Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, October 9, 2009

Kenangan 3: Bermalam di Biara 1

Saya hampir tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam. Hati berdebar-debar. Takut dan gementar.

Bagaimana mungkin saya dapat menyesuaikan diri dengan kampus dan asrama? Selama hampir 18 tahun saya tidak pernah berenggang dengan mak dan abah. Kini saya harus belajar hidup sendiri. Harus belajar berdikari. Harus berani berhadapan dengan rakan-rakan baru. Saya perlu berubah.

Ketakutan yang dirasa tidak pernah saya alami sebelum ini. Takut? Rasanya ia tidak pernah ada di dalam kamus hidup saya. Lalu, saya teringat peristiwa di malam perpisahan Sekolah Menengah Canossian Convent, Segamat.

Saya mengikut gerak hati. Tidak pernah langsung memikirkan dimanakah saya akan bermalam selepas selesai majlis perpisahan. Saya sendiri tidak faham mengapa saya tidak ada perasaan. Saya benar-benar menyerahkan diri kepada tuhan. Allah yang Maha Kuasa.

"Awak hendak tidur di rumah siapa nanti?"

"Belum tahu lagi. Susah-susah...kita bermalam sahaja di sekolah"

"Nak tidur di mana?"

"Di dalam kelas"

Ya Allah. Saya sendiri tidak tahu apakah yang akan terjadi. Tetapi saya memang sudah bernekad dan menyerah diri. Saya tidak mahu menyusahkan kawan-kawan. Saya serahkan diri kepada tuhan kerana saya percaya ada jalan yang akan ditunjukkanNya.

"Betul awak hendak tidur di dalam kelas?"

"Ya..kalau terpaksa"

"Yesssss! Saya ikut. Saya ikut"

Kami menjadi sangat teruja. Ada beberapa rakan pada asalnya ingin turut serta dengan 'adventure' yang saya cadangkan. Tetapi di akhir majlis hanya Dilla sahaja yang berani untuk meneruskannya. Mak dan abah langsung tidak tahu menahu tentang perkara itu. Apabila di tanya mahu tidur di mana, saya katakan itu urusan Dilla.

Apabila lampu sekolah mula di tutup satu persatu dan hanya lampu di jalan sahaja yang dibiarkan menyala, kami berjalan pantas menuju ke kelas - 5 Sains 2. Kami rapat-rapatkan meja dan mengalihkan kerusi ke tepi. Lalu, kami berbaring di atasnya.

Beberapa ketika, keadaan menjadi senyap dan sunyi. Sepi! Keadaan kelas agak suram. Hanya terdapat sedikit cahaya lampu jalan yang berbalam-balam masuk ke celah pintu kelas. Saya dan Dilla berbaring sebelah menyebelah berbantalkan lengan. Tiada komunikasi. Sesekala kami bergerak serta berpaling ke kiri dan ke kanan.

Keadaan amat tidak selesa. Tambahan pula nyamuk berkitar-kitar berterbangan di sekitar telinga. Malam itu kami sibuk menampar nyamuk yang bunyinya berdengung-denggung.

Kami tidak dapat tidur. Tiba-tiba Dilla membuat suatu cadangan gila lagi tidak masuk akal yang di sokong oleh rakan yang tidak berakal :

"Jom kita tumpang tidur di Biara [kediaman sister-sister di convent]"

"Jom.. "

4 comments:

  1. Assalamualaikum


    ha..ha..ha..memang adventure

    ReplyDelete
  2. Salam puan,

    hahaha...teringat siri cerita novel "5 sekawan"....

    ReplyDelete
  3. Salam kak Roza,
    membaca blog akak umpama membaca sebuah novel bersiri....teruskan menulis ya kak!

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum,

    Penulis novel tersebut berumur 40an..Siri itu baru menceritakan kisah peristiwa yang dialaminya ketika masih budak remaja 17..

    Wah..sempat ke nak habiskan novel tu? Entah-entah esok dah tamat cerita kerana telah di panggil oleh-Nya.

    ReplyDelete