Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, July 24, 2009

Pilihan 2


Saya mula mencari Mak Wa. Pasti ia berada di tempat biasa - Baruh!

Bertahun-tahun saya telah membelakanginya. Sibuk dengan persekolahan sehingga saya tidak memperuntukkan masa bersama Mak Wa. Terasa sangat kehilangannya. Mak Wa menyepi entah di mana?

Silap saya. Saya yang tidak pergi mencari. Bertahun-tahun ia berlalu, saya biarkan kesempatan itu pergi. Masa yang hilang itu tidak akan berulang! Jadi, kesempatan yang ada saya harus menghayatinya..

Saya mencari Mak Wa di sawah bendang. Subhanallah! Sawah itu telah menghilang!

Ia seperti padang jarak..semak samunnya tinggi. Air sawah tiada lagi. Kering kontang! Saya mencari-cari anak sungai tempat saya bermandi-manda. Saya membayangkan air sungainya yang jernih deras mengalir dari kaki Gunung Ledang masih lagi separas dada.

"Ya Allah. Hanya tinggal di paras buku lali..? Saya kah yang semakin tinggi atau air sungai itu kah yang semakin berkurangan?"
Jerangau di tengah sawah menunggu masa untuk rebah. Peparit kecil di sebelah batas tempat kami menangkap berudu dan ikan puyu juga telah terkambus. Kemanakah pergi semuanaya?
"Ya Allah! Cepatnya masa berlalu. Ia pergi tanpa disedari"

Saya mencari lagi. Mak Wa tiada di rumah Mak Ngah. Barangkali di rumah Mak Uteh. Tidak! Akhirnya ke rumah Ucu Edah. Saya dapati Mak Wa berbaring mengereng memeluk bantal kecil dengan kelesuan. Ada tasbih di tangan kanan.

"Mak Wa sakit?"


"Tidak. Baring-baring sahaja.."


"Jarang sekali Mak Wa begini"


Saya terus duduk di sisi Mak Wa. Memicit dan mengusap lembut labu betisnya. Di dalam posisi begitu, kelihatan jelas sekali raut wajahnya sudah semakin tua dan tubuhnya uzur. Lalu, saya pura-pura bertanya;
"Mak Wa sudah tidak bersawah lagi?"

"Tidak ada sesuatu pun yang kekal di dunia ini. Allah pinjamkan nikmat itu hanya sementara. Sampai masanya pasti segalanya kembali kepada-Nya jua."
"Tetapi Mak Wa ada pilihan. Saya boleh tolong Mak Wa isikan kekabu untuk dijadikan bantal sebagai jualan"
"Hidup ini adalah ketentuan tuhan. Bukan pilihan. Allah telah menetapkan takdir, qada dan qadar setiap insan. Jadi, kenapa kita hendak menafikannya? Kenapa kita berkeras menolaknya? Allah menjadikan sesuatu kejadian dengan rahsia yang tersimpan untuk kita fikirkan. Dia lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Redha dan bersyukur dengan ketetapan-Nya"

Saya terdiam. Berfikir mendalam tentang pilihan. Hidup ini bukan pilihan! Jauh di sudut hati saya berkata, selama ini Mak Wa telah begitu kuat berusaha. Bekerja keras berhempas pulas membanting tulang empat keratnya.
"Sudah sampai masanya. Berehatlah Mak Wa. Berehatlah."

Saya melihat berombak-ombak dada Mak Wa. Basah pipinya. Ada kenangan yang dikenangkan.

3 comments:

  1. Assalamualaikum

    Sebak membaca kisah Mak Wa. Teringat Arwah nenek yang pergi ketika akak menghadapi pepriksaan akhir di ITM.

    Al Fatihah untuk semua nenek2 kita



    Kak Wati

    ReplyDelete
  2. Salam,

    setiap kali masuk ke blog puan...pasti makwa akan terlintas difikiran saya...harini terus merindui kata2 makwa....pasti sayu....

    ReplyDelete
  3. salam kak roza.

    benar hidup ini ketentuan tapi dalam hidup ini harus ada pilihan. sama ada mahu terus hidup atau mahu terus mati, mahu jadi baik atau jadi jahat, mahu jadi pandai atau bodoh. itulah yg saya sematkan dalam fikiran saya, kerana saya mahu terus hidup dgn menjadi org yg baik dan cerdik, maka saya berusaha utk ke arah itu... itulah pilihan dalam hidup saya.
    :)
    pilihan yang membuatkan kita secara automatik memotivasikan diri sendiri.

    ReplyDelete