Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Tuesday, March 24, 2009

Batu Giling


Semasa kecil, saya merupakan seorang budak perempuan yang comot, hitam dan tidak cantik. Jika budak-budak perempuan di sekolah bermain “Hendak-hendak”, tidak hairanlah tiada seorang budak lelaki pun yang hendakkan saya. Pernah juga melihat cermin muka di rumah dan terlintas di hati :

“ Mmm..tak cantik rupanya aku ni ..patutlah budak lelaki tak suka pandang pada aku..”.

Saya juga bukanlah menjadi kesukaan kakak-kakak sepupu kerana perbuatan saya yang mengheret adik-adik ke hulu dan ke hilir. Apa tah lagi saya menumpangkan adik-adik yang masih kecil di rumah mereka, ketika saya memetik dan menjual manggis. Selesai urusan, barulah saya ambil semula adik-adik saya.

Ketika seusia itu, saya sudah mula mengetahui bagaimana perasaan kecil hati, berasa hati, tersindir dan terhina serta segala perasaan dalaman. Sebak, sedih dan tersinggung. Namun, itu semua bukanlah pilihan yang saya ingini.

Cuma saya merasa sedikit tenang setelah memiliki sedikit wang di tangan. Saya tidak perlu lagi memikirkan pucuk kayu mana hendak saya tuju ketika ketiadaan lauk. Dengan wang saku yang saya miliki, saya agihkan sedikit kepada Tuti dan Ratna yang banyak membantu. Selebihnya saya boleh beli setin ikan Sardin, sekilo tepung, sedikit ikan bilis dan gula. Saya tidak mahu meminta-minta dan menyusahkan mak dan abah.

Semasa di usia itu, perasaan marah dan tidak puas hati saya begitu membuak-buak terhadap mak dan abah. Fikiran saya bermain-main dengan hasutan halus iblis yang membisikan perasaan jahat:

“Kenapalah mak dan abah membiarkan anak-anak terbiar dan membawa diri macam ni? Abahkan cikgu sekolah..tak ada duit langsung ke dia? Asyik-asyik sibuk dengan kebun dia!”

Apabila berkesempatan saya menyatakan perasaan itu kepada mak. Selalunya mak akan mengalirkan air mata dan meminta saya bersabar. Perasaan bersalah saya akan berpanjangan sehingga sehari suntuk.

Di usia itu, saya menjadi seorang budak perempuan yang tidak menentu karekternya. Ada masa saya bergembira, ada masa saya menjadi pendiam, penyedih dan selalunya saya bersikap “defensive” terutamanya apabila ada orang yang menyentuh sensitiviti mengenai mak dan abah serta adik-adik. Pendek kata, saya mulai matang dengan perasaan halus dalaman.

Suatu hari di penghujung musim buah-buahan, manggis sudah mulai mengecil saiznya. Pagi-pagi lagi saya dapati sepupu-sepupu telah memetik kesemua buah maggis dari pokok yang kecil dan rendang di kebun abah. Mereka meninggalkan pokok-pokok yang tua, besar dan tinggi kepada saya.

Dari atas pokok manggis tua itu, saya terlihat tanah perkuburan tua yang telah diwakafkan oleh nenek moyang terletak bersebelahan dusun abah. Marah dan kecewa dengan perbuatan mereka, namun saya terus juga mengagahkan diri untuk memanjatnya. Di dalam hati saya tertanya-tanya :

"Kenapa mereka memetik buah manggis dari dusun di dalam tanah abah? Bukankah mereka juga mempunyai pokok-pokok manggis di dusun ibu bapa mereka sendiri? Peliknya, kenapa pula saya di halang memetik manggis di tanah dusun mereka?"

Berbagai-bagai pertanyaan bermain di kotak fikiran di sertai oleh bisikan iblis yang menghasut. Menaikkan kemarahan. Berberapa hari keadaan tersebut berulang.

Suatu ketika, saya pernah tergelincir dari pokok yang tua dan tinggi ketika berada di dalam keadaan begitu. Astagfirullah! Ini semua mainan syaitan.

Keesokan hari dan hari-hari seterusnya, saya tinggalkan sahaja acara memanjat dan menjual manggis. Saya ingin bebas dari hasutan iblis yang melampau. Perasaan menjadi lebih tenang dan lega.

Lalu, selepas menyidai kain saya terus bertandang ke rumah Mak Wa. Saya hanya mendiamkan diri sambil memerhatikan Mak Wa yang sedang mengiling lada. Mak Wa tahu bahawa saya sedang kecewa dan bersedih.

"Hidup ini ibarat batu giling. Perlu ada alu dan alas. Kedua-duanya perlu berganding untuk mengiling lada kering ini. Air pula peranannya untuk menjadikan gilingan lada ini lebih lembut, halus, lada pula akan mudah hancur. Tengok..Allah jadikan sesuatu itu ada gunanya.."

Mak Wa bercakap berkias-kias sambil mengiling, tanpa menghiraukan samada saya mahu mengambil perhatian atau tidak.

Benar! Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Tidak ia jadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Pengajaran ada disebalik setiap kejadian!


17 comments:

  1. Pengalaman mengajar kita untuk terus menghargai nikmat Allah yang diberikan kepada kita. Seronok baca kisah pengalaman kak Roza, penuh dengan nasihat dan ikhtibar...teruskan menulis...

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum

    Puas juga mmemikirkan kiasan Mak Wa..
    Banyak yang tersirat...terlalu mendalam.
    Hingga tak tercapai dek akal ku

    Seronok membaca perjuangan seorang "Kak Ngah".

    ReplyDelete
  3. Salam Kak Roza,
    Lama saya tidak menghantar komen ke blog ini, tapi saya memang mengikuti penulisan Kak Roza. Berbeza sungguh pengalaman hidup Kak Roza dengan pengalaman hidup saya semasa kecil...sebab itu Kak Roza cepat matang dan berjiwa kental sehingga kini, insya-Allah. Besar jasa seorang kakak dalam situasi sebegini...saya terharu setiap kali membaca entri yang Kak Roza paparkan dan mengambil iktibar atas segala pengalaman dan kejadian...moga saya juga diberikan jiwa yang kental dan semangat juang yang tinggi seperti Kak Roza...insya-Allah, Allah pasti memberi balasan atas segala kebaikan walau sebesar zarah.

    ReplyDelete
  4. Indah sungguh bahasa Mak Wa.

    Batu giling ibarat Mak Dan Abah. Manakala air adalah anak2 yang turut membantu memudahkan perjalanan hidup sekeluarga.

    Betul tak Roza tafsiran saya kepada kata2 hikmat Mak Wa tu.

    dan... Roza sudah menjalankan tugas Roza. Syabas. Smoga mendapat ganjaran didunia dan Akhirat kelak.

    ReplyDelete
  5. syok baca entries k.roza. InsyaALLAH nanti boleh bukukan...

    ReplyDelete
  6. Salam Pn Roza...
    seronok kakliza membaca kisah zaman anak/remaja Puan..
    kakliza pun biasa gak dikerah menggiling cili oleh nenek akak setiap minggu mengikut giliran dengan sepupu kerana nenek akak adalah pengusaha kantin sekolah..
    masa itu memang marah..geram..tapi rupanya itulah pengalaman dan pembelajaran yg tiada nilainya...
    akhirnya sekarang mendapat hasilannya..
    rasanya anak-anak zaman le ni entah tahu atau tidak menggunaan batu giling ni...

    sungguh sayang sekali..

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum,

    Mak Wa saya kaya dengan kiasan melayu yang tersirat dan tersurat. Setiap ucapannya penuh dengan simpulan bahasa dan bidalan..Dia guru bahasa saya.

    ReplyDelete
  8. roza

    anak saya (dedel) yang berusia 5 tahun selalu berkata "sayang mama banyak nya ribu-ribu batu giling". Walaupun beliau tidak tahu apa itu batu giling dan dalam blog ini saya tunjukkan dia batu giling. Pengalaman kita semua berbeza. Itu yang mematangkan kita dan bersyukur atas nikmat yang Allah berikan. Alhamdullilah

    rezi

    ReplyDelete
  9. Pengalaman bersusah payah.... Pedih ketika melaluinya, namun manis bila mengenangkannya.. Itulah sejarah hidup yang sangat berharga, yang membina dan membentuk peribadi kita..

    Semoga umur-umur yang telah lalu dan yang akan datang diberkati Allah dan diberi ganjaran yang setimpal di akhirat sana...

    ReplyDelete
  10. Salam Puan Roza,
    mmg sukar melupai sesuatu yang pernah memberi "kemanisan" pada hati. Pengalaman lalu mungkin pedih, yang manisnya adalah hidup yang kita rasai kini. Alhamdulillah.
    Keep on writing...say abaru confess kat blog Prof kata saya peminat Roza:)

    Salam dari Penang

    ReplyDelete
  11. puan..teruskan menulis... tulisan puan menyentuh hati sy..

    ReplyDelete
  12. Salam Pn Roza...

    Membaca setiap entri tulisan puan mengundang segala macam perasaan, terharu, suka dll...kalau puan dapat terbitkan dalam bentuk cerita-cerita pendek dan dibukukan alangkah baiknya kerana pengalaman-pengalaman seumpama itu tidak semua orang akan merasainya dan ia merupakan satu nilai sentimental.

    Moga puan teruskan menulis dan sesungguhnya saya amat tertarik dengan gaya bahasa puan.

    Norfezah

    ReplyDelete
  13. Assalamualaikum,

    Berbagai-bagai perasaan sebenarnya untuk memulakan penulisan di Blog seperti ini.

    Saya ikhlas menceritakan bagaimana pengalaman anak kampung yang sentiasa berbisik-bisik kepada Allah di dalam keadaan berdiri, sedang memanjat, duduk dan berbaring. Namun, tanpa disedari lambat laun Allah menjawabnya.

    Maha suci Allah! Dia Maha mendengar.

    ReplyDelete
  14. Assalamualaikum.. Pn, main "hendak-hendak" tu macam mane ek?

    ReplyDelete
  15. Kak Ngah,
    Tak sangka Mak We yang Ayu kenali sungguh berbeza dengan yang Kak Ngah dekati.
    Jurang umur dan zaman, mungkin...:)
    Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Mak We Hajah Tijah binti Saram.
    Al-Fatihah.

    ReplyDelete
  16. Ampuni lah dosa-dosa saudara2 mu yang hidup @ yang mati. Dan halalkanlah makan & minum mereka.....AMIN

    ReplyDelete