Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, August 10, 2009

Bas Sekolah 2

Pagi Isnin , saya bernekad untuk menaiki bas sekolah itu. Tetapi di halang oleh tuan punya bas. Saya katakan kepadanya bahawa permit bayaran bulanan saya masih ada sehingga hujung bulan. Hari ini dan esok.

Tuan punya bas berkeras dan tidak mahu juga membenarkan. Lalu, saya toleh ke belakang lantas memberitahu rakan-rakan di dalam bas dengan kuat dan bersahaja.

"Saya bayar tambang bas ini secara bulanan tetapi tiada tempat duduk diperuntukkan. Saya terpaksa berdiri hampir setiap hari. Bulan ini saya masih ada lagi dua hari untuk menaiki bas ini. Tetapi awak semua lihat...saya dihalang"

Kemudian saya terus turun dari bas tersebut dan menaiki bas awam untuk ke sekolah. Saya melihat kelibat rakan-rakan satu bas memandang saya pergi dengan perasaan belas. Saya tidak peduli biar apa yang mereka fikirkan kerana bagi saya yang penting kita menegakkan kebenaran. Lagi pun, tuan punya bas yang terlebih dahulu memalukan saya di depan mereka.

Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana.. Akibatnya setiap pagi, berpeluh-peluh saya berjalan dari Stesyen Bas Segamat menuju ke sekolah.

Suatu pagi semasa duduk di kerusi paling hadapan di dalam bas awam, seorang pelajar lelaki berbangsa xxxx datang kepada saya membawa helaian kertas yang telah penuh ditandatangani. Siapa yang menandatangannya tidak begitu saya peduli. Saya cuma bertanya :

"Ini untuk apa?"

"Persetujuan untuk memohon bas awam membawa pelajar dari Jementah terus ke sekolah-sekolah"

"Hingga ke Sekolah Menengah Seg Hwa?"

"Ya"
Sekolah Menengah Seg Hwa adalah sekolah yang paling akhir di dalam siri perjalanan bas sekolah pelajar-pelajar dari pekan Jementah. Sekolah Menengah Cannosian Convent terletak di antaranya. Kedua terakhir. Saya bersyukur bercampur lega.

"Bila perjalanan bas awam akan bermula?"

"Awal bulan hadapan"

Alhamdulillah Hi Rabbil'alamin! Allah memudahkan segala urusan. Kami mempunyai pilihan yang lebih baik dari yang sebelumnya. Bulan-bulan pertama yang berjaya!

Suatu pagi yang tidak di sangka-sangka, saya di panggil oleh pejabat pentadbiran untuk berjumpa dengan Penolong Guru Besar, Hal Ehwal Murid. Beliau memberitahu bahawa terdapat dakwaan daripada seorang pengusaha bas yang menyatakan saya melarikan diri dari membayar tambang bas bulanan. Terkejut!

Allah membantu saya kerana bukti kad bulanan masih berada di dalam tangan. Lalu, saya tunjukkan kepada cikgu untuk di buat salinan pedua. Setelah cikgu mengambil keterangan, tiada tindakan yang dikenakan terhadap saya.

Beberapa hari kemudian, mak pula memberitahu saya perkara yang sama. Penjelasan yang sama saya berikan. Tiada apa yang ditakuti. Tiada apa yang hendak disembunyi. Semuanya mempunyai bukti.

Berani kerana benar!

Beberapa bulan kemudian saya mendapat perkhabaran bahawa terdapat pelajar yang membuat bantahan tentang penyelewengan bayaran tambang bulanan yang dilakukan oleh tuan punya bas sekolah itu. Entahkan betul entahkan tidak, mereka dikatakan menulis surat kepada bahagian pengangkutan. Membuat bantahan secara beramai-ramai dengan menurunkan tandatangan [?]. Dimaklumkan permit tuan punya bas sekolah telah dibekukan.

Saya tidak berani untuk mengesahkan khabar-khabar angin sedemikian rupa. Sukar juga untuk di percaya sumber penyampaiannya. Mungkin juga saya adalah penerima berita yang entah ke berapa puluh orang agaknya.

Kenapa saya katakan begitu? Kerana di hujung cerita saya mendapat tahu bahawa perancang operasi atau 'Mastermind' yang licik itu rupa-rupanya orang itu adalah saya...

Astagfirullah! Tiada siapa yang mengetahui kejadian yang ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah. Ampunkan saya Allah.

8 comments:

  1. erkk... kecut perut baca entri kali ini... x sabar nak tunggu sambungan...

    ReplyDelete
  2. masyaallah!
    begitu pulak jadinya!
    tup-tup dikatekan mastermind!

    ape-ape pun tahniah akak ucapkan kerana berani menegakkan kebenaran!

    kak jose.

    ReplyDelete
  3. salam kak roza...
    tergelak saya baca entry akak...
    bukan sumua orang berani menegakkan kebenaran...berani kerana benar...
    saya sokong...

    nonie

    ReplyDelete
  4. Salam,

    Ya Allah.....dugaan demi dugaan...tapi tak perlu takut jika kita tidak melakukan kesalahan...tetapi hati kecil tetap terusik...

    menanti entry seterusnya...

    ReplyDelete
  5. memang punya ciri2 serikandi Islam..

    Aya

    ReplyDelete
  6. Hidup ni memang penuh dengan putar belit. Kita yang terkena yang menjadi mangsa tetapi InsyaAllah lebih matang dalam kehidupan, ye tak Kak Roza?

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum

    Doa Roza dah makbul...he..he..

    Tapi siankan Roza di tuduh jadi mastermind.
    Mastermind yang sebenarnya ...mana? Takut agaknya.

    Kak wati

    ReplyDelete
  8. Jika anda fikir ini mendebarkan...tungguuuuuu!!

    ReplyDelete