Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, July 30, 2010

Semakin dekat

Beberapa tahun lamanya dirantau orang..saya sering di landa kerinduan. Rindu pada kenangan silam yang indah ..

bersama adik-beradik,
sepupu,
kawan-kawan
rindu pada cikgu
dan kampung halaman.

Rupa-rupanya masa yang lalu tidak seindah jika ianya di ulang. Kerana kita membuat perbandingan... Lalu, mereka yang di rindu bukan lagi orang yang kita impi dan bayangkan.

Orang yang di rindu semakin jauh, malah semakin asing. Perasaan yang dahulu, meruap-ruap kini sejuk, beku bagaikan udara pengap.


"Ya Allah, masakah yang pantas berlalu atau usia tua daku kah yang semakin dekat?Dakukah yang semakin berubah atau rakan-rakan ku yang lalu masih lagi mahu seperti dahulu?

Wahai tuhan, melihat anak-anakku dan anak-anak muridku..bagaikan terasa usia remajaku telah lama berlalu.. Hari riang, gelak tawa dan gurau senda amat jarang sekali berlaku.

"Wahai usiaku yang semakin tua...sedarlah! Titik noktah semakin dekat. Bangunlah! Kurangkanlah waktu lena tidur malammu. Kelak esok dikau akan tidur selagi tuhan tidak membangkitkanmu.."

Wednesday, July 28, 2010

Masa itu emas?


Dahulu, peribahasa itu sering diungkapkan oleh abah terutamanya apabila dia melihat kami sedang bergelak tawa dan bergurau senda. Atau ketika kami sedang terpegun terlopong mulut menghadap TV.

"Awak semua ni...hiburan, hiburan, hiburan! Tahukah awak yang "Masa itu Emas?"

Lalu, kami adik-beradik akan segera beredar. Tiada lagi gelak tawa dan gurau senda. Jangan harap dapat menghadap lagi didepan TV. Jika program yang sedang ditonton itu sedang berada di kemuncak cerita..kami sedaya upaya melambatkan pergerakan agar dapat mengetahui kesudahannya.

"Tutup TV sekarang!"

Habis cerita.

Apabila berumahtangga dan menjadi ibu yang masih belajar juga bekerja, barulah saya faham nilai "Emas" yang abah maksudkan. Setiap pagi saya berlari-lari mengejar masa. Menyiapkan sarapan pagi, baju sekolah anak dan suami, lalu menghantar anak ke sekolah dan nurseri.

Waktu tengahari, saya berkejar-kejar mengambil anak dari sekolah, memberi mereka makan tengahari dan seterusnya menghantar mereka ke sekolah agama. Petangnya, saya berkejar lagi mengambil anak kecil dari nurseri serta menjemput anak-anak dari sekolah agama. Cepat-cepat memberi mereka makan, memandikan yang kecil kemudian berlari lagi ke kuliah yang bermula pada pukul 6.30 petang.

Pukul 10.30 malam, apabila pulang saya menyelimutkan anak-anak yang tidur bergelimpangan. Mengutip baju-baju kotor, menyapu dan mengemas rumah ala kadar. Baju bersih di angkat dari ampaian dan dimasukkan terus ke dalam bakul besar berisi pakaian mengikut kategori.

Bakul A untuk diri sendiri dan suami.
Bakul B untuk Sara.
Bakul C untuk Azrai.
Bakul D untuk Amirul.

Setelah semuanya beres, barulah ke bilik mandi. Sambil mandi, sering bertanya kepada diri;

"Ya Allah, apakah betul pilihan ku ini? Apakah yang ku cari? Kenapa daku menyusahkan diri sendiri? Inikah nilai zakat emas yang harus ku bayar?

"Wahai tuhan, jika ini sesuatu ketetapan dari-Mu..tetapkanlah hatiku. Tabah dan kuatkanlah diriku. Permudahkan urusanku dan sudahkan ia dengan segala kebaikan..."

Tanpa sebab yang munasabah, air mata jatuh melimpah.

Tuesday, July 20, 2010

Mereka tiada masa..

Mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian secara luar kampus [PLK] bukan sesuatu yang boleh dianggap remeh. Apatah lagi sekiranya kita telahpun mempunyai pekerjaan, malah telah berkeluarga. Banyak faktor yang perlu di ambilkira :

Masa bersama keluarga.
Kerja tambahan dari majikan atau majlis keraian di jabatan/organisasi
masa untuk bersukaria
dan ketahanan diri.

Banyak pengajaran yang boleh dilihat di kalangan rakan-rakan seangkatan. Ada antara rakan sekelas yang hanya kelihatan di awal pengajian. Semasa konvokesyen hanya segelintir sahaja yang berjaya naik ke pentas menerima skrol.

Bukan mudah. Tetapi tidak juga mustahil.

Barangkali ramai di antara kita yang kini memegang jawatan lebih baik dari dahulu bermula dengan pengajian secara luar kampus. Barangkali suasana lampau tidak mengizinkan kita untuk menyambung pelajaran secara sepenuh masa. Jadi, jika peluang ada di depan mata..rebutlah ia!

Belajar tidak mengira usia..hingga ke liang lahat sekalipun kita harus terus belajar.

Beberapa sahabat bercerita kepada saya; kata mereka..

"Setiap hari fikiran saya terisi.. walau dalam sibuk bekerja, hati sentiasa berkata-kata dan berbisik-bisik kepada Allah agar memudahkan saya menyudahkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah."

"Setiap hari saya memohon agar ada ruang dan kesempatan. Benar, Allah memberikan kekuatan. Selepas selesai kerja-kerja rumah dan anak-anak lena dalam peraduan..barulah saya dapat mentelaah."

"Suami banyak membantu dalam menyudahkan pengajian ini.. Pernah suatu ketika, dia menemani saya dan rakan-rakan sekumpulan menyudahkan thesis akhir sehingga lewat malam. Ada kalanya, suami dan anak-anak menunggu saya sehingga pukul 2 pagi di dalam kereta, sementara saya menyudahkan kerja-kerja akhir untuk persediaan ViVa."

Benar. Mereka tiada masa untuk membuang masa. Mereka tiada masa untuk bersembang kosong tanpa tujuan.

Mereka mengejar masa. Itulah sahaja peluang yang mereka ada. Bukankah Allah telah bersumpah demi masa? Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian...kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh....


gambar ihsan :

http://musafirsrikandi.blogspot.com/2008/06/demi-masa.html

Monday, July 19, 2010

Bila sudah sampai masanya..


Hari ini saya menerima berita kematian seorang rakan seusia saya [Raden Galoh]. Hanya dua hari lagi sepatutnya dia menyambut ulangtahun kelahirannya : 21 Julai 1967.

Perkenalan yang bermula dari blog, membawa kepada pertemuan pertama sewaktu festival Buku Antarabangsa di PWTC, dua tahun yang lalu. Dia menghadiahkan saya dan suami senaskah buku hasil tulisanya : "Bagaimana dia berperang dengan penyakit kanser."

Orangnya ceria, bersemangat tinggi dan tawaduk. Tiada perkataan lain yang keluar selain dari memuji-muji kebesaran Allah subhanawatala. Beberapa hari yang lepas, SMS di hantar bertanyakan khabar.. apabila teringatkan dia. Namun, tidak berbalas.

Begitulah..bila sudah sampai masanya.

Bertahun-tahun yang lalu, seorang rakan seperjuangan [PLK] yang duduk dibangku sebelah saya asyik bercerita tentang kerinduannya untuk bersama suami dan anak-anak. Kami yang bosan dengan semangatnya yang mula meluntur, lantas mencabar;

"Berhenti sahajalah. Tidak perlu teruskan pengajian."

"Ya Allah, entah apa agaknya yang manusia cari.. tidak pernah puas dengan hidup ini. Dahulu, sudah elok-elok bersama anak-anak dan suami..saya mengada-ngada untuk belajar lagi."

Lalu, kami menjawab;

"Perasaan ingin menyambung pengajian itupun gerakan hati dari tuhan yang menjadikan. Terimalah sebaiknya. Dia maha mengetahui apa yang tidak kita ketahui.."

Suatu hari, rakan itu agak lewat hadir ke kelas. Selalunya dialah antara yang paling awal datang dan duduk di barisan paling hadapan. Kami resah dengan keadaan, lalu menghantar SMS kepadanya. Namun, tiada jawapan.

Keesokan harinya, kami menerima berita yang kereta kancilnya terhumban dalam taliair di tepi jalan. Dikatakan dia baru sahaja menghantar anak-anak kecil ke rumah ibubapa di kampung berhampiran.

Begitulah..bila sudah sampai masanya.

Bahagian kita entah bagaimana pula keadaannya?

Sunday, July 18, 2010

Masakah yang tercepat?


Seorang ustaz disekolah agama pernah berkata;

"Pepatah Arab ada mengatakan..Masa itu ibarat pedang. Jika kita tidak memotongnya, ia tetap memotong kita."

Ia suatu kenyataan yang mengecutkan perut saya ketika dalam darjah lima. Saya langsung tidak memahaminya namun, tidak pula mahu bertanya. Kenyataan itu berlegar-legar dalam kepala hingga beberapa lama, sehingga saya melupakanya.

Pada hari sabtu yang lalu, ingatan itu datang kembali apabila mahu memulakan kelas [Business Development]. Spontan, saya cetuskan semangat lama yang bergelodak dalam dada kepada siswa PLK.

"Terfikirkah kita yang hidup ini adalah suatu perniagaan? Perniagaan yang memerlukan pelaburan jangka panjang. Siapakah para pelaburnya? Mereka adalah kedua orang ibubapa kita. Mereka melabur ke dalam sebuah organisasi yang berjenama. Jenama itu telah tertulis dalam sebuah kitab yang termaktub sejak azali di tempat istemewa..lauh mahfuz. Organisasi yang berjenama itu ada dalam diri kita."

Diam.

"Lalu, mahukah kita menjadi sebuah pernigaan yang menguntungkan atau sebaliknya? Mahukah kita menghampakan para pelabur kita?"

Diam.

"Kita telah melalui beberapa fasa perkembangan perniagaan. Dari berumur 1 tahun hingga ke usia sekarang. Tolehlah kebelakang...Renungkanlah apa yang telah kita lakukan. Apakah usia yang berlalu itu setiap saat dilaburkan untuk membina perniagaan yang menguntungkan dalam jangkamasa panjang? Pernahkah kita niatkan setiap satu urusan dilakukan kerana tuhan yang menjadikan?"

Diam.

"Jika kita tidak melakukan sesuatu sekarang..masa itu tetap berlalu pergi. Usia yang berlalu, barangkali lebih panjang dari usia yang akan dihadapi pada masa akan datang. Kerana esok belum tentu hadirnya. Jangankan esok, malam inipun kita tidak tahu apakah yang akan berlaku. Jangankan malam ini..sebentar lagi pun kita tidak pasti."

Diam.

"Masakah yang tercepat? Atau kitakah yang terlewat? Gunakan usia dan masa yang ada sebaiknya. Ketika lapang sebelum sibuk, ketika muda sebelum tua, ketika senang sebelum susah, ketika hidup sebelum mati..."

Diam.

Thursday, July 15, 2010

Bukan kerana mereka..


Kelas pengajian luar kampus [PLK] diperuntukan selama 3 jam untuk satu subjek. Ia suatu jangkamasa yang panjang, jika difikirkan. Apabila menerima jadual waktu pengajaran, spontan terkeluar dari bibir;

"Ya Allah, 3 jam! Apa yang hendak di ajar mereka ni?"

Memang. Ia suatu pengalaman baru yang mencabar minda tetapi mengujakan. Subhanallah! Allah yang mengaturkan segalanya..

Beberapa tahun dahulu, sayalah antara golongan pelajar luar kampus itu. Kami harus berada di kelas seawal pukul 8.00 pagi hingga 5 petang di hari minggu! Kami juga pernah menghadiri kelas sebaik sahaja keluar waktu pejabat. Bergegas menghadiri kuliah bermula dari jam 6.00 petang dan berakhir pada pukul 10.00 malam.

Adakah kami tidak berkeluarga?

Tidak.. Kami sentiasa rindukan ingin bersama mereka. Namun, kuasa Allah yang melembutkan hati mereka, memberikan rasa simpati dengan memahami keadaan kami.

Apakah kami tidak mempunyai perasaan?

Tidak.. Hati kami sentiaa di landa perasaan remuk redam apabila melihat keadaan rumahtangga lintang-pukang, berselerakan. Melihat anak-anak dan suami berdikari mencari makanan dan pakaian sendiri. Hati gundah mengenangkan anak yang masih kecil mandi dan memakai baju sendiri. Pernah juga baju kakaknya disangka baju dia..

Sesekali emak dan abah atau saudara mara datang ke rumah di hari minggu, kami dengan sendirinya terkeluar dari senarai melayani tetamu. Sesekala ada kenduri kahwin atau keramaian di kampung, kami tidak mampu untuk pulang bersama-sama bagi meraikan mereka.

Dalam hati sentiasa berbisik-bisik, memohon keampunan Allah yang telah memberikan amanah kepada kami sebagai seorang khalifah;

"Ya Allah, daku mohon keampunan-Mu. Sesungguhnya daku telah diberikan amanah dari-Mu sebagai seorang isteri, seorang ibu, seorang anak, seorang pekerja, seorang kakak, seorang rakan dan seorang pelajar. Dan daku lakukan ini semata-mata kerana-Mu, ya Allah. Bukan kerana mereka.

Wahai tuhan, berikan daku kekuatan. Tidak mampu untukku memikulnya. Ampunkan daku jika berdosa kerana tidak upaya untuk menunaikan amanah ini sepenuhnya.."

Benar. Mereka juga seperti saya. Di waktu rehat antara kelas, seringkali terdengar keluhan seperti ini;

"Ya Allah, kain di rumah kakak yang belum berlipat, setimbun.. Balik kuliah nanti, ingatkan kakak bagi membeli bakul besar. Bakul yang ada di rumah sudah tidak mencukupi..."

Saya senyum sendiri [sangat-sangat memahami].

Monday, July 12, 2010

Jauh bukan alasan..


Pertemuan pertama bersama siswa pengajian luar kampus [PLK] , mereka kelihatan menerima saya. Lalu, saya mengajak mereka bercerita. Falsafah pengajaran saya mudah,

"Tak kenal, maka tak cinta..jadi, bolehkah kita berkenalan?"

Tiba-tiba, semuanya menundukkan muka. Seorangpun tidak mahu memulakannya.

"Baik, sila catatkan di atas kertas. Nama penuh, panggilan manja dan ceritakan sedikit tentang latar belakang keluarga. Akhir sekali, catatkan kenapa saudara saudari berada di universiti ini..mengambil pengajian secara luar kampus."

Masing-masing mengeluarkan sehelai kertas A4 dan mula mencatat sebaris perkataan di atasnya. Dari sebaris, ia menjadi satu perenggan. Kemudian, ianya menjadi dua perenggan dan tiba-tiba ..seluruh kelas menjadi senyap dan sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi pena yang ditekan keras di atas kertas.

Saya biarkan mereka seketika. Sepuluh minit kemudian, saya meminta mereka berhenti menulis.

"Alah, sedikit masa lagi puan.."

"Cukuplah setakad apa yang ditulis, ini bukannya soalan peperiksaan akhir."

"Beri sedikit masa lagi puan.."

Akhirnya saya meminta mereka bercerita seringkas mungkin tentang diri dan sebab mereka melanjutkan pelajaran. Rata-rata mereka sudahpun mempunyai pekerjaan tetap. Rupa-rupanya kebanyakan mereka datang dari jauh.. sejauh bandar Muadzam, Pahang, Johor Bahru, Muar dan Melaka. Mereka perlu sampai ke kelas di pagi minggu, seawal pukul 8 pagi lagi.

"Baik..kita sudah berjalan sejauh ini. Mahukah kita menghentikannya di tengah jalan? Mahukah kita suatu hari nanti berkata kepada diri, kalaulah dahulu perjalanan itu saya teruskan.. Sedangkan ketika itu rakan-rakan kita yang tabah, kehidupan mereka sudahpun berubah. Pepatah Inggeris ada berkata," a journey of a thousand miles begins with a single step." Bergeraklah..walaupun secara merangkak."

Mereka mengangguk-anggukan kepala. Diam.

"Perjalanan yang jauh itu sebenarnya bukan alasan. Musuh utama kita adalah kemalasan! Oleh itu berdoalah..Ya Allah, hindarkan kami dari perasaan lemah dan malas."

Mereka semakin mesra.

Saturday, July 10, 2010

Diri saya dalam diri mereka..


Hari ini [sabtu], amanah tugasan akademik meminta saya mengajar siswa pengajian luar kampus [PLK]. Saya teruja.

Lima belas minit sebelum kelas bermula, saya menuju ke dalam kelas. Apabila menguak daun pintu.. Subhanallah! Mereka telahpun menunggu saya! Memberi salam, dengan pantas saya masuk ke dalam. Di atas meja mereka, bertaburan fail, nota, buku teks dan segala jenis makanan! Melihat saya, cepat-cepat mereka menyimpannya.

Seperti biasa, saya mulakan kelas dengan mengajak mereka sedekahkan fatihah kepada kedua ibubapa, guru-guru, semua yang mendoakan kejayaan dan kaum muslimin-musliman.

Saya mulakan;

"Saya melihat diri saya, di dalam diri kamu semua. Suatu masa dahulu, saya pernah berada di bangku itu. Mengorbankan hari minggu bersama keluarga demi sekeping cita-cita. Cita-cita untuk memperbaiki diri. Muga hari esok lebih baik dari hari ini, muga hari ini lebih baik dari semalam."

Diam. Saya teruskan..

"Ucapkan syukur kepada Allah kerana mengerakkan hati kita untuk berada di sini. Ucapkan terima kasih kepada suami kerana mengizinkan kita belajar lagi. Suami itu anugerah illahi."

Mereka mengangguk-anggukan kepala. Mata mereka berkaca. Ada api yang membara di dalam dada mereka.

"Bersabarlah. Dekatkan diri kepada Allah. Hanya Dia yang kita sembah, tempat kita memohon pertolongan. Tinggal beberapa semester sahaja. Ianya tidak lama. Jika kita tidak melangkah setapak, selamanya kita tidak akan ke mana-mana..."

Benar. Mata mereka berkaca.

Friday, July 9, 2010

Tak kenal maka tak cinta..


Suatu hari saya tercari-cari kelas. Hari pertama di bangunan baru. Belum biasa.

Apabila sampai di tingkat dua bangunan, saya kuak daun pintu..Wah! sudah ramai pelajar di dalamnya. Saya berbisik di dalam hati;

"Bagus! Sikap positif di awal semester.."

Belumpun sempat saya meletakkan beg di atas meja, seorang pelajar menyapa:

"Ustazah, ini kelas kursus Perniagaan Antarabangsa [ International Business]."

"Oh, saya tersalah kelas atau awak semua tersalah tafsir melihat penampilan saya?"

"Maaf puan, kami ingatkan puan seorang ustazah tadi.."


"Tidak mengapa..ustazah ini suatu masa dahulu tidak pernah faham makna sehelai tudung. Dia pernah memakai sut korporat sedondon warna tas tangan dan kasut berjenama. Dia pernah bekerja di luar negara.."


Saya mulakan kelas dengan anekdot 2.... Lalu, terlopong mulut mereka. Begitulah manusia boleh keliru dengan penampilan sesaorang apabila melihatnya pertama kali. Membuat telahan yang samasekali berbeza. Orang boleh jatuh hati malah ada yang membenci. Kata orang, " Tak kenal maka tak cinta..."

Monday, July 5, 2010

Terkenang minggu orentasi..


Hari ini saya terserempak dengan pelajar-pelajar baru UiTM Segamat yang takut-takut, tidak pasti dan masih keliru menuju ke kelas. Baru usai kelas, saya bergerak pantas menuju ke kelas yang lagi satu. Tiba-tiba saya di sapa;

"Assalamulaikum puan, dimanakah bilik U203?"

"Oh, yang hampir dengan kamu itu, bilik U206 bukan? U203 di hadapan sana. Mari saya tunjukkan."

"Terima kasih, puan. Terima kasih puan."

Saya terkenangkan kisah, beberapa tahun lampau semasa kali pertama menjejakkan kaki ke ITM [Institut Teknologi MARA], jangankan bertanya kepada pensyarah..untuk membuka mulut bertanya kepada pelajar senior pun terketar-ketar suara kita dibuatnya.

Pandai-pandailah kami mencari kelas sendiri.
Hari ini, saya teringat kepada rakan lama semasa orentasi, Han dan yati. Kepada merekalah saya banyak bergantung harap. Sedar diri yang saya adalah anak kampung yang tidak pernah keluar dari kampung sendiri. Segala-galanya pertama kali.

Minggu orentasi telahpun berlalu. Namun, kenangannya bagaikan baru semalam terjadi. Ia lekat di hati sanubari.
Gambar ihsan: famouschris.com