Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, March 19, 2009

keledek


Di dalam perjalanan pulang dari paya pucuk paku kami melintasi sebuah ladang keledek. Tuan punya ladang sedang bertungkus lumus mencabut ubi keledek dari batas dan beria-ia mempelawa kami mengambil keledeknya kerana katanya berkemungkinan banjir akan melanda.

Hari itu, saya dapat sepelastik besar pucuk paku dan setengah guni keledek serta pucuknya. Sambil berjalan pulang, kakak-kakak mengajar saya resepi-resepi yang boleh di buat dari bahan tadi.

Hujan yang mencurah-curah turun membuatkan saya mengigil kesejukan rasa bagaikan hendak demam , jadi saya hanya menganguk-angguk mengiakan sahaja.

Sampai di rumah, saya dapati air telah mulai naik hingga ke paras buku lali di dapur. Rumah kami mudah dinaiki air kerana ia berhampiran dengan sungai. Tanpa berlengah lagi, saya kerahkan Tuti dan Ratna sama-sama mengangkat dapur minyak tanah, beras, bawang, periuk kuali dan mana-mana yang boleh kami angkat ke rumah bahagian di atas.

Hari itu, saya masak bubur nasi banyak-banyak di campur dengan racikan keledek, sedikit bawang hiris dan ikan bilis. Saya goreng pucuk keledek tanpa lada untuk adik-adik. Pucuk paku saya goreng pedas campur dengan sedikit belacan sebagaimana resepi saranan kakak-kakak tadi.

Petang itu, air naik hingga ke tiga mata anak tangga. Kilat, guruh, Petir berdentum di dalam hujan lebat. Kami adik-beradik semua berkumpul di satu sudut di dalam bilik mak dan abah. Dengan di kelilingi bantal, kami adik-beradik berpeluk di dalam satu selimut.

An, Ayu dan Razif masing-masing diberikan susu dan berbaring di atas ribaan saya. Wajah murni mereka tidak membayangkan apa-apa. Tuti dan Ratna tidak dapat membendung ketakutan mereka.

“Kak Ngah...kita nak mak...”

“Sabar..sekejap lagi mak abah akan balik..”

“Kak Ngah.. kita akan mati dalam banjir ini ke nanti?”

“Tidak. Ustaz kata Allah ada bersama kita..mari kita baca fatihah banyak-banyak..Doa, minta abah dan mak sempat selamatkan kita…”

Hari ini, saya terfikir apa yang terlintas di dalam hati. Memang Allah menjawabnya..

4 comments:

  1. Kak Ngah ni..banyaknya cerita-cerita yang menyentuh perasaan sewaktu kecil-kecil dulu.

    Ceritalah lagi..dulu-dulu, kami (kak An, Ayu & Azif) tak faham apa-apa pun..

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum

    Banyaknya cabaran "Kak Ngah" manjaga adik-adik.


    Kak wati

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,

    Cabaran semalam membuatkan kita lebih bersyukur dengan nikmat yang di terima pada hari ini.

    ReplyDelete
  4. Ketika kecil saya memang takut guruh. Kalau hujan kilat sabung menyabung dan air naik, saya memang rasa macam nak kiamat. Lebih lebih lagi rumah kami tidak berletrik. Takutnya. Hari ini saya dapat melihat persepsi dari kaca mata Kak Ngah dan saya tahu itu benar berlaku..

    ReplyDelete