencecah tengah malam! Puas tidur, kami sekeluarga terjaga pada pukul 2.00 pagi [10.00 pagi waktu Malaysia]

“Yang, cuba panaskan ketupat rendang yang Kak Dah bekalkan”

Di dapur apartment itu telahpun tersedia periuk, kuali, pinggan mangkuk serta keperluan asas yang lain. Ia kelihatan seperti belum digunakan. Lalu, saya panaskan makanan dengan menggunakan metod double boiling. Kami sekeluarga makan dengan penuh berselera.

Minggu-minggu pertama di Dundee, rasanya seperti pergi berbulan madu bersama keluarga. Ia seperti percutian yang panjang. Segalanya kelihatan sempurna dan cantik belaka. Pemandangannya indah. Udaranya sejuk nyaman. Penduduknya baik dan ramah. Warga tuanya berjalan bertongkat sambil berpimpin tangan sesama pasangan. Kaum lelakinya memberikan laluan dan membuka pintu untuk kaum perempuan.

Sementara menunggu suami pulang dari kuliah, saya dan anak-anak akan menjalankan berbagai aktiviti. Waktu tengahari saya akan membawa anak-anak berkelah di tepi padang berhampiran dengan rumah. Walau cahaya matahari kelihatan terik, namun udaranya yang sejuk bagaikan tidak terasa bahangnya.

Di Dundee, pertama kali tersentuh hati dengan kasih suami. Perasaan dihargai sebagai seorang isteri sejati. Terutamanya apabila melihat suami membawa balik susu dan roti untuk diberikan kepada kami yang sepanjang hari menanti. Lantas, perasaan ingin menjaga keperluan suami dan anak-anak terasa amat jelas. Perasaan itu terasa amat ikhlas.

“Yang, cuba awak rasa susu segar di sini. Lemak”

Kalau dahulu, kepenatan setelah pulang dari kerja menjadikan saya seorang perengus. Merengus di dalam hati. Terutamanya apabila suami meminta mengambilkannya segelas air sedangkan dia sibuk membaca surat khabar di hadapan kaca televisyen! Bukankah kita sama-sama baru balik dan penat bekerja?

Apabila suami terpaksa menghadiri kuliah dari pagi hingga ke petang dan tidak sempat membawa pulang bekalan makanan, beliau menyarankan agar saya keluar membelinya. Letaknya hanya beberapa meter dari apartment kediaman kami.

Lalu, tiga atau empat hari sekali saya menyorong anak-anak ke kedai untuk pergi mencari bahan makanan : susu, telur, sayur , roti dan mentega. Di dalam perjalanan pulang, selalunya saya singgah di kedai menjual ikan. Mencari ikan yang paling murah sekali : mikarel. Ikan goreng adalah makanan kegemaran suami.

Daging halal hanya terdapat di kedai kecil berhampiran musolat di jual oleh peniaga keturunan Pakistan. Kedai itu pula terletak di kawasan bukit yang paling tinggi di Dundee. Jadi, suami akan membelinya apabila pergi menunaikan solat Jumaat di sana. Ia hanya di beli dua minggu sekali.

Mahasuci Allah mengurniakan perasaan unik kepada seorang isteri sepenuh masa. Perasaan kegembiraan serta keseronokan membeli bahan keperluan dapur. Ia samasekali tidak pernah saya rasai ketika di Malaysia.

Setiap petang, saya dan anak-anak akan menunggu kepulangan suami di rumah. Saya siapkan makanan minum petang merangkap makan malam. Setiap hari ada sahaja resepi yang baru dipelajari. Saya amat teruja apabila Kathy meminjamkan buku resepi makanan tradisi rakyat Scotland. Selain suami, Kathy juga akan menjadi panel penilai untuk merasa makanan dari resepi yang baru di cuba!

Saya mandikan anak-anak agar kelihatan segar dan comel di pandang. Keseronokan menjadi isteri dan ibu sepenuh masa amat terasa. Allah memberikan saya rezeki kelapangan masa untuk bersama keluarga. Ya Allah ya Tuhanku, saya bahagia!

7 comments:

  1. kak rosa best cite mase kt dundee..doakan kte dpt rasai kenikmatan spt k.roza..

    ReplyDelete
  2. best sngt..sy pun terasa nk melancong cm tu..tp belum ad rezeki..doa2kn sy dmurahkan rezeki n dapat menikmati keindahan bumi Tuhan yang indah ni;) amin!

    ReplyDelete
  3. salam, pertama kali menjengah blog u.saya juga dalam perancangan untuk mengikut suami sambung belajar dan saya akan jadi surirumah sepenuh masa. bersemangat mendengar keikhlasan you menjaga anak-anak dan suami. tahniah. btw suami you amik master ke phd

    ReplyDelete
  4. bestnya pn.roza ada pengalaman mcm ni...bila la turn sy plak nak merasainya.. :-(

    ReplyDelete
  5. seronoknyer kak roza...bila lar saya akan dpt peluang macam ni...

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum,

    Berdoalah. Berdoalah..berdoalah.

    ReplyDelete
  7. rindu kebahagiaan sebagai seorang isteri ....

    ReplyDelete