Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, March 12, 2009

Nyior Gading

Mak kelihatan tidak sihat sepanjang di dalam pantang melahirkan Razif.

An dan Ayu ( berumur setahun dan tiga tahun), masih belum mengerti. Tuti dan Ratna masing-masing di dalam darjah tiga dan dua, banyak bergantung kepada saya. Mereka begitu kuat sekali bermain. Langsung tidak menghiraukan apa yang berlaku di rumah. Alahai! Apa lah yang boleh dilakukan oleh budak berumur lapan dan sembilan tahun jika tidak bermain?

Setiap hari bila pulang dari sekolah, saya melihat mak terbaring lesu di atas katil sambil menyusukan adik bungsu kami. Ayu dan An baring berhampiran. Di tangan masing-masing mengonggong botol susu yang separuh sejuk.

Apabila memanggil beberapa kali namun mak tidak menyahut, saya tahu mak sedang sakit. Di dapur masih lagi terdapat saki baki nasi goreng pagi tadi di bawah tudung saji. Saya tahu, sengaja mak masak lebih untuk kami mengalas perut sebelum pergi pula ke sekolah Agama di sebelah petang. Itulah makanan tengahari kami hampir setiap hari.

Di suatu hari minggu, mak langsung tidak boleh bangun. Saya melihat An dan Ayu merenggek meminta susu, namun mak langsung tidak bergerak.

" Ya Allah..mak dah tak ada ke?" hati saya berdetik.

"Kak Ngah..kita nak makan apa pagi ni? Orang lapar la..." Tuti dan Ratna pula meminta.
Saya buntu seketika. Apa yang saya tahu? Apa yang perlu saya lakukan? Lalu, saya teringat bagaimana mak memasak bubur nasi (Mak masukkan secawan beras ke dalam periuk besar dan curahkan air banyak-banyak). Saya tenggekkan periuk ke atas dapur minyak tanah. Sementara di dapur sebelahnya, saya jerang kan air.

Sementara itu, saya kutip semua botol susu adik-adik. Saya cuci bersih-bersih dan buatkan susu menggunakan air tarmus. Kemudian saya angkat adik-adik seorang demi seorang dan mandikan mereka di dalam bilik air. Saya curahkan air dari baldi yang saya angkut dari rumah Mak wa dan campurkan sedikit air panas yang di jerang tadi ke dalam besin besar. Saya masukkan mereka ke dalam besin itu.

"Ratna..tengok adik mandi." Arahan 1
"Tuti..kutip baju-baju kotor." Arahan 2
Air panas tadi saya buatkan teh dan selebihnya saya masukkan ke dalam tarmus. Kemudian saya ambil beberapa biji telur, pukul-pukul sedikit dan goreng dengan sedikit minyak. Telur tadi saya hancur-hancur kan agar kelihatan banyak. Saya letakkan makanan di atas meja. Saya ambil sedikit dan hantar ke bilik mak. Mak masih terbaring tidak bergerak-gerak, namun dengkurannya kedengaran. Saya lega mendengar dengkuran itu.

Saya angkat adik-adik keluar dari besin besar. Siapkan pakaian mereka. Saya bubuh bedak putih-putih ke muka mereka. Bagi mereka botol susu masing-masing.

"Tuti dan Ratna..pergi mandi sekarang." Arahan 3
"Mandi guna air dari besin ni ke Kak Ngah?"
"Ya..jangan membazir."
Selepas adik-adik siap berpakaian, saya suruh mereka makan bubur nasi dengan telur hancur. Ayu dan An saya suapkan ke mulut mereka. Mereka makan dengan berselera sekali. Sekejap sahaja bubur secawan beras tadi habis - tak cukup rupanya.

"Kak Ngah tak makan ke?
"Tak..dah kenyang minum teh."
"Ratna, cuci cawan lepas ni." Arahan 4
"Tuti, pergi sapu sampah di luar rumah." Arahan 5
Saya masukkan kain-kain kotor ke dalam besin besar baki air adik-adik mandi dan masukkan sabun basuh. Kain-kain kotor saya berus-berus ala kadar. Rendam seketika dan angkut air untuk bilasan. Hampir tengahari, kain siap tersidai.

Tengahari itu, saya cuba masak nasi pula. Kali ini saya masukkan tiga cawan beras. Saya tidak ingat lauk apa yang di masak, tapi seingat saya nasi yang di masak separuh rentung. Namun, adik-adik saya tidak pernah bersunggut. Mereka makan seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Saya benar-benar letih dan sayu. Sayu apabila melihat rakan sekelas melintas di rumah saya ketika pulang dari kelas tambahan (darjah 5) di sekolah. Lalu, saya menyorok di belakang sebatang nyior gading. Di situ air mata tumpah tidak terkawal. Jauh di sudut hati saya berjanji untuk belajar hingga ke menara gading.

"Ya Allah..tabahkan hati ku. Kuatkan semangatku. Berikanlah rezeki kesihatan kepada ku agar dapat aku berbakti kepada ibubapa ku. Wahai tuhan..berikan lah kasih sayangMu, rahmatMu dan berikan lah tunjuk ajar kepada ku.."
"Ya Allah..perkenankanlah."

9 comments:

  1. Assalamualaikum

    Kabur pandangan dek airmata membaca entry ini.
    Betapa besar pengorbanan Kak Ngah rupanya.

    Layak bebeno lah Roza menjadi Kak Ngah kepada adik-adik.

    Segala pengorbanan Kak Ngah terbayar apabila melihat adik-adiknya berjaya.
    Semuga Kak Ngah kepada adik-adik itu terus diberikan kebahagian dunia dan akhirat. Insya Allah


    Kak Wati

    ReplyDelete
  2. Terima Kasih kerana sudi berkongsi...

    ReplyDelete
  3. Salam, saya membaca entry ni semasa cuba nk menghilangkan rasa mengantuk semasa sedang study..perasaan sebak menyebabkan ngantuk saya hilang...
    setiap apa yg diceritakan, terbayang2 jelas di mata saya..betapa besar pengorbanan seorang kakak..(kenyang hanya dengan minum teh)...rasanya setiap pengorbanan sudah pun mendapat balasan dari Allah dengan setiap kejayaan dan kenikmatan yg Pn Roza ada sekarang. Teruskan memberi inspirasi kepada kami generasi muda...

    ReplyDelete
  4. sayu membaca catatan ini.
    Memang adik-adik tak mengerti apa-apa. Kak Long pula tiada kerana bersekolah asrama.
    Terima kasih Kak Ngah yang banyak berkorban untuk keluarga.
    Walau tidak dapat bermain dengan kawan-kawan; adik-adik dan sepupu-sepupu tetap setia menemani Kak Ngah ketika kecil, kan? Jangan bersedih ya..(eden pun sedih ni)

    ReplyDelete
  5. seorang anak yang baik ada ganjaranya dari Allah. dan sudah terbukti sekarang. smoga bahagia selalu.

    misi

    ReplyDelete
  6. entry ini memberikan saya semangat baru untuk terus tabah menghadapi apa jua ujian dari Allah. Bila baca entry Roza...saya yakin Allah tidak akan meninggalkan hamba-hambanya kecuali hambanya sendiri yang menjauhkan diri dari TUHANNYA.

    YA ALLAH SENTIASALAH ENGKAU MEMBERIKAN AKU KEKUATAN DAN PERLINDUNGAN....AMIN...

    ReplyDelete
  7. Sedihnya... Kak roza kakak yang baik dan bertanggungjawab.. Allah membalas setiap yang dilakukan dengan ikhlas. Amin. -FA

    ReplyDelete
  8. menitis air mata terkenang pengalaman hampir sama sebagai anak sulung.kini adik2 sembilan orang sudah besar belaka tapi tak semua ingat perut mereka pernah kenyang dari masakan kak long yang mula memasak seawal umur 10 tahun agar adik2 tak kelaparan.sampai kini kak long suka menjamu orang terutama adik2 dengan masakan sendiri..ikhlas tanpa harapkan pujian atau balasan.

    ReplyDelete