Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Saturday, March 21, 2009

Buah Rambai


Semasa kecil, saya tidak menghiraukan sangat rupa diri. Saya selesa memakai seluar panjang dan kemeja lama abah untuk memudahkan saya memanjat pokok. Seluar panjang abah saya lipat di bahagian pinggang dan ikat dengan kain perca lebihan kain dari jahitan baju mak.

Saya harus belajar untuk melakukan kerja-kerja rumah dengan cepat. Selepas solat subuh, buat sarapan, basuh baju, sidai kain, hantar adik-adik yang masih kecil ke rumah Mak Wa dan terus ke dusun buah-buahan di baruh.

Saya juga akan memanjat dan memetik buah manggis dari satu pokok ke satu pokok yang lain dengan cepat. Setelah beberapa lama, saya tidak lagi perlu turun dari satu pokok manggis untuk panggat ke pokok manggis yang lain.

Dari pengalaman, saya mempelajari satu kemahiran . Hanya ayun kan badan dan buat sedikit lompatan , lalu mencapai dahan di pokok bersebelahan dengan kadar cengkaman yang kuat. ( bayangkan bagaimana orang sarkas menukar ayunan dari satu buaian ke buaian yang lain).

Saya tak ubah seperti seekor anak kera yang melompat dari satu dahan ke satu dahan yang lain!

Setelah manggis penuh satu raga rotan, saya ikat setiap biji manggis supaya menjadi satu gugusan dengan cepat dan bawa ke tepi jalan. Jalan laluan utama Segamat- Muar. Setiap kali memulakan jualan, hati saya sentiasa berdebar-debar.

"Ya Allah..minta-minta adalah orang yang akan membeli buah manggis ini. Datangkan mereka kerana saya perlu segera pulang ke rumah. Saya perlu masak makan tengahari untuk adik-adik..wahai tuhan, perkenankanlah."
Benar! Allah menjawab bisikan hati saya. Manggis segera habis dengan tidak perlu saya menunggu lama. Selalunya ada sahaja orang yang singgah (selalunya orang dari Singapura) yang akan memborong kesemua manggis saya.

Suatu hari, semasa di dalam dusun saya terlihat buah itu. Ia berjuntai-juntai dan berbuah dengan lebat sekali. Lalu, saya ambil segugus. Mak Teh beritahu bahawa itu adalah buah rambai. Katanya lagi tiada ramai orang yang suka buah itu. Ia tidak berapa laku jika di jual.

Esoknya, saya bawa bersama buah rambai semasa menjual buah manggis. Benar! Kesemua manggis saya habis terjual kecuali buah rambai. Lalu, saya berikan sahaja buah itu kepada pembeli yang terakhir.

Saya bawa pulang sedikit buah rambai ke rumah Mak Wa. Saya lihat Mak Wa sedang mengulai ikan baung masak lemak cili padi. Saya perhatikan Mak Wa, mencapai beberapa biji buah rambai tadi dan di basuh kulitnya. Mak Wa keluarkan isi dalamnya. Kulit rambai tadi di hiris-hiris lalu dimasukkan ke dalam gulai.

Oooo begitu rupanya. Saya belajar sesuatu pada hari itu.

10 comments:

  1. alamak dah jadi tarzan pulak Roza ni.

    macam tak percaya je. hehehe.

    misi.

    ReplyDelete
  2. Kak Ngah lebih dari Tarzan. Saya masih ingat lagi Kak Ngah panjat pokok manggis belakang rumah Mok Teh..besarnya pokok tu sebesar 2 ke 3 pemeluk orang dewasa dan tinggi sayup mata memandang. Seperti biasa Kak Ngah ligat memetik buah di atas pokok, buah itu dicampak ke bawah untuk disambut oleh saya. Kualiti memang tip top, buah yang tidak luruh ke tanah adalah yang terbaik kerana isinya kekal putih dan cantik lagi bermutu tinggi. Sedang saya menyambut buah, tiba-tiba Kak Ngah tergelincir kakinya dan seperti kilat jatuh ke bawah. Takutnya saya, saya hanya mampu menjerit dan menadah tangan cuba menyambut Kak Ngah yang jatuh nun dari atas pokok yang tinggi dan tua itu . Ya Allah, tolonglah..hati saya menjerit.. pelbagai perasaan terdetik dihati kecil saya. Saya sendiri masih kecil..berdayakah menyambut Kak Ngah?..Tapi, selepas beberapa detik cemas itu Kak Ngah sempat berpaut pada salah satu dahan pokok manggis yang bersilang silang itu..Alhamdulillah, patutlah pokok manggis dahannya bersilang pangkah sebegitu rupa..Syukur, saya memandang Kak Ngah dengan lega dan berdebar-debar..Hebatnya Kak Ngah, itulah detik hati saya ketika itu. Saya juga bersyukur kerana dapat melihat Kak Ngah terus melupakan detik cemas tersebut dan sibuk kembali memetik buah manggis seolah-olah tiada apa yang berlaku sebentar tadi.

    ReplyDelete
  3. Salam..
    masa kakliza umur 13 tahun ..akak pun tinggal ngan nenek & atuk kat kampung di Perak..
    masa tu baru akak tahu camner rupa pokok rambai..
    selalunya jika nak makan..abang2 sepupu akak yg tolong panjat..sebab pokok tu tinggi dan besar..tak larat wooo nak jadi tarzan..
    le ni duduk di Terengganu akak dah pandai buat sayur lemak kulit buah rambai..sodap tauuu..rasa lemak masam2 tu..membuka selero..mahu bertambah makan nasi...

    ReplyDelete
  4. Salam.
    Cerita yang dipaparkan menggambarkan kehidupan yang penuh warna...

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum,

    Ia kisah anak kampung yang cukup indah untuk
    dikenang..lalu, mensyukuri nikmat kehidupan yang dilaluinya pada hari ini.

    Ia menceritakan bagaimana kasih sayang Allah kepada hambaNya.

    ReplyDelete
  6. uihhh hebat nih.....pokok manggis boleh lerr pakcik panjat... pokok rambai kalu.... mcm mana nak panjat... kulit pokok rambai terkopak2x..silap panjat luka sana sini. Pssttt abg prof sure tak pandai panjat pokok kan?

    ReplyDelete
  7. betol ke kehidupan puan roza begitu susah pada masa lalu?. kalau betul seperti diceritakan... saya ucapkan tahniah. Ini adalah kerana puan roza boleh menceritakan pengalaman lalu kepada anak2x & pengunjung blog. Bukan senang nak dapat pengalaman mcm tu. Hanya yang terpilih sahaja.

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum

    Hebatnya Roza..akak pernah juga nak mencuba "stunt" macam tu ..ikut kawan-kawan tapi tak menjadi. Gayat gilerrr + penakut.
    Setakat panjat pokok manggis yang setengah pemeluk tu bolehlah. Pantang nya tak boleh pandang bawah lebih2..gayat. Sama juga macam tak panjat sebab tak boleh buat apapun kat atas.


    Tabik springgggg kat Roza.

    Kak Wati

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum Roza..
    Seronok baca pengalaman roza..thank you for sharing...
    Roza..boleh tanye tak? Cam na nak buat blog sendiri? harap dapat membantu..

    Terima kasih

    ReplyDelete
  10. Salam Kak Ngah

    Kalau nak tau, sehingga kini rekod Kak Ngah memanjat pokok manggis berpindah dari sepokok ke sepokok yang lain dicemburui oleh adikmu Razif (kredit diberikan kepada Kak Ngah kerana seorang perempuan berbanding adik lelakinya ini)

    Apa yg menariknya, apabila diceritakan kepada anak-anak sedara dan anak-anak Kak Ngah sendiri..tiada seorang pun yg berjaya menyaingi Razif..apatah lagi Kak Ngah sendiri

    Begitulah BESARnya nama Kak Ngah dalam dunia memanjat dan menurunkan buahan ni..

    Frm: RSRBR7

    ReplyDelete