Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, October 23, 2009

Ikan besar..

Hari itu pelajar-pelajar baru berkumpul di Dewan Desar kampus Sura Hujung, ITM Dungun. Saya menyarung pakaian baru. Batik cotton kain ela [yang dibelikan oleh mak saudara di pasar payang, Terengganu] berwarna kebiruan potongan kurung Malaysia. Saya rasa amat teruja. Itulah baju kurung baru yang di tempah khas selain daripada keraian hari raya.

Dewan besar penuh sesak dengan pelajar baru. Masing-masing kelihatan sibuk sekali dengan urusan sendiri. Sambil berbaris menunggu giliran untuk mendapatkan hostel kediaman, saya perhatikan terdapat ramai juga pembantu fasilitator yang terdiri daripada pelajar senior.

"Satu hari nanti..saya pasti menjadi sebahagian daripada mereka"
Saya berbisik-bisik di dalam hati. Ramai juga kelihatan pelajar lelaki yang datang dengan fesyen rambut yang terkini dan bergaya tetapi terpaksa di potong pendek rambut mereka!

"Assalamualaikum Siswa siswi sekelian..sila dapatkan baju batik minggu silaturahim di sudut sebelah sana kerana saudara saudari di minta untuk memakainya di sepanjang minggu silaturahim nanti. Pelajar perempuan di minta bertudung dan pelajar lelaki di minta bersongkok"

Suatu pengumumunan kedengaran dilakukan oleh staf yang bertugas. Tiba-tiba sebahagian daripada pelajar yang sedang berbaris di depan saya beredar. Mereka berkejar-kejar untuk mendapatkan tempat di barisan yang paling di hadapan. Saya kehairanan. Terasa mereka masih lagi kebudak-budakan di dalam membuat keputusan.

"Ah..saya hendak selesaikan satu persatu. Dapatkan bilik hostel dahulu.."
Saya masih berbaris namun di dalam barisan yang semakin pendek. Di hadapan saya terdapat seorang pelajar perempuan yang wajahnya pada pandangan mata saya iras-iras wajah pelakon cina yang saya kenal pada ketika itu [ Lai Joo Lian]. Kulitnya putih mulus dan orangnya peramah. Di belakang barisan saya adalah seorang pelajar perempuan yang tinggi lampai. Wajahnya kelihatan cemas dan matanya kelihatan awas. Namun, apabila saya membuka kata, wajah dan perlakuannya bertukar kepada ceria.

"Nama akak..Wati Md Dali dari Masai"
Kami berjabat tangan. Namun, di sudut hati saya tertanya-tanya kenapa agaknya beliau membahasakan dirinya akak? Adakah kerana tubuhnya yang lebih tinggi daripada saya? Atau saya kah yang lebih rendah daripadanya?
"Saya dari Segamat. Ini Nita, jiran sebelah rumah saya"

"Ya Allah..untungnya dapat datang ke tempat yang sama.."

Sebenarnya hati saya juga semakin lega apabila ada kawan baru bertegur sapa. Nita, walaupun jiran sebelah rumah saya, namun sebenarnya kami amat jarang berjumpa. Malah kami tidaklah begitu mesra kerana jarang bergaul sehari-harian. Jadi, dengan adanya Nita di tempat yang sama, maknanya perlakuan saya perlu di jaga! Mana tahu perangai buruk saya akan sampai ke telinga keluarga.

Dari dewan besar kami di minta menghantar barangan ke hostel. Hostel itu dikatakan penempatan sementara di sepanjang minggu silaturahim.

"Awak ditempatkan di hostel mana?

"Hostel A2. Tetapi itu cuma hostel sementara sahaja, abah"

Lalu, kami seluruh keluarga menaiki kereta ke hostel sementara. Mak, Mak Wa dan adik-adik yang turut serta menolong saya membawa barangan keperluan ke bilik.

"Mak Wa..jangan susah-susah, biar saya sahaja yang bawa beg tu.."
Di dalam kudratnya yang tersisa, Mak Wa masih lagi mempunyai keinginan untuk membantu saya. Abah hanya menunggu kami di pengkarangan laman hostel A2 sambil berbual-bual dengan beberapa keluarga yang lain.

Dari jauh, hostel di kampus Sura Hujung itu kelihatannya seperti sebuah kawasan resort yang diperbuat dari binaan papan yang amat menawan. Bangunannya berbentuk kotak segi empat dan ianya mempunyai kawasan lapang di tengah-tengah - tempat menyidai pakaian. Maknanya, setiap bilik berada di dalam keadaan berhadapan kawasan lapang.

Kami dibenarkan untuk makan tengahari bersama keluarga kerana selepas zohor program minggu silaturahim akan bermula. Dari Jementah hingga ke Dungun, saya sentiasa duduk di sebelah Mak Wa. Semasa makan tengahari saya melayan makan dan minumnya. Mak Wa kelihatan tidak berselera. Beliau membisu dan tidak berkata-kata. Saya tahu Mak Wa sedang di landa perasaan pilu.

"Mak Wa janganlah sedih ya. Saya tengah buat persiapan untuk menangkap ikan besar ni! Bukan ikan puyu. Doakan agar saya berjaya!"

11 comments:

  1. Salam.
    akhirnya pn Roza dapat ikan besar (prof)
    doa dari mak wa

    oked

    ReplyDelete
  2. owhh...mak wa ikut ye...
    Hmm....sedihnya baca saat berpisah tu. :)

    ReplyDelete
  3. salam puan,

    Ya Allah, sedihnyaaa....

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum

    Ingat lagi Roza detik2 itu. Roza memang orang pertama yang memecahkan rasa cemas dan takut akak. Maklumlah sekeliling semuanya terasa asing.

    Agaknya yang macam Lai Joo Lian tu mesti Ina kan..


    Kak wati

    ReplyDelete
  5. Salam, menitis air mata akak baca cerita ni. Teringat masa akak mula-mula berpisah dgn anak sulong akak bulan Jun lepas. Anak akak sekarang belajar kat UITM Dungun juga. Tahun pertama dalam jurusan pentadbiran awam. Terasa mcm akak pulak yg berada dalam situasi itu.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum;

    Kak Wati..ingat Ina Nurul?

    Oked, Masa tu ikan belum besar lagi..masih anak ikan [orang buat budu]

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum umimanja,

    Anak sulung saya Sara Fateha di UiTM Melaka dan anak lelaki, Haris Azrai di UiTM Pulau Pinang.

    Sayu melihat mereka pergi. Rasanya baru semalam mereka merenggek meminta susu dan di kejar untuk dimandikan.

    Saya mengalami perasaan yang sama seperti apa yang saya rasa bertahun-tahun dahulu.

    Itulah rakaman perasaan dalaman yang bertahun-tahun saya simpan. Kemas sekali di dalam hati.

    ReplyDelete
  8. Masa...

    Kadangkala kita ingin ianya cepat berjalan supaya kita cepat mencapai sesuatu yang diingini

    Kadangkala kita ingin hentikan ia supaya segalanya kekal disitu dan tidak ingin kehilangan sesuatu yang telah dimiliki

    ReplyDelete
  9. Baca cerita Roza, terkenangkan kisah lama. Saya dpt tawaran utk kursus DIB sesi 1983-1985. Tapi belajar 1 sem aje...lepas tu masuk UPM. Kalau terus di Dungun, masa Roza masuk, saya dah jadi senior Final year lahkan.

    W/pun 1 sem. banyak kenangan yg tak dpt dilupakan.

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum,

    alizarin, benar tu.

    nazlinamohamed, di sini kita bertemu!

    ReplyDelete
  11. really roza..as i read ur story i cud c myself queing up ..then i saw intan..and we were like crazy coz excited to meet again after about 6 years lost contact...tak sangka u met kak wa dulu ye n ina norul..but it's true roza..i love itm dungun that's why when i got d offer to do tesl at essex, uk..i turned it down..i fell in love at first sight with dungun..n jodoh kite pun with the students there..hehe

    ReplyDelete