Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Tuesday, July 28, 2009

Solat Sunat

Saya masih mencari-cari jawapan kepada persoalan yang ada di dalam kepala : Sekolah berasrama penuh atau sekolah biasa!

Ia bukan soal aliran Sains atau aliran Sastera. Tetapi dimana harus saya meneruskan persekolahan yang terbaik untuk keadaan fitrah diri. Untuk budak kampung yang tidak pernah keluar dari daerah ini. Mampukah nanti saya bersaing dengan budak-budak bandar yang celik pengetahuan? Laratkah saya bercampur dengan orang bijak pandai? Tidakkah nanti saya dilihat sebagai seorang yang jauh sekali ketinggalan?

Saya tiada sesiapa untuk bertanya.

Suatu pagi minggu, saya menziarahi Mak Wa. Keadaan rumahnya senyap sunyi sahaja. Saya mencari dari serambi hadapan hingga ke stor zink simpanan getah sekerap di dapur belakang. Di dapati Mak Wa dan Atok Abah sedang melakukan solat sunat di dalam salah sebuah bilik. Saya menunggu sehingga mereka selesai memberikan salam di tahiyyat terakhir.

Atok Abah tersenyum. Mak Wa bertanya:

"Awak sudah minum? Pergilah buka tudung saji di dapur. Ada ubi rebus dengan nyior"
Saya berjalan beriring dengan Mak Wa, sambil bertanya:
"Mak Wa solat apa pagi-pagi begini?"

"Solat sunat Dhuha. Atok Abah kata elok kita lakukan ketika masih sihat tubuh badan. Ketika Allah memberikan kelapangan sebelum sampai waktu sibuk"

"Ya, dahulu Mak Wa selalu sibuk mencari rezeki.."

"Solah sunat Dhuha memberikan perasaan kelapangan dan memurahkan rezeki"

"Adakah solat sunat yang boleh memberikan kita jawapan kepada dua pilihan?"

"Cuba awak tanyakan kepada Atok Abah"
Lalu, sambil minum kopi pekat kampung dan menjamah ubi rebus, saya bertanya beberapa soalan kepada Atok Abah. Selama ini saya jarang sekali berbincang dengan Atok Abah mengenai persoalan keagamaan walhal saya tahu bahawa Atok Abah adalah seorang imam di Masjid Kampung Paya Jakas.

Semasa kecil saya amat takut kepada Atok Abah kerana sering di kejar dengan tongkat semambu apabila didapati seharian menghilangkan diri bersama basikal tuanya. Seperti abah, Atok Abah juga mempunyai aura yang mengerunkan kepada kanak-kanak yang melihatnya. Tetapi, di hari-hari keraian, kanak-kanak sangat suka kerana sifat dermawannya.

"Awak cuba buat solat sunat Istiharah. Senang sahaja. Dua rakaat."

"Bagaimana?"

"Niat - Sahaja aku solat sunat istiharah dua rakaat tunai kerana Allah taala. Macam kita buat solat subuh. Bezanya tiada doa Qunut. Rakaat pertama, selepas surah fatihah baca surah Al-Kafirun. Rakaat kedua, selepas surah Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Semasa sujud yang terakhir berdoalah apa yang terbuku di dalam hati. Mohon bersungguh-sungguh kepada Allah"

"Insya Allah. Saya akan cuba"

"Bagus. Cuba awak lakukan. InsyaAllah kita akan redha apa-apa jua keputusan yang Allah berikan jawapan"

"Bagaimana kita akan tahu itu adalah merupakan suatu jawapan?"

"Apabila hati kita berat ke arah salah satu pilihan.."

2 comments:

  1. Salam puan,

    sedapnya ubi rebus & kelapa parut tu...

    sesungguhnya solat istiharah laa jalan yang terbaik dalam memohon petunjuk drpr Yang Maha Esa...

    terus menanti entry berikutnya

    ReplyDelete
  2. Assalamu'alaikum,

    Membaca tulisan Puan Roza memang banyak manfaat. Dalam selingan kata-kata dan kisah nostalgia, terselit hikmah yang kadang-kadang tak terdisedari kewujudannya pada pembacaan yang pertama.

    Sedarlah saya, apa yang Puan perolehi sekarang bukanlah sesuatu yang datang dalam sekelip mata. Segala pengharapan dan permohonan telahpun dipohon kepada Allah sejak alam remaja.

    Benarlah kata-kata guru saya, Allah tidak memandang kejayaan sesuatu usaha. Tetapi Dia memandang usaha dan pengharapan kepadaNya yang berterusan.

    Malu rasanya saya, baru berdoa sekali dua, telah hendak mengharapkan hasil.

    Semoga Puan Roza dan Prof. MKI sentiasa dalam rahmat Allah dan dikurniakan istiqamah yang berterusan dalam menempuh jalan menuju Firdausi.

    ReplyDelete