Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Tuesday, March 17, 2009

Pucuk Paku

Pagi itu agak sejuk dan langit kelihatan mendung. Ia seperti petanda hujan akan turun dengan lebatnya. Namun, abah dan mak tidak pernah menghiraukan apa yang berlaku. Mereka tetap akan pergi berkebun.

Selepas membuat sarapan untuk adik-adik, saya berkira-kira samada mahu membasuh kain atau tidak melihatkan keadaan seperti itu. Lalu, saya longgokkan sahaja kain-kain kotor di suatu sudut. Kemudian saya mula mengemas dan menyapu di dalam rumah. Diluar hujan mula turun mencurah-curah.

Hampir waktu untuk menyediakan makanan tengahari, namun hujan tidak juga berhenti. Saya dapati tiada apa-apa yang boleh dibuat lauk di dapur. Tiada telur, tiada sayur, tiada apa-apa yang mak tinggalkan. Di kampong ini, tiada penjual ikan yang datang berjualan dari rumah ke rumah dengan menunggang motosikal seperti di Labis.

Apa yang perlu saya masak? Saya paling takut apabila adik-adik bertanya:

“kak ngah , kita makan apa tengahari ni?

“Petang ni kita makan apa?

“Malam nanti kak Ngah masak tak?”

Pertanyaan yang menakutkan, malah merisaukan hati saya. Tak sanggup rasanya melihat renungan mata bundar adik-adik yang sentiasa mengeluh kelaparan.

“Tidak tahu kenyang ke budak-budak ni ? Ya Allah..berikah lah pertolonganMu”.

Semasa saya sedang kebingunan , tiba-tiba Kak Ros, Kak Ici dan Kak Gee (semuanya berumur lebih 19 tahun) datang ke rumah mempelawa saya memetik pucuk paku di sekitar paya. Saya terus bersetuju. Sebelum pergi saya sempat berpesan kepada Tuti dan Ratna agar jangan ke mana-mana dan tolong jaga adik-adik.

Kami meredah hujan lebat untuk ke situ.

Tidak begitu jauh, namun kami terpaksa merentas ladang getah, ladang keledek dan semak belukar. Di paya itu lah saya mengenali pokok Jakas. Ooo..patutlah kampong ini dinamakan begitu.

Saya melihat pucuk-pucuk paku yang subur, gemuk dan segar. Saya melihat mereka tidak menghiraukan bahaya meredah paya hanya untuk mendapatkan pucuk-pucuk itu untuk dijadikan lauk juadah sekeluarga.

"Ya Allah..Kau hantar kakak-kakak itu kepadaku disaat hati ku menjerit lagi tersepit. Wahai tuhan..sesungguhnya kau Maha pengasih lagi maha mendengar segala bisikan hati."

Lalu, nikmat Allah yang manakah hendak di dustakan?

2 comments:

  1. Assalamualaikum

    hmmm...sedapnya pucuk paku.



    Kak wati

    ReplyDelete
  2. Ya, nikmat ALLAH mana yang kita dustakan...
    Syukran kak

    ReplyDelete